Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide 4P dalam Pemasaran: Maksud dan Cara Mengaplikasikannya

7 min read

4P dalam Pemasaran: Maksud dan Cara Mengaplikasikannya

Konsep 4P dalam pemasaran, yang melibatkan Produk, Harga, Tempat, dan Promosi, membantu perniagaan merangka strategi yang efektif untuk mencapai sasaran pasaran dan memenuhi kehendak pelanggan. Ketahui bagaimana setiap elemen ini berfungsi untuk mencipta nilai dan kelebihan kompetitif bagi syarikat anda.

Nasra Patahuddin

Updated Jun 26, 2024

Terdapat pelbagai jenis konsep yang boleh digunakan dalam strategi pemasaran bergantung kepada jenis perniagaan dan seumpamanya. Salah satu strategi pemasaran asas yang popular adalah konsep 4P.

Ia digunakan sebagai kerangka kerja yang memudahkan pengurusan strategi pemasaran. Keempat-empat elemen ini membantu pengurus pemasaran dalam merangka strategi yang efektif untuk mencapai sasaran pasaran dan memenuhi kehendak pelanggan.

Konsep 4P ini telah diperkenalkan oleh E. Jerome McCarthy iaitu seorang ahli akademik dan pakar pemasaran pada tahun 1950-an.

Apa itu Strategi Pemasaran 4P?

McCarthy memperkenalkan konsep 4P yang melibatkan Produk (Product), Harga (Price), Tempat (Place), dan Promosi (Promotion). Setiap elemen ini memainkan peranan yang kritikal dalam membentuk strategi pemasaran yang efektif dan berjaya.

Dengan memahami dan mengaplikasikan konsep 4P ini, syarikat dapat mencipta nilai bagi pelanggan mereka serta mencapai kelebihan kompetitif dalam pasaran.

1. Product (Product)

Elemen pertama ialah produk. Produk merujuk kepada barang atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah perniagaan untuk memenuhi keperluan atau kehendak pelanggan.

Dalam konteks ini, produk bukan sahaja merangkumi barangan fizikal tetapi juga perkhidmatan, pengalaman, dan nilai tambah lain yang diberikan kepada pelanggan.

Ini termasuk kualiti produk, reka bentuk, ciri-ciri, jenama, dan perkhidmatan sokongan. Pemilihan dan pengurusan produk yang baik adalah penting untuk kejayaan pemasaran. Produk harus berfungsi untuk memuaskan hati pelanggan dan memberi manfaat.

Contoh produk:

  • Barangan Fizikal: Makanan, Pakaian, Telefon pintar
  • Perkhidmatan: Konsultasi kewangan, Perkhidmatan penghantaran, Rawatan kesihatan

2. Price (Harga)

Elemen kedua dalam 4P adalah harga. Harga merujuk kepada nilai atau jumlah wang yang pelanggan perlu bayar untuk mendapatkan produk atau perkhidmatan tersebut.

Strategi harga adalah kritikal kerana ia bukan sahaja mempengaruhi keuntungan tetapi juga persepsi pelanggan terhadap nilai produk. Ia melibatkan strategi penetapan harga, diskaun dan terma pembayaran.

Terdapat pelbagai strategi penetapan harga yang boleh digunakan bergantung kepada objektif syarikat, sifat produk, dan pasaran sasaran. Penetapan harga yang betul dapat mempengaruhi permintaan produk sekaligus membantu meraih keuntungan syarikat.

Bagi membantu menentukan harga yang tepat, anda perlu memahami dengan mendalam audiens sasaran anda dan kesediaan mereka untuk membayar produk anda. Beberapa soalan yang boleh anda fikirkan jawapannya semasa mempertimbangkan harga produk termasuk:

  • Berapakah julat harga produk pesaing anda?
  • Berapakah julat harga yang mampu dibayar oleh audiens sasaran anda?
  • Berapakah harga yang terlalu tinggi untuk audiens anda? Berapakah harga yang terlalu rendah?
  • Berapakah harga yang paling sesuai dengan pasaran sasaran anda?

3. Place (Tempat)

Seterusnya, elemen ketiga dalam 4P adalah tempat. Tempat merujuk kepada tempat menjual produk dan bagaimana produk anda disalurkan kepada pelanggan. Ia boleh jadi lokasi fizikal seperti kedai dan juga platform digital seperti laman web e-dagang.

Pilihan saluran pengedaran yang efektif dapat memastikan produk tersedia pada masa dan tempat yang sesuai untuk pelanggan.

Contoh:

  • Kedai Fizikal: Butik pakaian, Pasar raya, Kedai Runcit
  • Platform Digital: Shopee, Lazada, Amazon, Laman web rasmi syarikat

4. Promotion (Promosi)

Akhir sekali, elemen keempat dalam konsep 4P pemasaran adalah promosi. Promosi merujuk kepada aktiviti atau cara yang dilakukan untuk meningkatkan kesedaran dan minat terhadap produk, menyebarkan maklumat mengenai produk dan juga taktik yang digunakan untuk menukar prospek menjadi pembeli.

Strategi promosi boleh merangkumi pengiklanan, hubungan awam, pemasaran media sosial, pemasaran kandungan, pemasaran langsung, dan pemasaran melalui influencer, serta diskaun dan tawaran istimewa yang diberikan untuk menjana jualan.

Promosi yang berkesan dapat meningkatkan kesedaran dan permintaan terhadap produk. Perlu diingat, promosi tidak semestinya memerlukan bajet yang tinggi. Manfaatkan penggunaan platform dalam talian seperti media sosial. Jangan lupa juga masukkan jangkaan kos promosi ke dalam strategi penetapan harga produk anda.

Contoh Penggunaan 4P dalam Pemasaran

1. Produk

Salah satu contoh penggunaan strategi pemasaran untuk elemen produk yang boleh dijadikan contoh ialah produk telefon pintar (iphone) hasil keluaran syarikat Apple Inc.

iPhone bukan sahaja merupakan telefon pintar dengan ciri-ciri canggih seperti kamera berkualiti tinggi, pemproses yang pantas, dan sistem operasi yang intuitif. Tetapi, turut memberikan pengalaman pengguna yang menyeluruh melalui ekosistem Apple yang merangkumi iCloud, Apple Music, dan App Store.

Ini menjadikan produk iPhone mampu diterima oleh hampir semua golongan pengguna. Bermula daripada golongan profesional yang memerlukan peranti yang boleh diharapkan untuk tugas harian mereka sehingga ke remaja yang menginginkan peranti yang boleh menawarkan hiburan dan sambungan sosial yang berterusan.

Populariti iPhone tidak hanya terhad kepada satu demografi, tetapi meliputi pelbagai lapisan masyarakat di seluruh dunia.

2. Harga

Untuk elemen harga, anda boleh baca contoh berikut.

Anda boleh membeli secawan kopi dengan harga di bawah RM10 atau membayar lebih daripada RM100, dan kedua-dua cawan kopi itu akan memberi anda pengalaman minum kopi.

Harga yang seseorang sanggup bayar untuk secawan kopi mencerminkan kemampuan, minat, gaya, dan keutamaan kualiti serta apa yang mereka hargai dalam minuman tersebut.

Seperti yang kita tahu, kopi di Starbucks, Coffee Bean, dan Costa Coffee dijual dengan harga premium. Tetapi sebenarnya, mereka bukan menjual kopi semata-mata. Apa yang dijual oleh jenama-jenama ini adalah gaya hidup yang mewah.

Harga premium yang dikenakan oleh jenama kopi ini mencerminkan kualiti dan eksklusiviti; sasaran pelanggan mereka mempunyai kemampuan untuk membeli produk ini dan keinginan untuk menikmati kopi dengan penuh bergaya (mencerminkan gaya hidup).

Sebaliknya, kedai kopi di tepi jalan atau kedai serbaneka 7-Eleven mensasarkan pelanggan yang lebih mementingkan bajet. Oleh itu, mereka menawarkan harga yang lebih berpatutan dan diskaun promosi yang kerap. Mereka menawarkan alternatif yang lebih murah tetapi masih memberikan nilai yang baik kepada pelanggan.

Oleh itu, apabila menetapkan harga produk anda, anda harus mempertimbangkan bukan sahaja kos pengeluaran tetapi juga siapa pembeli ideal anda dan berapa yang mereka sanggup belanjakan untuk produk yang anda jual.

3. Tempat

Dengan perkembangan teknologi digital, tempat/saluran penjualan sesuatu produk tidak hanya terhad secara fizikal sahaja. Bahkan, penjualan menggunakan saluran dalam talian ada kalanya lebih efektif.

Hari ini, peniaga makanan boleh menjual makanan mereka tidak hanya melalui kedai fizikal seperti restoran tetapi juga melalui saluran digital seperti media sosial. Contoh lain, penjual kraftangan boleh menjual hasil karya mereka di galeri atau melalui laman web/platform jualan dalam talian seperti Etsy atau Shopee.

Pelbagai perniagaan biasanya bermula dengan menjual produk mereka secara dalam talian atau melalui kedai fizikal, kemudian memperluaskan ke saluran lain apabila hasil jualan meningkat.

4. Promosi

Perniagaan yang tidak melaksanakan promosi akan menghadapi cabaran untuk bertahan dalam pasaran yang semakin kompetitif. Melalui promosi yang kreatif, perniagaan dapat menarik perhatian pelanggan dan menggalakkan pembelian.

Salah satu syarikat tempatan di Malaysia yang menonjol dalam melakukan promosi ialah syarikat penerbangan AirAsia.

AirAsia adalah merupakan sebuah syarikat penerbangan tambang rendah yang berpusat di Malaysia yang menggunakan pelbagai strategi promosi untuk menarik pelanggan dan meningkatkan kesedaran terhadap jenama mereka.

Salah satu contoh kempen promosi yang terkenal dari AirAsia adalah "Big Sale". Melalui kempen promosi ini, Air Asia menawarkan tiket penerbangan dengan harga yang sangat rendah untuk ke destinasi popular. Kempen ini dijalankan dengan promosi media sosial yang intensif dan iklan melalui pelbagai platform untuk menarik perhatian pelanggan..

AirAsia juga sangat aktif dalam melakukan promosi melalui media sosial untuk berkongsi maklumat tentang tawaran terkini, perubahan jadual penerbanga dan berita-berita terkini berkaitan dengan syarikat mereka.

Dengan kombinasi strategi promosi yang berinovasi dan fokus pada nilai tambah kepada pelanggan, AirAsia terus mengekalkan kedudukannya sebagai pilihan utama penerbangan tambang rendah di rantau Asia Tenggara.

Contoh Strategi Pemasaran Campurang Lain (Mix Marketing)

1. 5P’s

  • Product (Produk): Seperti dalam konsep 4P, ia merujuk kepada produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan. Namun, dalam model 5P, produk juga merangkumi perkara seperti kualiti, jaminan, dan kebolehgunaan.
  • Price (Harga): Merujuk kepada jumlah wang yang ditetapkan untuk membeli produk atau perkhidmatan. Dalam model 5P, harga juga melibatkan faktor seperti diskaun, pakej, dan fleksibiliti harga.
  • Place (Tempat): Merujuk kepada saluran pengedaran produk atau perkhidmatan kepada pelanggan. Tempat boleh merujuk kepada lokasi fizikal atau digital di mana produk dijual, termasuk kedai runcit, laman web e-dagang, atau aplikasi mudah alih.
  • Promotion (Promosi): Seperti dalam konsep 4P, promosi melibatkan cara untuk mempromosikan produk kepada pelanggan. Ini termasuk iklan, jualan langsung, pemasaran digital, dan sebagainya.
  • People (Orang): Ini adalah tambahan kepada konsep 4P dan merujuk kepada orang dalam organisasi yang terlibat dalam proses pemasaran, termasuk pekerja jualan, perkhidmatan pelanggan, dan pekerja lain yang berinteraksi dengan pelanggan.

2. 7P’s

Konsep 7P diperkenalkan sebagai penambahbaikan kepada model asas 4P, dengan matlamat memberikan pemahaman yang lebih menyeluruh tentang proses pemasaran. Penambahbaikan ini berlaku apabila pemasaran berkembang untuk merangkumi lebih banyak aspek yang mempengaruhi apa yang dibeli orang dan bagaimana mereka membeli.

Idea 7P muncul secara beransur-ansur dan juga merupakan penambahan daripada model 5P yang sedia ada. 2 tambahan tersebut adalah:

  • Process (Proses): Merujuk kepada langkah-langkah atau proses yang diperlukan untuk menyediakan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan. Ini boleh merangkumi proses pembelian, penghantaran, atau pengalaman pengguna yang keseluruhan.
  • Physical Evidence (Bukti Fizikal): Ini merujuk kepada elemen-elemen fizikal yang memberikan bukti tentang kualiti atau kebolehpercayaan produk atau perkhidmatan. Contohnya, logo syarikat, kemasan produk, atau persekitaran fizikal kedai.

3. 5Cs

  • Company (Syarikat): Merujuk kepada organisasi yang menjalankan operasi pemasaran. Ini termasuk strategi perniagaan, kekuatan, dan kelemahan syarikat.
  • Collaborators (Rakan Sekutu): Merujuk kepada pihak luar yang terlibat dalam proses pemasaran, seperti pembekal, rakan kongsi, atau agensi pemasaran.
  • Customers (Pelanggan): Fokus pada keperluan, kehendak, dan tingkah laku pelanggan. Ini termasuk analisis demografi, psikografik, dan perilaku pembelian pelanggan.
  • Competitors (Pesaing): Melibatkan analisis pesaing dalam industri, termasuk kekuatan, kelemahan, strategi, dan tindak balas terhadap tindakan pemasaran syarikat.
  • Climate (Klim): Merujuk kepada faktor-faktor luaran yang mempengaruhi operasi pemasaran, seperti peraturan kerajaan, keadaan ekonomi, teknologi, dan trend sosial.

Kepentingan 4P dalam Pemasaran

1. Mengenalpasti Keperluan dan Kehendak Pelanggan

Dengan memahami produk apa yang pelanggan inginkan, perniagaan dapat menghasilkan atau menyesuaikan produk yang memenuhi keperluan pelanggan. Kajian pasaran dan maklum balas pelanggan boleh digunakan untuk mengenal pasti ciri-ciri yang paling dihargai/diperlukan oleh pengguna.

2. Menyusun Strategi Pemasaran Yang Efektif

Dengan menggunakan konsep 4P strategi pemasaran dapat disusun dengan lebih efektif. Keempat-empat elemen saling berkaitan dan mempunyai kepentingannya tersendiri untuk diaplikasikan dalam strategi pemasaran.

3. Meningkatkan Penjualan Dan Keuntungan

Strategi pemasaran yang efektif melalui 4P dapat meningkatkan penjualan dan pendapatan. Penetapan harga yang tepat dan pengurangan kos pemasaran dapat meningkatkan margin keuntungan.

4. Membangun Jenama Yang Kuat

Strategi 4P membantu dalam menjaga konsistensi mesej jenama melalui produk, harga, tempat, dan promosi yang sejajar dengan identiti jenama.

Produk yang berkualiti, harga yang berpatutan, pengedaran yang efisien, dan promosi yan

Bagaimana Menggunakan 4P

Secara ringkasnya, berikut ialah cara menggunakan 4P;

  1. Analisis Pasaran: Lakukan kajian pasaran untuk memahami pelanggan sasaran, keperluan mereka, dan tren pasaran.
  2. Merancang Produk: Kembangkan produk atau perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan.
  3. Strategi Harga: Tetapkan harga yang sepadan dengan nilai produk dan kemampuan pelanggan.
  4. Saluran Pengedaran: Pilih saluran yang tepat untuk menjual produk.
  5. Promosi: Gunakan pelbagai strategi promosi untuk mencapai pelanggan dengan berkesan.

Kesimpulan

Memahami dan menggunakan strategi pemasaran 4P dengan betul membolehkan sesebuah perniagaan mengenal pasti peluang dalam pasaran dan menyesuaikan strategi pemasaran mengikut keperluan pelanggan. Sekaligus, meningkatkan penjualan dan keuntungan serta dapat membina jenama yang kukuh.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai strategi pemasaran dan peluang kerjaya dalam bidang ini, kunjungi Epicareer.

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles