Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide Taksonomi Kemahiran dan Kepentingannya di Resume

5 min read

Taksonomi Kemahiran dan Kepentingannya di Resume

Taksonomi kemahiran adalah kunci untuk mengenal pasti dan mengembangkan kemahiran. Ketahui bagaimana sistem ini membantu merancang kerjaya dengan strategik dan meningkatkan daya saing dalam pasaran kerja.

Nasra Patahuddin

Updated Jul 29, 2024

Taksonomi Kemahiran dan Kepentingannya di Resume

Memahami dan mengenal pasti kemahiran yang dimiliki adalah kunci kejayaan dalam kerjaya. Di sinilah taksonomi kemahiran memainkan peranan penting.

Taksonomi kemahiran membantu anda mengenal pasti kemahiran yang diperlukan dan bagaimana untuk membangunkannya. Dengan menggunakan taksonomi kemahiran, anda dapat merancang laluan kerjaya anda dengan lebih strategik.

Tetapi, apakah itu taksonomi kemahiran dan mengapa ia penting untuk anda?

Maksud Taksonomi Kemahiran

Taksonomi kemahiran merujuk kepada sistem yang digunakan untuk mengklasifikasikan dan mengorganisasikan kemahiran berdasarkan tahap kebolehan, kepakaran dan kategori tertentu. Ia juga boleh didefinisikan sebagai inventori kemahiran dan merangkumi semua jenis kemahiran fizikal dan juga kemahiran insaniah.

Taksonomi ini membantu individu dan organisasi dalam memahami dan menguruskan kemahiran yang diperlukan dalam pelbagai bidang kerja dan industri. Secara tidak langsung, ia juga sangat membantu dalam proses mengembangkan kemahiran dengan lebih efektif.

Elemen-Elemen Taksonomi Kemahiran

1. Hierarki Kemahiran

Hierarki kemahiran merujuk kepada struktur yang mengatur kemahiran berdasarkan kompleksiti, spesialisasi, atau kepentingan. Ia disusun bermula daripada peringkat asas hingga peringkat lanjutan. Ini memudahkan pemahaman tentang bagaimana kemahiran berkembang dari satu tahap ke tahap yang lain.

Sebagai contoh, dalam bidang pengurusan, hierarki kemahiran bermula dengan kemahiran merancang projek kecil dan bergerak ke konsep kemahiran yang lebih advanced seperti pengurusan risiko projek.

Hierarki kemahiran membantu pekerja dan organisasi memahami perjalanan logik kemahiran dan merancang pembelajaran atau latihan dengan lebih efektif.

2. Nama Kemahiran

Nama kemahiran adalah penamaan yang jelas dan tepat untuk setiap kemahiran. Ini penting untuk mengelakkan kekeliruan dan memastikan semua pihak mempunyai pemahaman yang sama. Walaubagaimanapun, elakkan penggunaan nama yang terlalu umum atau terlalu khusus.

3. Deskripsi Kemahiran

Deskripsi kemahiran memberikan penjelasan terperinci tentang setiap kemahiran. Ini termasuk apa yang terlibat dalam kemahiran tersebut, bagaimana ia digunakan, dan mengapa ia penting.

Sebagai contoh, bagi kemahiran berkomunikasi.

Deskripsi kemahiran akan merangkumi; keupayaan untuk menyampaikan maklumat dengan jelas dan efektif kepada pelbagai audiens, menggunakan teknik-teknik seperti komunikasi lisan, bertulis, dan non-verbal.

Kemahiran ini penting dalam menyokong kerjasama yang berkesan dalam pasukan, mempengaruhi keputusan dan membina hubungan yang baik dengan pelanggan dan rakan kongsi perniagaan.

4. Pemetaan Kemahiran

Pemetaan kemahiran merujuk kepada proses menghubungkan kemahiran dengan peranan, tugas, atau tanggungjawab yang berkaitan dalam syarikat. Ini adalah penting untuk membantu mengenal pasti kemahiran yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan dan bagaimana kemahiran tersebut boleh diperoleh atau dipertingkatkan.

Dengan memetakan kemahiran kepada peranan kerja, pihak syarikat dapat membuat keputusan yang tepat semasa pengambilan pekerja dan perancangan tenaga kerja. Sebagai contoh, peta kemahiran mungkin menunjukkan bahawa "Pengurusan Projek" penting untuk peranan seperti ketua pasukan atau pengurus projek.

Manfaat Taksonomi Kemahiran bagi Individu

1. Mengenal Pasti Kekurangan

Taksonomi kemahiran membantu individu untuk mengenal pasti kekurangan kemahiran yang dimiliki. Dengan memahami hierarki dan jenis kemahiran yang diperlukan, individu dapat mengenal pasti tahap kemahiran dan mengenal pasti kemahiran yang perlu diperbaiki.

2. Permohonan Pekerjaan yang Lebih Berkesan

Dengan menggunakan taksonomi kemahiran, individu dapat menyesuaikan resume dan permohonan kerja dengan lebih efektif. Individu dapat menonjolkan kemahiran yang relevan dengan jelas kepada majikan potensial, meningkatkan peluang untuk dipanggil untuk temuduga.

3. Pembangunan Kerjaya yang Berterusan

Taksonomi kemahiran membantu dalam merancang dan membangunkan kerjaya dengan lebih strategik. Dengan memahami keperluan kemahiran untuk setiap tahap kerjaya, individu dapat merancang latihan dan pembangunan yang sesuai untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Ini tidak hanya membantu individu untuk terus maju dalam kerjaya, tetapi juga meningkatkan daya saing dalam pasaran kerja yang kompetitif.

Di Mana Anda Boleh Mendapatkan Data untuk Taksonomi Kemahiran?

1. Perpustakaan Terbuka (contoh: ESCO dan O*NET)

ESCO dan O*NET adalah sumber data terbuka yang menyediakan maklumat terperinci tentang pelbagai kemahiran dan pekerjaan. Anda boleh mengakses platform ini untuk meneliti definisi kemahiran, tahap kesukaran dan kegunaan dalam pelbagai konteks industri.

2. Alat Pengurusan Kemahiran (contoh: Skills Base, MuchSkills, Beamery)

Alat-alat ini membantu dalam mengurus dan memetakan kemahiran yang ada dalam organisasi atau individu. Ia menyediakan data tentang kemahiran yang telah dikumpulkan dan dinilai bagi memudahkan analisis keperluan kemahiran dan perancangan pembangunan.

3. Deskripsi Pekerjaan

Deskripsi pekerjaan adalah sumber penting untuk mengenal pasti kemahiran yang diperlukan untuk sesuatu peranan. Analisis terperinci dalam deskripsi pekerjaan membantu mengenalpasti kemahiran khusus yang dikehendaki oleh majikan untuk melaksanakan tugas-tugas tertentu.

4. Laporan Industri (contoh: LinkedIn Most In-Demand Skills, LinkedIn Workplace Learning Report)

Laporan-laporan ini memberikan maklumat terkini tentang kemahiran yang paling dicari dalam industri. Mereka menyediakan pandangan mendalam tentang tren dan permintaan pasaran pekerjaan, membantu individu mengenal pasti kemahiran yang strategik untuk diperoleh atau diperbaiki.

Cara Membina Rangka Taksonomi Kemahiran

1. Mencatat Kemahiran yang Diperlukan

Langkah pertama dalam membina taksonomi kemahiran adalah dengan menyenaraikan semua kemahiran yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan atau matlamat kerjaya.

Ini melibatkan mengenal pasti kemahiran asas dan kemahiran khusus yang diperlukan untuk melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan peranan tersebut.

2. Menentukan Kumpulan Kemahiran dalam Kategori Utama

Selepas mencatat kemahiran yang diperlukan, langkah seterusnya adalah mengelompokkan kemahiran-kemahiran ini ke dalam kategori utama atau "clusters".

Contohnya, kemahiran teknikal, kemahiran interpersonal, dan kemahiran pengurusan adalah beberapa contoh kategori utama yang boleh digunakan untuk mengorganisasikan kemahiran yang berbeza.

3. Visualisasikan Taksonomi Kemahiran sebagai Hierarki Inventori Kemahiran

Langkah terakhir adalah mewujudkan taksonomi kemahiran dalam bentuk hierarki inventori kemahiran. Ini melibatkan penyusunan kemahiran dari tahap asas hingga lanjutan, dengan menekankan kemahiran-kemahiran yang paling penting atau yang paling berkaitan dengan matlamat kerjaya atau organisasi.

Visualisasi ini membantu dalam memahami hubungan antara kemahiran-kemahiran serta menetapkan keutamaan dalam pembangunan atau pemilihan kemahiran.


Kesimpulannya, taksonomi kemahiran sangat penting dalam merancang dan mengembangkan kerjaya dengan strategik.

Dengan memahami dan mengaplikasikan taksonomi kemahiran, individu dapat mengenal pasti kemahiran yang diperlukan, merancang pembangunan kemahiran yang sesuai serta meningkatkan daya saing dalam pasaran kerja.

Ini tidak hanya membantu dalam pencapaian matlamat kerjaya, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara kemahiran yang dipelajari dengan keperluan industri semasa.

Untuk membantu anda dalam membina dan menonjolkan kemahiran boleh dipindahkan, kunjungi Epicareer.

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles