Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide Cara Memohon Kerja Melalui WhatsApp (Tips & Contoh Ayat Boleh Digunakan)

10 min read

Cara Memohon Kerja Melalui WhatsApp (Tips & Contoh Ayat Boleh Digunakan)

Selain melalui emel dan portal pekerjaan, WhatsApp juga telah menjadi salah satu platform yang popular untuk pencari kerja memohon pekerjaan pada masa kini.

Nasra Patahuddin

Updated Apr 30, 2024

Selain melalui emel dan portal pekerjaan, WhatsApp juga telah menjadi salah satu platform yang popular untuk pencari kerja memohon pekerjaan pada masa kini.

Tidak dinafikan platform ini sangat memudahkan pihak majikan dan calon pekerja berhubung mengenai jawatan yang ditawarkan. Hal ini kerana, ia digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian dan membolehkan komunikasi berlaku secara langsung dan pantas antara pencari kerja dan majikan.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara penting yang anda perlu ketahui sebelum memohon kerja melalui WhatsApp untuk meningkatkan peluang agar permohonan anda diterima.

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenai cara yang betul memohon kerja melalui WhatsApp untuk panduan anda. Jom baca!

Faktor yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Memohon Kerja Melalui WhatsApp

Sebagai pencari kerja, adalah penting untuk mempertimbangkan beberapa perkara sebelum memohon pekerjaan melalui WhatsApp.

Berikut adalah antara perkara yang anda perlu dipertimbangkan:

1. Kesesuaian Syarikat

Tidak semua syarikat menerima permohonan kerja melalui WhatsApp. Beberapa syarikat mungkin lebih memilih permohonan melalui emel atau portal pekerjaan.

Oleh itu, sebelum membuat permohonan pastikan syarikat yang dimohon tersebut menerima permohonan melalui WhatsApp. Pastikan majikan yang anda hubungi membenarkan penggunaan WhatsApp untuk tujuan permohonan kerja.

2. Melakukan Carian Mengenai Syarikat yang Dimohon

Sebelum menghantar permohonan kerja melalui WhatsApp, pastikan anda melakukan carian secara menyeluruh tentang syarikat yang dimohon.

Ketahui tentang visi, misi, nilai, dan budaya syarikat untuk memastikan ia sepadan dengan matlamat dan keperluan anda. Sebenarnya, ini adalah langkah asas dalam pencarian kerja melalui apa-apa platform sekalipun.

3. Prosedur Permohonan

Pastikan anda memahami dengan jelas prosedur permohonan yang ditetapkan oleh majikan bagi memohon pekerjaan yang ditawarkan melalui WhatsApp. Baca iklan jawatan dengan teliti untuk memahami syarat-syarat dan prosedur permohonan yang ditetapkan oleh majikan.

Sekiranya perlu, dapatkan arahan lanjut dari pihak berkaitan mengenai cara memohon melalui WhatsApp. Tanya mengenai jenis dokumen yang perlu dihantar, format yang diterima, dan langkah-langkah yang perlu diikuti dalam proses permohonan.

4. Sediakan Dokumen Terkini

Pastikan semua dokumen yang diperlukan seperti resume, portfolio, dan sijil-sijil yang diperlukan disediakan dengan baik sebelum memulakan perbualan dengan majikan melalui WhatsApp.

Ini akan memudahkan proses penghantaran sekiranya diperlukan. Sekaligus, ia akan memberikan kesan yang lebih profesional.

5. Jaringan Internet yang Stabil

Sebelum memulakan perbualan atau menghantar mesej, pastikan anda mempunyai sambungan internet yang stabil. Jaringan yang tidak stabil boleh mengakibatkan kelewatan dalam penghantaran mesej atau masalah dalam berkomunikasi dengan majikan.

Cara Bertanya Mengenai Peluang Pekerjaan Melalui WhatsApp

Bagi memastikan anda tidak tersasar jauh daripada adab sopan yang seharusnya dilakukan, rujuk poin-poin di bawah untuk mengetahui cara bertanya mengenai peluang pekerjaan melalui WhatsApp.

1. Mulakan dengan Ucapan Salam

Sebelum masuk ke poin sebenar, mulakan mesej anda dengan ucapan salam. Ini melambangkan adab sopan dalam berkomunikasi dan menunjukkan hormat kepada penerima mesej.

Secara tidak langsung ia membantu mencipta hubungan yang positif daripada awal dan meningkatkan peluang menerima respons yang baik daripada penerima mesej.

Contoh:

"Assalamualaikum dan salam sejahtera, Tuan/Puan/Cik [Nama Penerima]."

2. Kenalkan Diri

Selepas ucapan salam, perkenalkan diri anda dengan ringkas. Ini adalah penting agar penerima mesej mengetahui siapa yang menghubungi dan ingin berurusan dengan mereka.

Ia juga akan memberikan gambaran yang jelas kepada penerima mesej tentang keahlian atau pengalaman yang anda miliki yang berkaitan dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Anda boleh mulakan dengan menyebut nama dan latar belakang pendidikan atau pengalaman kerja yang relevan dengan permohonan kerja anda.

Contoh:

“Nama saya [Nama Anda]. Saya adalah graduan [nama program atau institusi pendidikan] dengan pengalaman dalam [bidang yang berkaitan]."

“Saya [Nama Anda]. Saya telah bekerja dalam bidang [nyatakan bidang yang berkaitan] selama [jumlah tahun]."

3. Menyatakan Tujuan dan Niat

Kemudian, nyatakan tujuan dan niat anda menghantar mesej WhatsApp tersebut. Nyatakan dengan jelas bahawa anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Dengan memberitahu tujuan anda menghantar mesej dengan jelas, ia memudahkan penerima mesej untuk merespon dengan maklumat yang sesuai. Sekaligus, membantu anda mendapatkan maklumat yang diperlukan dengan tepat.

Contoh:

"Saya ingin bertanya tentang peluang pekerjaan yang ditawarkan di syarikat ini untuk masa sekarang sekiranya ada dan bagaimana saya boleh memohon."

"Tujuan saya menghantar mesej ini adalah untuk mengetahui lebih lanjut tentang peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak tuan/puan. Saya sangat berminat untuk memohon dan bersedia memberikan sumbangan yang positif kepada syarikat. Oleh itu, saya ingin mengetahui maklumat lanjut tentang peluang pekerjaan yang ditawarkan dan proses permohonan yang perlu diikuti."

4. Nyatakan Kesediaan Anda

Selain itu, nyatakan juga kesediaan anda untuk menghantar resume atau dokumen yang diperlukan. Ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen kita dalam mencari peluang pekerjaan atau ingin mendapatkan pekerjaan yang ditawarkan.

Ia juga memberi gambaran kepada penerima mesej bahawa anda serius dalam permohonan anda dan bersedia untuk memberikan maklumat tambahan yang diperlukan untuk pertimbangan mereka. Ini dapat meningkatkan kepercayaan mereka terhadap anda sebagai calon yang berpotensi.

Contoh:

"Saya juga ingin menyatakan bahawa saya bersedia untuk menghantar resume atau dokumen lain yang diperlukan untuk pertimbangan lanjut pihak tuan/puan agar dapat memberikan gambaran yang lebih lengkap tentang latar belakang dan kebolehan saya."

5. Penutup

Akhiri mesej dengan ucapan terima kasih atas masa dan harapan untuk mendengar berita baik secepat mungkin.

Contoh:

"Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca mesej saya. Saya berharap untuk mendengar berita baik dari pihak tuan/puan.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

[Nama Anda]".

Contoh Mesej WhatsApp Untuk Memohon Kerja Melalui WhatsApp

Berikut adalah contoh mesej WhatsApp untuk memohon kerja dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris:

Bahasa Melayu

Contoh 1:

Salam sejahtera, Tuan Ali.

Nama saya Aminah. Saya merupakan graduan dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Teknologi Malaysia.

Tujuan saya menghantar mesej adalah untuk mengetahui sekiranya terdapat peluang pekerjaan yang sesuai di syarikat ini yang berkaitan dengan bidang pengajian saya.

Sekiranya ada, boleh saya dapatkan maklumat lanjut mengenai jawatan tersebut?

Saya bersedia untuk menghantar resume dan dokumen lain yang diperlukan sekiranya ada untuk pertimbangan lanjut pihak tuan.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca mesej saya. Saya berharap untuk mendengar berita baik dari pihak tuan/puan.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Aminah.

Contoh 2:

Assalamualaikum dan Selamat Pagi, Puan Nora.

Saya Amir bin Abu, pernah bekerja dalam bidang pemasaran selama lima tahun di Syarikat Pemasaran Digital SDN BHD. Saya dapat nombor telefon Puan Nora melalui satu iklan jawatan kosong di LinkedIn.

Boleh saya dapatkan info lebih lanjut mengenai jawatan kosong sebagai Pegawai Pemasaran yang diiklankan?

Saya berharap untuk mendapat peluang untuk berbincang lebih lanjut mengenai peluang pekerjaan ini dan bersedia untuk menghantar resume saya bila-bila masa.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Amir.

Contoh 3:

Salam sejahtera, Tuan Bakar.

Perkenalkan, nama saya Faridah Bin Ali. Saya merupakan graduan baru dalam bidang Kewangan dari Universiti Malaya. Saya sangat berminat untuk memulakan kerjaya saya dalam industri ini dan saya rasa syarikat ini adalah tempat yang sesuai untuk memulakan perjalanan saya.

Adakah terdapat peluang pekerjaan yang sesuai untuk graduan baru seperti saya? Saya bersedia untuk menghantar resume saya dan dokumen lain jika diperlukan.

Terima kasih atas kesudian membaca mesej saya.

Yang Benar,

Faridah.

Bahasa Inggeris

Contoh 1:

Good Morning, Puan Ani.

My name is Abadi. I recently graduated with a degree in Computer Science from the University of Malaya. I am reaching out to inquire about any job opportunities available in your company. I am keen to contribute my skills and knowledge to your team.

Could you please provide information on any open positions and the application process? I am also prepared to send my resume for further consideration.

Thank you for your attention.

Best regards,

Abadi.

Contoh 2:

Assalamualaikum dan Good Morning, Tuan Kamal.

I am Sarah Binti Hafiz. I have been working in the field of Human Resources for the past three years and have a degree in Human Resources.

I'm interested in exploring career opportunities within your company. Could you please let me know if there are any suitable openings?

I am ready to provide additional information and send my resume if needed. Thank you for considering my inquiry.

Warm regards,

Sarah.

Contoh 3:

Dear Hiring Manager,

My name is Ahmad Albab bin Abu Bakar. I am writing to express my interest in potential job openings at your esteemed company. I hold a degree in Marketing from Taylor's University and have gained valuable experience through internships. I am eager to bring my skills and enthusiasm to your team.

Could you please provide information on available positions and the application process? I am more than willing to send my resume for your review.

Thank you for your time and consideration.

Sincerely,

Ahmad Albab.

Tips Memohon Kerja Melalui WhatsApp

1. Gunakan Gambar Profil Yang Sesuai & Nama Yang Sebenar

Pastikan gambar profil anda adalah sesuai dan memberikan kesan profesional. Elakkan daripada menggunakan gambar yang tidak sesuai atau tidak berkaitan dengan kerjaya anda.

Selain itu, pastikan juga nama di WhatsApp anda adalah nama sebenar bukannya nama timangan atau tidak mempunyai nama.

2. Hantar Mesej yang Ringkas & Jelas

Apabila memohon kerja melalui WhatsApp, pastikan mesej yang anda hantar ringkas dan mudah difahami.

Elakkan daripada memberikan terlalu banyak butiran yang tidak perlu. Sentiasa pastikan mesej anda mudah dibaca dan difahami oleh penerima

3. Gunakan Pautan Untuk Melampirkan Resume Dan Portfolio

Gunakan pautan untuk melampirkan resume dan portfolio anda. Ini membolehkan penerima mengakses maklumat anda dengan lebih mudah dan kemas. Pastikan pautan yang anda kirimkan berfungsi dengan baik.

Namun sekiranya anda ragu-ragu, anda boleh hantarkan resume/dokumen yang diminta dalam bentuk PDF. Elakkan menggunakan format yang tidak mesra pengguna atau memerlukan aplikasi khusus untuk dibuka.

4. Gunakan Bahasa yang Sopan & Professional

Gunakan bahasa yang sopan dan profesional dalam setiap mesej yang anda hantar kepada majikan. Hindari penggunaan singkatan atau emoji yang tidak sesuai, dan pastikan tatabahasa dan ejaan betul.

Elakkan daripada menggunakan bahasa yang kasar atau terlalu santai. Elakkan juga menggunakan ayat yang berbunga-bunga agar mesej anda mudah difahami. Ini adalah penting agar tidak berlaku salah faham.

Selain itu, sekiranya anda perlu menggunakan nota suara (voice note), pastikan suasana di sekeliling anda sunyi dan bercakaplah dengan tona suara yang sesuai dan jelas.

5. Hantar Mesej Pada Waktu yang Sesuai

Walaupun WhatsApp adalah merupakan aplikasi yang popular untuk berkomunikasi secara peribadi, namun pastikan anda mencari masa yang sesuai untuk menghubungi majikan melalui WhatsApp.

Ini menunjukkan bahawa anda menghormati waktu dan keperluan profesionalisma. WhatsApp tidak mempunyai fungsi penjadualan, jadi pastikan anda menghantar mesej pada waktu yang sesuai.

Sebaiknya, hantar mesej anda pada waktu siang, pukul 8 pagi ke atas pada hari bekerja (Isnin-Jumaat). Elakkan menghantar mesej pada waktu malam atau di luar waktu pejabat yang biasa, kecuali jika diminta untuk berbuat demikian. Ini adalah merupakan salah satu adab penting yang semakin dilupakan ramai.

Pemilihan waktu yang sesuai untuk menghantar mesej adalah penting agar mesej anda berpeluang untuk mendapatkan respons yang positif daripada pihak majikan.

6. Respon Dengan Pantas

Setelah menghantar permohonan, pastikan anda sentiasa bersedia untuk merespon dengan pantas sekiranya pihak majikan memberi maklum balas atau bertanya mengenai butiran lanjut.

Ini menunjukkan kesungguhan dan kecekapan anda sekaligus meningkatkan peluang anda untuk langkah seterusnya.

Jangan sesekali menunda untuk memberi balasan sehinga terlupa atau terabaikan mesej daripada pihak majikan.

7. Pastikan Privasi Terjaga

Semasa menghantar dokumen atau berkomunikasi melalui WhatsApp, pastikan untuk menjaga keselamatan dan privasi maklumat peribadi anda.

Jangan berkongsi maklumat sensitif seperti nombor kad pengenalan atau butir-butir perbankan melalui platform ini.


Kesimpulan

Akhir kata, semoga panduan di atas memberi manfaat kepada anda terutamanya buat pencari kerja yang ingin memohon kerja atau mencari peluang pekerjaan melalui WhatsApp serta meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan respon yang positif daripada pihak bakal majikan.

Ingatlah bahawa kejayaan memohon kerja melalui WhatsApp bergantung kepada kesungguhan, profesionalisme dan komunikasi yang efektif. Semoga berjaya!

Pekerjaan Terkenal:

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles