Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide Tips Memperkenalkan Diri Semasa Temuduga Beserta Contoh

8 min read

Tips Memperkenalkan Diri Semasa Temuduga Beserta Contoh

Temui strategi dan panduan bagi menjawab soalan wajib "Sila perkenalkan diri anda" semasa temuduga. Dapatkan tips untuk membuat kesan pertama yang positif dan contoh jawapan yang berkesan bagi memenangi hati panel temuduga.

Nasra Patahuddin

Updated May 6, 2024

Tips Memperkenalkan Diri Semasa Temuduga Beserta Contoh

"Sila perkenalkan diri anda."

Ini adalah merupakan salah satu soalan wajib semasa temuduga. Ramai yang beranggapan soalan ini adalah hanya sekadar soalan biasa ibaratnya penemuduga nak kenal-kenal je.

Memang betul pun tanggapan pun. Namun dengan ratusan calon yang hadir temuduga, inilah masanya untuk anda berikan ‘first impression’ yang positif kepada panel temuduga sehingga mereka tertarik untuk mengambil anda sebagai pekerja.

Jadi, untuk artikel ini, kita akan membincangkan beberapa cara dan tips memperkenalkan diri, perkara yang perlu dielakkan serta contoh jawapan. Jom baca.

Elemen Penting Dalam Menjawab Soalan “Perkenalkan Diri Anda”

Apakah perkara yang anda sepatutnya ceritakan kepada panel temuduga apabila mereka minta anda untuk perkenalkan diri?

Bagi menjawab soalan ini, pastikan untuk telah merancang apa yang anda ingin katakan secara teratur. Ingat, first impression is important!

Antara elemen penting yang perlu ada semasa menjawab soalan ini ialah;

1. Maklumat diri: Pastikan anda memberitahu maklumat peribadi yang relevan sahaja.

2. Kelayakan akademik: Nyatakan kelayakan akademik yang berkaitan dengan jawatan dipohon.

3. Pengalaman kerja: Ringkaskan pengalaman kerja anda yang relevan dengan jawatan tersebut.

4. Minat: Sebutkan minat atau aktiviti luar yang mungkin berkaitan dengan keperluan syarikat.

5. Nilai diri: Jelaskan nilai atau kelebihan yang anda boleh bawa kepada organisasi.

6. Rancangan masa depan: Jelaskan juga rancangan masa depan anda dan kaitannya dengan jawatan yang dipohon.

Cara Memperkenalkan Diri Semasa Temuduga

1. Sapa Panel Temuduga

Mulakan dengan menyapa panel temuduga dengan ucapan salam, “Selamat Pagi/Tengahari/Petang”, atau “Salam Sejahtera”.

Ini adalah bagi memecahkan keheningan suasana di bilik temuduga tersebut sekaligus menandakan bahawa anda sopan orangnya. Bukan itu sahaja, ia juga dapat membantu anda untuk bersikap lebih santai.

2. Maklumat Asas

Perkenalkan diri anda dengan menyatakan maklumat penting seperti nama, tempat asal, pendidikan dan informasi mengenai diri anda yang relevan. Elakkan bercerita tentang maklumat yang terlalu peribadi atau kurang penting/tidak relevan.

3. Pengalaman Kerja

Sekiranya anda memohon jawatan yang memerlukan pengalaman kerja, pastikan anda menjelaskan pengalaman kerja yang berkaitan dengan jawatan yang dimohon. Contohnya seperti,

"Saya mempunyai pengalaman selama [tempoh masa] di bidang [nama Industri] di mana saya telah menangani tugas seperti [jelaskan tugas/tanggungjawab anda]."

Jika tidak mempunyai pengalaman kerja yang berkaitan, kaitkan pengalaman kerja anda yang terdahulu dengan jawatan yang anda mohon sekarang dari segi kemahiran, tanggungjawab dan seumpamanya.

Jangan khuatir jika anda tidak mempunyai pengalaman kerja. Anda boleh bercerita mengenai pengalaman anda membuat latihan industri ataupun kerja sampingan yang anda pernah lakukan.

4. Pencapaian

Huraikan pencapaian terbaik anda yang pernah anda capai sebelum ini. Contohnya seperti;

"Semasa bekerja dalam bidang pemasaran, saya pernah mencapai jualan lebih daripada target asal … [jelaskan pencapaian anda]."

Selain itu, jangan lupa untuk tekankan nilai atau kelebihan yang anda bawa kepada organisasi seperti kemahiran komunikasi yang baik, kepimpinan, keupayaan untuk bekerja dalam pasukan dan sebagainya.

5. Hobi & Minat

Ceritakan serba sedikit mengenai hobi dan minat anda seperti sukan, seni, atau kegiatan sukarela yang anda sertai. Anda boleh kaitkan juga hobi atau minat anda ini dengan jawatan yang dipohon secara kreatif.

Mempunyai hobi dan aktif melibatkan diri dalam aktiviti sosial mencerminkan anda seorang yang produktif, fleksibel, serba boleh dan sebagainya. Secara tidak langsung, ia memberi poin tambahan untuk anda.

6. Sebab Memohon Kerja

Akhiri pengenalan dengan memberikan alasan yang kukuh mengapa anda berminat untuk menyertai syarikat dan jawatan yang dipohon. Contohnya;

"Saya tertarik dengan syarikat ini kerana saya percaya ia memberi peluang kepada saya untuk berkembang dan menyumbang kepada industri.

Anda juga boleh nyatakan sebab mengapa jawatan tersebut sesuai dengan anda dengan mengaitkan pengalaman, pencapaian atau kemahiran yang anda miliki.

Tips Menjawab Soalan Perkenalkan Diri Anda

1. Baca Iklan Kerja Dengan Teliti

Sebelum hadir ke temuduga, pastikan anda membaca iklan kerja dengan teliti sekali lagi. Rujuk bahagian skop pekerjaan (jobscope) apakah ciri-ciri/kemahiran pekerja yang diperlukan.

Melalui maklumat tersebut, anda boleh merancang strategi untuk memperkenalkan diri anda dengan menarik untuk menjadi individu yang dicari oleh pihak majikan.

2. Buat Persiapan

Walaupun anda sudah pernah menghadiri berpuluh-puluh temuduga, anda tetap perlu membuat persiapan terlebih dahulu.

Anda boleh tulis teks pengenalan diri dan membacanya berulang kali sebelum temuduga untuk memastikan semua maklumat tersusun, lengkap dan dan padat.

Anda tidak perlu pun menghafal skrip bulat-bulat. Cukup untuk tahu apakah isi utama yang anda ingin ceritakan. Melalui cara ini, ia akan membantu anda bercakap dengan lancar dan yakin.

3. Bertenang dan kekal profesional

Ketika anda memperkenalkan diri, jangan gabrah dan kekal tenang. Patikan anda ingat apakah skil atau “keyword” yang panel temuduga inginkan.

Jelaskan mengenai diri anda, pengalaman dan kemahiran yang berguna kepada syarikat dengan yakin dan profesional.

4. Bahasa Badan

Pastikan bahasa badan anda menunjukkan keyakinan dan kesungguhan seperti posisi duduk yang tegap, pergerakan tangan (minimumkan!) dan senyuman yang mesra. Elakkan berpeluk tubuh dan tidak memandang langsung pada panel temuduga terutamanya semasa bercakap.

5. Cara Bercakap & Nada Suara

Bercakaplah dengan suara yang boleh didengari oleh panel temuduga dengan jelas. Pastikan anda bercakap dengan nada suara yang yakin dan memberi kesan positif kepada penemuduga. Ambil masa beberapa saat sebelum menjawab soalan agar anda dapat menyusun ayat dengan lebih baik.

6. Mesej Yang Jelas Dan Tepat

Jika anda terlupa, elakkan untuk mengulang poin yang sama berulang kali. Tarik nafas dan ingat semula poin yang anda lupa. Tips untuk elakkan lupa ialah, buat kata kunci yang mudah untuk diingati.

7. Berlatih

Ini adalah tips yang paling penting. Luangkan masa untuk berlatih, berlatih dan berlatih. Anda boleh berlatih bersama rakan/ahli keluarga. Minta rakan anda untuk memberikan maklum balas jika ada yang perlu dibaiki.

Atau paling mudah, berlatih di hadapan cermin. Lihat cara anda bercakap dan bahasa tubuh anda melalui cermin. Latihan dapat meningkatkan keyakinan dan kelancaran anda bercakap.

Perkara Yang Perlu Dielakkan

1. Bercakap Panjang Lebar

Elakkan bercakap mengenai sesuatu maklumat dengan panjang lebar untuk mengelakkan anda merapu dan penemuduga berasa bosan.

Jangan gabungkan dua poin utama di dalam satu ayat anda. Selain itu, elakkan mengulang semula poin yang telah anda katakan. Pastikan ia ringkas dan padat.

2. Tergesa-gesa

Hindari bercakap dengan tergesa-gesa semasa memperkenalkan diri untuk memastikan pengenalan anda disampaikan dengan baik. Tenangkan diri sebelum mula bercakap. Apabila bercakap dalam keadaan gemuruh, anda akan bercakap dengan tergesa-gesa.

3. Tidak Bersedia

Pastikan anda telah merancang dan berlatih dengan jawapan anda sebelum menghadiri temuduga. Persiapan yang kurang akan menyebabkan anda kurang yakin dan tergagap-gagap semasa bercakap.

4. Maklumat Tidak Jelas

Elakkan bercakap mengenai sesuatu dengan tidak jelas. Susun maklumat yang anda ingin katakan secara teratur, terperinci dan mudah difahami oleh panel penemuduga.

5. Mengulang Maklumat Dalam Resume

Elakkan daripada menceritakan keseluruhan resume anda. Berikan gambaran ringkas yang menarik dan fokus tentang diri anda sahaja.

6. Menggunakan Bahasa yang Tidak Profesional

Hindari menggunakan bahasa yang kurang sesuai atau tidak profesional semasa menjawab soalan ini. Pastikan bahasa anda sopan, professional dan sesuai dengan konteks temuduga.

Contoh Jawapan Perkenalkan Diri

Anda boleh menggunakan contoh dan ubahsuai jawapan di bawah mengikut kesesuaian dan keperluan anda.

Situasi 1: Pemohon mempunyai pengalaman bekerja.

"Assalamualaikum, nama saya Adam bin Ahmad. Saya berasal dan tinggal di Kuala Lumpur. Saya mempunyai Diploma dalam Kejuruteraan Komputer dan telah bekerja sebagai juruteknik rangkaian selama tiga tahun.

Sepanjang itu, saya telah berjaya membaiki pelbagai jenis masalah rangkaian dengan cepat dan efisien serta memberikan sokongan teknikal yang berkualiti kepada pengguna.

Di luar pekerjaan, saya suka bermain bola sepak dan mengajak keluarga untuk bercuti bersama. Ini adalah merupakan cara saya untuk menguruskan tekanan agar dapat kembali bekerja dengan semangat.

Saya tertarik untuk menyertai syarikat ini kerana saya percaya ia adalah tempat yang sesuai untuk saya memperluaskan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang teknologi."

Situasi 2: Pemohon hanya mempunyai pengalaman bekerja separuh masa.

“Salam sejahtera saya ucapkan kepada puan x, tuan y, puan z. (nama panel)

Nama saya ialah Mokhtar Ali dan berasal dari Johor Bahru. Saya mempunyai diploma di dalam Kejuruteraan Kimpalan.

Walaupun pengalaman kerja saya sebelum ini adalah sebagai pemandu Grab secara separuh masa, saya mempunyai kemahiran dalam pengurusan masa, komunikasi, dan menyelesaikan masalah.

Selain itu, saya mempunyai minat mendalam dalam bidang kejuruteraan dan berazam untuk terus belajar dan berkembang dalam kerjaya ini.

Saya yakin bahawa dengan dedikasi dan semangat saya, saya boleh memberikan sumbangan yang positif kepada organisasi ini. Terima kasih atas peluang ini.”

Situasi 3: Pemohon tiada pengalaman bekerja dan tidak pernah membuat kerja separuh masa.

“Selamat Pagi. Saya amat berterima kasih atas peluang yang diberikan untuk menghadiri temuduga ini. Nama saya ialah Aimuni Munir, dan saya sangat berminat untuk menyertai syarikat ini bagi jawatan kerani pentadbiran.

Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman di dalam jawatan pentadbiran, saya mempunyai latar belakang dalam sumber manusia di Universiti Teknologi Mara. Semasa pengajian saya, saya telah mengambil kursus yang melibatkan pengurusan maklumat, organisasi, dan koordinasi.

Saya mempunyai kemahiran yang kukuh dalam pengurusan masa, komunikasi, dan penyelesaian masalah yang saya kembangkan melalui projek akhir tahun yang telah saya lakukan.

Saya yakin bahawa dengan latar belakang dan kemahiran yang saya miliki, saya boleh memberikan sumbangan yang positif kepada syarikat ini. Terima kasih. “

Situasi 4: Graduan Baru

"Assalamualaikum dan salam sejahtera. Nama saya Hani binti Hassan, dan saya tinggal di Shah Alam, Selangor.

Saya merupakan graduan baru dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Malaya. Walaupun saya belum mempunyai pengalaman kerja formal dalam bidang ini, saya telah mengambil bahagian dalam beberapa projek sukarela yang berkaitan dengan pengurusan sumber manusia semasa di universiti.

Saya amat berminat dalam pembangunan modal insan dan kegiatan pembelajaran dan pembangunan. Selain daripada itu, saya juga aktif dalam aktiviti sukarela di pusat komuniti setempat. Saya sangat berminat untuk menyertai syarikat ini kerana saya percaya bahawa saya mempunyai kebolehan dan minat yang sesuai untuk menyumbang kepada pembangunan sumber manusia dalam organisasi yang dinamik ini."


Penutup

Dengan panduan di atas, semoga ia dapat membantu anda untuk menjawab soalan perkenalkan diri dengan jayanya dan meningkatkan peluang anda untuk berjaya dalam temuduga.

Seterusnya, jangan lepaskan peluang untuk mula mencari peluang pekerjaan ideal anda! Kunjungi Epicareer hari ini untuk meneroka pelbagai jawatan kosong yang sesuai, terutamanya untuk graduan baru. Langkah pertama menuju kerjaya impian anda bermula di sini.

Semoga berjaya!

Pekerjaan Terkenal:

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles