10 min read
Tips Menulis Cover Letter Untuk Bidang Pemasaran (Beserta Contoh)
Pastikan anda menghantar permohonan dengan cover letter yang berkualiti serta resume dan portfolio yang meyakinkan.
Updated Apr 30, 2024
Bidang pemasaran adalah salah satu industri yang berkembang pesat dengan pelbagai pilihan kerjaya yang menarik. Terdapat banyak peluang kerjaya yang ditawarkan dalam bidang ini pada masa kini.
Sekiranya anda berminat untuk memulakan kerjaya dalam bidang ini atau menukar arah kerjaya anda ke bidang pemasaran, pastikan anda menghantar permohonan disertai dengan cover letter yang padu selain daripada mempunyai resume dan portfolio yang menyakinkan.
Ini adalah sangat penting bagi membolehkan anda menonjolkan keunikan serta kelebihan anda secara khusus kepada majikan. Ia juga membantu membezakan anda dengan calon yang lain.
Untuk artikel kali ini, berikut kami kongsikan cara dan tips menulis cover letter untuk bidang pemasaran serta beberapa contoh untuk rujukan anda. Jom baca!
Artikel Berkaitan: Tips Menulis Resume Untuk Kerjaya Pemasaran Digital (Digital Marketing)
Apa Itu Cover Letter Pemasaran?
Secara umumnya, cover letter adalah merupakan sebuah surat rasmi yang dihantar bersama-sama resume atau CV semasa memohon kerja.
Dalam konteks bidang pemasaran, cover letter tersebut biasanya akan mengandungi beberapa maklumat penting yang menonjolkan keupayaan diri anda dalam bidang pemasaran.
Contohnya seperti latar belakang diri, kemahiran dan pengalaman dalam bidang pemasaran serta poin-poin yang menyakinkan pihak bakal majikan mengapa individu tersebut adalah calon yang sesuai untuk jawatan dalam bidang pemasaran yang ditawarkan.
Ringkasnya, cover letter pemasaran adalah merupakan medium untuk memperkenalkan diri dan meyakinkan majikan bahawa anda adalah calon yang sesuai untuk jawatan pemasaran yang ditawarkan. Melalui surat tersebut, pemohon berpeluang untuk menonjolkan kelebihan diri berkaitan dengan bidang pemasaran serta bagaimana mereka boleh memberi sumbangan kepada syarikat.
Apa yang Perlu Ada Dalam Cover Letter Pemasaran?
Bagi memastikan cover letter pemasaran anda menarik dan menepati apa yang dicari oleh pihak majikan, pastikan ia merangkumi elemen-elemen berikut:
1. Header
Pada bahagian header, pastikan terdapat maklumat anda dan butiran tentang syarikat yang anda mohon.
Sertakan nama penuh, nombor telefon dan alamat e-mel anda. Dengan adanya maklumat ini, ia memudahkan pihak HR untuk menghubungi anda dan mengatur temuduga
Seterusnya, di bawah maklumat anda, tuliskan juga tarikh anda menulis surat tersebut. Kemudian, tambahkan nama pegawai bertugas, nama syarikat dan alamat syarikat.
2. Pengenalan
Mulakan perenggan pertama cover letter anda dengan memperkenalkan diri dan menyatakan minat anda terhadap jawatan yang dipohon. Ini adalah asas untuk membina kesan positif pada pihak bakal majikan.
Ia memberi peluang kepada anda untuk memberikan gambaran ringkas tentang siapa anda dan mengapa anda berminat dengan jawatan dalam bidang pemasaran tersebut. Ia juga membolehkan pihak bakal majikan mendapat gambaran awal tentang kesesuaian anda dengan jawatan pemasaran yang ditawarkan.
3. Keunikan Diri
Jelaskan keunikan atau kelebihan diri anda dan bagaimana ia dapat menyumbang kepada syarikat. Tonjolkan juga pengalaman kerja yang relevan bagi menyakinkan pihak bakal majikan bahawa kemahiran anda boleh dipercayai dalam bidang ini.
4. Pencapaian Boleh Diukur
Masukkan juga pencapaian-pencapaian anda sebelum ini yang relevan dengan bidang pemasaran. Berikan contoh pencapaian yang boleh diukur bagi membuktikan bahawa anda seorang yang berpotensi dalam bidang ini. Anda boleh masukkan perincian data-data yang sesuai dan seumpamanya.
5. Kemahiran Khusus
Senaraikan juga kemahiran khusus dalam bidang pemasaran yang anda miliki dan kaitannya dengan jawatan yang dipohon.
Contohnya, kemahiran menulis strategi pemasaran, platform media sosial yang dikuasai, data analisis, keupayaan menghasilkan kandungan pemasaran yang kreatif dan sebagainya.
Sebelum menulis bahagian ini, kenalpasti terlebih dahulu kemahiran-kemahiran yang diperlukan (lihat iklan jawatan) dan sesuaikan dengan kemahiran yang anda miliki.
6. Sebab Memohon
Gunakan peluang ini untuk menjelaskan mengapa anda berminat dengan jawatan pemasaran yang diiklankan. Tekankan minat anda dalam bidang pemasaran semasa menyatakan sebab anda.
Contohnya seperti; anda mempunyai minat yang mendalam dalam pemasaran digital dan bekerja dalam bidang ini ini adalah impian anda. Atau, anda tertarik dengan visi dan misi syarikat yang anda mohon kerana selari dengan nilai-nilai yang anda pegang dalam kerjaya.
6. Sijil atau Pengiktirafan
Sekiranya mempunyai sijil berkaitan bidang pemasaran atau pengiktirafan, sertakan juga dalamcover letter anda. Ini bakal memberi nilai tambah kepada diri anda dan meningkatkan peluang anda untuk diterima ke proses seterusnya.
7. Penutup & CTA
Akhiri cover letter anda dengan harapan agar anda dapat menceritakan lebih terperinci mengenai kebolehan anda dalam bidang pemasaran. Nyatakan juga harapan anda agar dapat berhubung dengan lebih lanjut dengan pihak bakal majikan. Jangan lupa juga nyatakan ucapan terima kasih.
Tips Menulis Cover Letter Untuk Bidang Pemasaran
Berikut ialah beberapa tips menulis cover letter untuk bidang pemasaran bagi membantu anda meningkatkan kualiti dan keberkesanan cover letter anda untuk menarik perhatian majikan dan mendapatkan peluang pekerjaan yang diimpikan.
1. Buat Garis Panduan/Draf
Sebelum anda mula menulis cover letter, rangka satu garis panduan atau draf yang jelas untuk membantu memastikan cover letter anda teratur dan fokus terhadap isi yang ingin disampaikan.
Susun bahagian-bahagian utama seperti pengenalan diri, kemahiran dan pengalaman yang relevan, sebab memohon dan penutup. Anda juga boleh merangka ayat-ayat yang ingin ditulis berdasarkan maklumat yang ingin disampaikan.
2. Gunakan Kata Kunci Daripada Iklan Jawatan
Bagi memastikan cover letter anda dapat menarik minat pihak bakal majikan, anda boleh menggunakan kata kunci yang terdapat dalam iklan jawatan kosong yang dihebahkan.
Ini akan membantu menyepadankan ciri-ciri yang dikehendaki oleh pihak syarikat dengan ciri-ciri yang ada pada diri anda. Sekaligus, menunjukkan kesesuaian diri anda dengan keperluan syarikat. Secara tidak langsung, ia membuatkan majikan tertarik dan berfikir andalah yang mereka cari.
3. Ceritakan Kisah Bermakna
Berusahalah untuk tidak sekadar menyenaraikan kemahiran dan pengalaman anda. Tetapi, ceritakanlah kisah di sebaliknya. Hal ini akan membantu menjadikan cover letter anda lebih natural dan menarik.
Anda boleh ceritakan pengalaman dan kejayaan anda dalam bidang pemasaran yang menarik serta pelajaran-pelajaran penting yang anda pelajari daripada situ. Kisah-kisah ini akan membantu meninggalkan kesan positif kepada pihak pembaca.
4. Cari Nama Penerima dan Nyatakan Secara Langsung
Salah satu tips mudah yang anda boleh lakukan adalah dengan mencari nama pihak majikan (individu yang bertanggungjawab) yang akan menerima surat anda.
Nyatakan secara langsung nama individu tersebut dalam cover letter anda. Walaupun kelihatan remeh, namun ketahuilah tindakan ini menunjukkan kesungguhan anda. Ia juga sudah pasti akan memberikan kesan peribadi kepada cover letter anda.
5. Nyatakan & Selitkan Prinsip-prinsip Asas Bidang Pemasaran
Dalam cover letter anda, jangan lupa selitkan prinsip-prinsip asas dalam bidang pemasaran. Ini membuktikan bahawa anda tidak hanya mempunyai pengetahuan tentang bidang pemasaran, tetapi juga dapat mengaplikasikannya dalam situasi sebenar.
6. Lakukan Penyelidikan tentang Syarikat/Jawatan
Sebelum menulis surat permohonan, lakukan penyelidikan tentang syarikat dan jawatan yang anda mohon. Ketahui matlamat, nilai, dan keperluan syarikat tersebut. Maklumat ini akan membantu anda menyesuaikan cover letter anda dengan keperluan syarikat.
7. Sertakan Maklumat Peribadi Anda
Pastikan anda menyertakan maklumat peribadi anda seperti nama, alamat, nombor telefon dan alamat e-mel pada surat anda. Ini adalah untuk memudahkan pihak majikan menghubungi anda sekiranya mereka tertarik dengan anda untuk ke peringkat seterusnya.
8. Letakkan CTA
Akhiri surat anda dengan CTA yang jelas dan ringkas. ‘Ajak’ majikan untuk menghubungi anda untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai diri anda. Ini bakal membantu meningkatkan peluang anda untuk berjaya ke peringkat seterusnya.
9. Semak Semula
Pastikan anda menyemak semula dengan teliti sebelum menghantar cover letter anda. Elakkan kesalahan tatabahasa atau ejaan. Kesalahan kecil sedemikian boleh memberi kesan negatif kepada keseluruhan kesan cover letter anda.
Templat Cover Letter Untuk Bidang Pemasaran
[Nama Anda]
[No telefon]
[Emel]
[Alamat]
[Tarikh]
[Nama Penerima Surat]
[Pangkat atau Jawatan]
[Nama Syarikat]
[Alamat Syarikat]
Salam sejahtera,
Saya [Nama Anda], dengan sukacitanya ingin memohon jawatan [Nama Jawatan] di syarikat tuan, [Nama Syarikat]. Saya tertarik dengan peluang untuk menyertai pasukan pemasaran yang dinamik dan inovatif di syarikat tuan sebagai syarikat yang terkemuka dalam industri pemasaran.
Dalam pengalaman saya sebelum ini di [Nama Syarikat Lama atau Bidang Kerja], saya telah memperoleh kemahiran yang kukuh dalam [Senarai Kemahiran atau Pengalaman yang Relevan Dengan Bidang Pemasaran].
Saya mempunyai kemahiran khusus dalam bidang pemasaran seperti [Senarai Kemahiran], dan berjaya menjalankan projek-projek [Senarai Projek atau Tugas] dengan cemerlang. Pengalaman saya dalam [Bidang atau Industri] telah memperkukuh keupayaan saya untuk [Tugas atau Tanggungjawab yang Relevan (rujuk iklan jawatan)].
Saya percaya bahawa nilai dan visi saya selari dengan misi syarikat tuan, terutamanya dalam [Nyatakan Nilai atau Inisiatif Syarikat yang Dapat Disokong]. Saya berazam untuk menyumbang kepada kejayaan syarikat dan memperluaskan jangkauannya dalam bidang pemasaran satu hari nanti.
Oleh itu, saya berharap agar diberikan peluang untuk bertemu dengan pihak tuan bagi membincangkan lebih lanjut mengenai kebolehan saya dan bagaimana saya boleh menyumbang kepada syarikat ini.
Terima kasih atas pertimbangan anda terhadap permohonan saya. Saya amat berharap untuk mendengar berita baik dari pihak tuan.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
[Nama Anda]
[Tandatangan]
Contoh Cover Letter Untuk Bidang Pemasaran
Contoh 1: Mempunyai Pengalaman Dalam Bidang Pemasaran
[Nama Anda]
[No telefon]
[Emel]
[Alamat]
[Tarikh]
[Nama Penerima Surat]
[Pangkat atau Jawatan]
[Nama Syarikat]
[Alamat Syarikat]
Tuan/Puan,
Memohon Jawatan Sebagai Pegawai Pemasaran
Saya, Ali bin Abu ingin menyatakan minat saya untuk menyertai pasukan pemasaran di Syarikat XYZ sdn bhd.
Saya memiliki pengalaman dalam bidang pemasaran digital dengan kepakaran dalam merancang dan melaksanakan strategi pemasaran yang berkesan. Saya juga mempunyai kemahiran dalam pengurusan media sosial, analisis data pemasaran, dan penggunaan alat pemasaran digital seperti SEO dan PPC.
Tiga tahun sebelum ini, saya telah bekerja sebagai pakar pemasaran di [Nama Syarikat Terdahulu], di mana saya bertanggungjawab dalam menguruskan kempen pemasaran digital, analisis pasaran, dan pembangunan kandungan. Tambahan lagi, saya juga mempunyai kemahiran dalam menggunakan pelbagai alat pemasaran digital seperti Google Analytics, Facebook Ads, dan SEO.
Saya amat tertarik dengan visi dan misi Syarikat XYZ sdn bhd., terutamanya berkaitan inovasi dan keunggulan dalam perkhidmatan kepada pelanggan. Saya yakin bahawa dengan kemahiran saya dalam membangunkan strategi pemasaran yang berorientasikan kepada sasaran dan memahami trend pasaran, saya boleh memberikan sumbangan yang signifikan untuk mencapai objektif syarikat Tuan/Puan.
Selain itu, saya mempunyai kemahiran komunikasi yang baik serta boleh bekerja secara berpasukan. Saya percaya bahawa kerjasama yang kukuh dan komunikasi yang cemerlang adalah kunci kejayaan dalam mencapai matlamat pemasaran.
Saya sangat berharap agar berpeluang bertemu dan berbincang lebih lanjut tentang bagaimana saya boleh memberikan sumbangan kepada Syarikat XYZ sdn bhd. Saya lampirkan bersama surat ini resume saya yang terperinci.
Terima kasih atas pertimbangan Tuan/Puan.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
[Nama Anda]
Contoh 2: Tidak Mempunyai Pengalaman Dalam Bidang Pemasaran
[Nama Anda]
[No telefon]
[Emel]
[Alamat]
[Tarikh]
[Nama Penerima Surat]
[Pangkat atau Jawatan]
[Nama Syarikat]
[Alamat Syarikat]
Kepada Tuan ABCDEF,
Nama saya, Ali bin Abu. Saya berminat untuk memohon jawatan sebagai Pegawai Pemasaran untuk syarikat tuan, Syarikat XYZ.
Saya baru menamatkan pengajian di Universiti AAA dalam bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi. Sepanjang tempoh pengajian, saya telah mempelajari tentang prinsip-prinsip asas pemasaran, strategi komunikasi, dan analisis data pemasaran secara formal dan tidak formal.
Saya juga telah berjaya melaksanakan beberapa projek yang melibatkan aktiviti pemasaran, penciptaan konten, kempen pemasaran dan sebagainya. Antaranya ialah:
1. Memimpin pasukan untuk menganjurkan dan melaksanakan kempen media sosial.
Berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM15K untuk yayasan amal yang berkaitan dengan pendidikan kanak-kanak.
2. Aktivit Pemasaran Komuniti
Menyertai aktiviti pemasaran komuniti yang bertujuan untuk memperkenalkan produk-produk makanan organik kepada masyarakat setempat.
3. Kempen Email Marketing untuk Promosi Produk Baru
Terlibat dalam merancang dan melaksanakan sebuah kempen email marketing untuk mempromosikan pelancaran produk baru bagi sebuah syarikat kosmetik.
Selain itu, saya memiliki kemahiran dalam menggunakan beberapa jenis peranti yang membantu untuk melakukan kerja dengan efisien dalam bidang pemasaran. Saya juga mahir dan menguasai platform digital seperti Microsoft Office, Google Analytics, dan media sosial.
Saya percaya bahawa dengan kebolehan ini disertai dengan semangat untuk terus belajar dan meningkatkan kualiti diri, saya boleh beradaptasi dengan cepat di dalam bidang pemasaran.
Saya berharap agar diberi kesempatan untuk bertemu dan berbincang lebih lanjut tentang bagaimana saya dapat memberikan sumbangan untuk syarikat tuan, [Nama Syarikat].
Sekian, terima kasih.
[Nama Anda]
Contoh 3: Memohon Latihan Industri Bidang Pemasaran
[Nama Anda]
[No telefon]
[Emel]
[Alamat]
[Tarikh]
[Nama Penerima Surat]
[Pangkat atau Jawatan]
[Nama Syarikat]
[Alamat Syarikat]
Tuan/Puan,
Saya ingin memohon untuk menjalani latihan industri dalam bidang pemasaran di [Nama Syarikat]. Saya amat berminat untuk mendapatkan pengalaman praktikal dalam industri pemasaran dan yakin bahawa latihan di syarikat yang terkemuka seperti [Nama Syarikat] akan memberi saya peluang yang berharga untuk belajar dan meningkatkan kualiti diri.
Saya baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang pemasaran di [Nama Universiti]. Semasa pengajian saya, saya telah mempelajari asas-asas pemasaran dan mengaplikasikannya dalam beberapa projek.
Selain itu, saya juga telah mengambil beberapa kursus berkaitan media sosial, analisis data, dan kempen pemasaran digital untuk membantu saya meluaskan pemahaman mengenai trend industri pemasaran pada masa kini.
Saya amat berharap untuk mendapat peluang untuk belajar dari para profesional berpengalaman di [Nama Syarikat] dan memberi sumbangan kepada projek-projek yang menarik. Saya yakin bahawa latihan di syarikat ini akan memberi saya pengalaman yang berharga dan membantu saya membina pengalaman yang padu untuk kerjaya saya dalam bidang pemasaran.
Semoga saya berpeluang menjalani latihan industri di syarikat tuan, [Nama Syarikat]. Berikut saya turut lampirkan bersama adalah Resume/CV saya yang terperinci.
Sekian, terima kasih.
Yang Benar,
[Nama Anda]
Dengan mengikuti nasihat yang diberikan dan menyesuaikannya dengan surat permohonan anda, pasti akan meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan panggilan temuduga.
Selain itu, anda juga dapat menunjukkan kepada majikan potensi yang anda miliki sebagai calon yang sesuai untuk industri pemasaran digital.
Jika anda ingin membuat resume dalam bidang pemasaran digital dengan bantuan GPT, cubalah menggunakan Enhance Resume by Epicareer. Anda boleh menilai skor resume anda dan mengemas kini resume anda supaya lebih menarik minat perekrut.
Pekerjaan Terkenal:
Content Writer
Topic tags
Share this article
Related Articles
6 min read
Apakah Kelebihan Utama Menggunakan ATS Dalam Proses Pengambilan Pekerja?
Automasi ATS memudahkan proses pengambilan pekerja, menjimatkan masa, dan meningkatkan kualiti calon. Ketahui kelebihan utamanya di sini!
Posted Aug 28, 2024
4 min read
10 Ciri Utama Yang Perlu Ada Dalam Sistem Pengurusan Pemohon (ATS)
Ciri penting dalam memilih ATS: sokongan pelanggan, penyesuaian, pencarian calon, dan lebih banyak lagi untuk proses pengambilan yang lebih efisien!
Posted Aug 14, 2024
4 min read
Fakta SebenarAnda Perlu Tahu Tentang ATS - Mitos vs Realiti
Sistem ATS mempermudah proses pengambilan pekerja. Artikel ini mengulas mitos umum tentang ATS dan fungsinya yang sebenar.
Posted Aug 7, 2024
12 min read
Maksud ATS, Kepentingan & Fungsinya
ATS adalah perisian yang menyaring, menyusun, dan mengurus permohonan kerja secara automatik, memudahkan pengambilan pekerja dan meningkatkan kecekapan.
Posted Aug 7, 2024
Share this article