Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide 7 Langkah Utama Dalam Proses Jualan

5 min read

7 Langkah Utama Dalam Proses Jualan

Jualan tak semestinya rumit! Ketahui tujuh langkah mudah untuk berjaya dalam jualan, dari mencari prospek hingga tindakan susulan yang membina hubungan pelanggan yang kukuh. Artikel ini akan membimbing anda melalui setiap langkah dengan jelas dan santai.

Nasra Patahuddin

Updated Jul 30, 2024

7 Langkah Utama Dalam Proses Jualan

Proses jualan adalah satu kaedah (framework) yang sistematik yang dijadikan panduan oleh jurujual atau penjual untuk menjual produk atau perkhidmatan kepada pelanggan. Terdapat tujuh langkah penting dalam proses jualan yang perlu diikuti untuk mencapai kejayaan dalam jualan.

Dengan melakukan langkah-langkah yang tepat, jurujual atau penjual dapat membina hubungan yang kukuh dengan pelanggan, memahami keperluan mereka dan menawarkan penyelesaian yang tepat.

Artikel kali ini akan menerangkan setiap langkah dalam proses jualan secara terperinci untuk membantu anda memahaminya dengan mudah. Mari mulakan.

1. Mencari Prospek

Langkah pertama dalam proses jualan adalah mencari prospek. Prospek adalah individu atau syarikat yang berpotensi menjadi pelanggan.

Terdapat pelbagai cara untuk mencari prospek, termasuk melalui pangkalan data, media sosial, acara networking dan rujukan.

Tujuan utama dalam mencari prospek adalah untuk mengenal pasti individu atau syarikat yang mempunyai keperluan yang dapat dipenuhi oleh produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

2. Berhubung Dengan Prospek

Setelah prospek dikenal pasti, langkah seterusnya adalah berhubung dengan mereka dan menentukan kelayakan mereka sebagai pelanggan yang berpotensi.

Ini melibatkan penentuan sama ada prospek mempunyai keperluan yang sesuai, bajet yang mencukupi dan kuasa membuat keputusan.

Pada tahap ini, kemahiran komunikasi yang berkesan dan persuasif adalah penting untuk membina hubungan serta memahami keperluan prospek.

3. Melakukan Penyelidikan

Sebelum membuat tawaran, adalah penting untuk melakukan penyelidikan mengenai prospek atau syarikat yang disasarkan. Ini termasuk memahami struktur syarikat, budaya, cabaran, dan peluang yang mereka hadapi.

Dengan maklumat ini, sebagai jurujual/penjual, anda dapat menyesuaikan pendekatan jualan anda agar lebih relevan dan menarik perhatian prospek.

4. Menyampaikan ‘Pitch’ yang Berkesan

Menyampaikan pitch yang berkesan adalah langkah kritikal dalam proses jualan. Pitch adalah perbincangan awal yang bertujuan untuk menarik minat prospek terhadap produk atau perkhidmatan.

Pitch yang berkesan hendaklah jelas, ringkas dan fokus pada manfaat produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Pastikan anda menyampaikan nilai tambah yang unik dan bagaimana ia dapat menyelesaikan masalah prospek.

5. Mengendalikan Penolakan

Penolakan adalah perkara biasa dalam proses jualan. Selepas anda menyampaikan ‘pitch’, prospek berkemungkinan besar mempunyai soalan, keraguan atau penolakan mengenai tawaran yang anda utarakan.

Langkah pertama dalam mengendalikan penolakan adalah mendengar dengan teliti apa yang prospek katakan. Fahami sepenuhnya kebimbangan atau keraguan mereka sebelum memberi maklum balas.

Setelah mendengar penolakan, tanyakan soalan berbentuk klarifikasi untuk memahami lebih mendalam tentang kebimbangan prospek. Ini membantu mengumpul maklumat tambahan yang dapat digunakan untuk menangani penolakan tersebut..

Setelah memahami sebab dan punca penolakan prospek, sediakan penjelasan yang relevan dan berikan bukti seperti testimoni pelanggan, data berkaitan dan sebagainya, untuk menyokong jawapan anda.

Tutup perbualan dengan cara yang positif dan terbuka walaupun anda tidak berjaya menjadikan prospek sebagai pelanggan.

Maklumkan bahawa anda bersedia untuk membantu pada bila-bila masa mereka memerlukan maklumat tambahan atau ingin membincangkan lebih lanjut. Ini meninggalkan kesan yang baik dan memastikan pintu tetap terbuka untuk peluang masa depan.

6. Menutup Jualan

Menutup jualan memerlukan kemahiran negosiasi dan pemahaman yang mendalam tentang proses pembelian prospek.

Adalah penting untuk mengenal pasti isyarat beli yang ditunjukkan oleh prospek dan membuat tawaran akhir bagi menggalakkan prospek untuk membuat keputusan untuk membeli.

Pastikan tawaran anda jelas dan terperinci, serta sediakan sebarang insentif tambahan seperti diskaun atau bonus jika perlu.

Adakalanya prospek mempunyai keraguan terakhir sebelum membuat keputusan. Oleh itu, sebagai penjual anda perlu bersedia untuk menangani keraguan ini dengan memberi maklumat tambahan, memberikan jaminan, atau menawarkan penyelesaian yang meyakinkan.

Setelah prospek bersetuju untuk membeli, pastikan semua persetujuan didokumentasikan dengan betul bagi memastikan tidak ada kekeliruan berlaku pada kemudian hari.

NOTA:

Isyarat beli = Isyarat beli adalah petunjuk bahawa prospek bersedia untuk membuat keputusan pembelian. Ini boleh termasuk soalan tentang harga, tempoh penghantaran atau permintaan untuk contoh. Penjual perlu peka terhadap isyarat ini dan bersedia untuk bertindak balas dengan cepat dan tepat.

7. Tindakan Susulan

Proses jualan tidak berakhir dengan penutupan jualan. Menjalin dan mengekalkan hubungan dengan pelanggan adalah penting untuk memastikan kepuasan pelanggan sekaligus membuka peluang untuk jualan ulangan dan hubungan jangka panjang yang menguntungkan.

Salah satu langkah penting dalam memupuk hubungan ini adalah melakukan tindakan susulan (follow-up).

Selepas penutupan jualan, hubungi pelanggan dalam tempoh beberapa hari untuk memastikan mereka berpuas hati dengan produk atau perkhidmatan yang diterima. Ini menunjukkan bahawa anda prihatin terhadap kepuasan mereka dan sedia membantu jika ada sebarang masalah.

Pertanyaan ringkas seperti, "Adakah semuanya berjalan lancar dengan produk yang anda terima?" boleh meninggalkan kesan positif yang besar.

Anda juga boleh meminta maklum balas daripada pelanggan mengenai pengalaman mereka. Maklum balas ini bukan sahaja membantu anda memahami kekuatan dan kelemahan produk atau perkhidmatan anda, tetapi juga menunjukkan kepada pelanggan bahawa pandangan mereka dihargai.

Jika produk atau perkhidmatan anda memerlukan sokongan tambahan, pastikan pelanggan mendapat bantuan yang mereka perlukan. Ini boleh termasuk panduan pengguna, tutorial video dan sebagainya.

Gunakan tindakan susulan sebagai peluang untuk menawarkan produk atau perkhidmatan tambahan yang relevan. Jika pelanggan berpuas hati dengan pembelian awal mereka, mereka mungkin berminat untuk membeli lebih banyak produk atau perkhidmatan daripada anda.

Jangan lupa ucapkan terima kasih kepada pelanggan atas pembelian mereka. Ucapan terima kasih yang ikhlas dapat membuat pelanggan merasa dihargai dan lebih cenderung untuk terus berurus niaga dengan anda. Ia boleh dilakukan melalui emel, pesanan mesej dan sebagainya.


Bermula daripada langkah mencari prospek hingga tindakan susulan untuk memelihara hubungan dengan pelanggan, setiap langkah memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan dalam jualan.

Dengan pendekatan yang sistematik dan berfokus, penjual dapat meningkatkan kadar kejayaan jualan, mencapai target yang ditetapkan sekaligus membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan.

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles