Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide 10 Tips Pengurusan Masa Efektif Apabila Bekerja Sambilan

5 min read

10 Tips Pengurusan Masa Efektif Apabila Bekerja Sambilan

Mengurus pendapatan sampingan kini penting, tetapi menyeimbangkan kerja, kerja sambilan, dan rumah tangga adalah cabaran besar. Artikel ini memberikan tips pengurusan masa efektif seperti menetapkan keutamaan, menggunakan teknologi, dan mengelak multitasking. Pelajari cara untuk mengurus masa dengan lebih baik dan mencapai keseimbangan hidup dan kerja. Baca sekarang untuk maklumat lanjut!

Nasra Patahuddin

Updated May 21, 2024

10 Tips Pengurusan Masa Efektif Apabila Bekerja Sambilan

Memiliki sumber pendapatan sampingan atau "side hustle" semakin menjadi keperluan dalam kehidupan pada masa kini.

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan menguruskan masa untuk menyeimbangkan antara kerja hakiki dan kerja sambilan adalah satu cabaran yang besar. Tidak termasuk lagi urusan hal ehwal rumah tangga dan anak-anak. Fuh, memang mencabar!

Sekiranya tidak diuruskan dengan baik, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan mental dan juga fizikal seseorang.

Oleh itu, untuk membantu anda menguruskan masa dengan lebih efektif semasa memiliki sumber pendapatan sampingan, berikut dikongsikan beberapa tips berguna.

1. Tetapkan Keutamaan

Luangkan masa untuk menetapkan keutamaan anda setiap hari. Sebaiknya ambil masa pada waktu malam, penghujung hari anda untuk merancang hari esok.

Dengan cara ini, anda dapat memberi fokus kepada perkara yang paling penting dan mengelakkan daripada terbuang masa pada perkara yang tidak begitu penting.

2. Jadual Harian Yang Terperinci

Selain menetapkan keutamaan, anda juga WAJIB mempunyai jadual harian yang terperinci dan realistik. Bermula dari awal pagi sehinggalah waktu tidur. Dengan cara ini, anda dapat melihat gambaran sebenar perjalanan hari anda.

Sediakan satu jadual harian yang merangkumi tugasan yang perlu disiapkan beserta aktiviti harian anda. Tetapkan waktu tertentu untuk melakukan kerja sambilan anda. Sekiranya jadual tersebut kelihatan seperti tidak realistik, lakukan penambahbaikan dan perubahan. Jangan lupa juga sediakan satu slot khusus untuk aktiviti rekreasi, rehat dan hubungan sosial bagi menjaga keseimbangan hidup.

Jadual harian yang terperinci dan realistik akan membantu anda untuk menjalani hari anda dengan teratur.

3. Berani Katakan ‘Tidak’

Jangan ragu-ragu untuk mengatakan tidak kepada perkara-perkara yang mengganggu jadual harian anda. Gunakan ayat yang sopan tetapi tegas.

Sekiranya melibatkan individu penting dalam hidup anda, cubalah berkomunikasi secara terbuka. Maklumkan jadual harian anda dan terangkan mengapa masa anda penting dan bagaimana mereka boleh membantu dengan menghormati jadual anda.

Sebenarnya, tidak ada keperluan untuk menjelaskan alasan anda kepada sesiapa. Anda boleh menolak dengan baik dan katakan bahawa anda ada urusan lain dan tidak boleh menyertainya.

4. Gunakan Teknologi

Manfaatkan teknologi untuk membantu menguruskan masa anda. Gunakan aplikasi pengurusan masa dan penjadualan seperti Google Calendar dan Notion boleh membantu mengatur jadual anda dengan lebih sistematik dan efisien. Ia juga membantu agar anda tidak akan terlepas apa-apa aktiviti penting.

Kebanyakan aplikasi-aplikasi sebegini turut dilengkapi dengan analisis yang membolehkan pengguna melihat bagaimana mereka menghabiskan masa. Melalui ciri tersebut, anda boleh mengenalpasti corak penggunaan masa anda dan membuat penyesuaian yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti.

Selain itu, sekiranya terdapat aplikasi yang dapat membantu melakukan kerja anda dengan mudah dan cepat, jangan sia-siakan peluang tersebut.

Sebagai contoh, jika anda terlibat dalam kerja sambilan dalam bidang penulisan, anda boleh gunakan aplikasi seperti Grammarly atau Hemingway Editor.

Aplikasi-aplikasi ini dapat membantu menyunting tulisan anda dengan lebih efisien sekaligus membantu meningkatkan kualiti tulisan tanpa perlu meluangkan masa yang banyak.

5. Jangan Bertangguh-tangguh

Hentikan sikap suka bertangguh-tangguh. Berusahalah untuk menyiapkan kerja mengikut jadual yang telah dibuat. Sekiranya terdapat masa lapang, anda boleh manfaatkan masa tersebut untuk melakukan kerja yang akan datang.

Dengan cara ini, anda tidak terbeban dengan kerja yang terlalu banyak dalam satu masa.

6. Amalkan Disiplin Diri

Disiplin diri adalah kunci untuk kejayaan dalam menguruskan masa.

Tetapkan had masa untuk setiap tugas dan berpegang teguh kepada jadual yang telah ditetapkan agar anda dapat memanfaatkan masa yang ada dengan efisien.

7. Kenalpasti Waktu Paling Produktif

Setiap individu mempunyai waktu di mana mereka lebih produktif. Biasanya pada awal pagi.

Atau, anda boleh kenalpasti masa di mana anda merasa lebih bertenaga dan terfokus. Gunakan masa ini untuk menyelesaikan tugasan-tugasan yang lebih mencabar atau penting.

8. Tetapkan Masa untuk Berehat

Tetapkan masa untuk berehat. Sebaiknya, masukkan sekali masa berehat ini di dalam jadual harian anda. Rehat yang mencukupi memastikan anda mampu bekerja dengan baik. Ia juga amat penting untuk memastikan kesihatan fizikal dan mental anda terjaga.

Jadi, pastikan anda menyediakan masa untuk berehat bagi mengisi semula tenaga agar dapat menjaga produktiviti anda dalam jangka panjang.

9. Elak Multitask

Untuk memastikan anda menggunakan masa anda dengan efisien, elakkan melakukan banyak kerja dalam satu masa. Hal ini kerana, ia sebenarnya boleh mengurangkan produktiviti dan kualiti kerja.

Apabila kita berusaha untuk melakukan beberapa tugas pada masa yang sama, fokus kita terpecah. Ini menyebabkan perhatian yang diberikan terhadap setiap tugas berkurangan dan hasilnya adalah pekerjaan yang tidak berkualiti.

Tambahan lagi, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa melakukan banyak tugas dalam satu sebenarnya mengambil lebih banyak masa berbanding dengan menumpukan kepada satu tugas pada satu-satu masa.

Jadi, lakukan satu kerja dalam satu masa dan berikan fokus sepenuhnya kepada satu tugasan yang anda sedang lakukan.

10. Beri Ganjaran Kepada Diri Sendiri

Ini adalah antara tips yang terpenting dan ‘trik’ pengurusan masa yang berkesan. Siapa sahaja yang tidak sukakan ganjaran kan?

Oleh itu, sekiranya anda berjaya mencapai sesuatu contohnya seperti; berjaya menyiapkan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan, berilah ganjaran kepada diri anda.

Ganjaran sangat penting untuk meningkatkan motivasi serta mengekalkan tabiat yang positif. Ia juga bertindak sebagai ‘push factor’ kepada anda agar terus berusaha untuk mencapai kejayaan dalam pengurusan masa.


Kesimpulan

Dengan mengamalkan tips-tips di atas, anda pasti dapat menguruskan masa anda dengan lebih berkesan walaupun mempunyai kerja sambilan. Ingatlah bahawa pengurusan masa yang baik adalah kunci kejayaan dalam mencapai keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerjaya.

Jika anda sedang mencari peluang kerja sambilan yang sesuai, kunjungi Epicareer untuk menemukan peluang yang tepat bagi anda. Semoga bermanfaat!

Semoga bermanfaat!

Pekerjaan Terkenal:

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles