Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide Cara Mengatasi Tekanan dalam Dunia Jualan - Tips Untuk Jurujual

5 min read

Cara Mengatasi Tekanan dalam Dunia Jualan - Tips Untuk Jurujual

Kerjaya dalam bidang jualan boleh jadi mencabar dan penuh tekanan. Dalam artikel ini, kita akan bincangkan tentang risiko keletihan kerja dan cara-cara efektif untuk menguruskan tekanan agar anda dapat kekal produktif dan bersemangat dalam pekerjaan jualan anda!

Nasra Patahuddin

Updated Jul 22, 2024

Cara Mengatasi Tekanan dalam Dunia Jualan - Tips Untuk Jurujual

Bidang jualan adalah merupakan sebuah bidang yang berkembang dengan pantas, penuh dengan tekanan dan tidak menentu. Tidak dapat dinafikan bahawa, kerjaya sebagai seorang jurujual sering terdedah kepada risiko keletihan kerja atau burnout.

Oleh itu, pengurusan tekanan yang berkesan adalah sangat penting bagi sesiapa yang bekerja dalam bidang jualan.

Dalam artikel kali ini, kita akan membincangkan pelbagai aspek mengenai kerjaya jualan dan memberikan panduan bagaimana menangani tekanan dalam kerjaya ini.

Bagaimana Pengalaman Menjadi Seorang Jurujual?

Menjadi seorang jurujual akan memberikan anda sebuah pengalaman yang menarik dan mengujakan, serta disulami dengan pelbagai cabaran dan risiko.

Antara cabaran yang signifikan dalam bidang ini ialah, tekanan untuk mencapai sasaran jualan, persaingan yang berterusan, penolakan daripada pelanggan dan sebagainya. Pendapatan yang tidak menentu (sekiranya dinilai berdasarkan prestasi) menambahkan lagi tekanan yang sedia ada.

Dari segi kesukaran pula, bidang penjualan boleh dikategorikan agak sukar dan memerlukan gabungan kemahiran seperti kemahiran komunikasi yang berkesan, rundingan, penyelesaian masalah serta kebolehan untuk menghadapi cabaran dengan gigih.

Adakah menjadi seorang jurujual berbaloi?

Jawapannya, bergantung kepada keutamaan dan matlamat individu. Bagi sesetengah orang, ganjaran kewangan yang boleh diperoleh melalui komisen dan bonus serta kepuasan mencapai matlamat jualan, membuatkan pekerjaan ini berbaloi.

Selain itu, peluang untuk kemajuan kerjaya dan pertumbuhan peribadi dalam pelbagai industri yang ditawarkan dalam kerjaya ini juga membuatkan ramai terus bertahan.

Walau bagaimanapun, bagi sesetengah individu, tekanan dan cabaran dalam bidang ini mungkin melebihi manfaatnya. Sekiranya tidak mempunyai daya tahan yang tinggi, ia boleh menyebabkan tekanan emosi yang teruk.

Apa-apa pun, keputusan untuk melibatkan diri dalam bidang penjualan adalah bergantung kepada matlamat peribadi anda, aspirasi kerjaya dan keupayaan untuk menguruskan tuntutan pekerjaan tersebut.

Apakah Perkara Paling Sukar dalam Kerjaya Jualan?

Perkara yang paling sukar dalam kerjaya jualan mungkin berbeza bagi setiap individu. Tetapi secara umum, tekanan untuk mencapai target jualan adalah cabaran terbesar untuk setiap jurujual terutamanya bagi yang masih lagi bertatih dalam bidang ini.

Selain itu, menguruskan penolakan dari pelanggan, menangani ketidakpastian pendapatan dan menjalankan tugas-tugas pentadbiran yang berlebihan juga menjadi salah satu cabaran yang besar.

Faktor Menyumbang ‘Burnout’ Kepada Jurujual Profesional

1. Tekanan Untuk Mencapai Target Jualan

Salah satu punca utama ‘burnout’ atau stress dalam kerjaya sebagai jurujual adalah untuk mencapai target jualan. Setiap jurujual biasanya mempunyai target yang perlu dicapai setiap bulan atau tahun.

Kegagalan untuk mencapai target ini bukan sahaja boleh menjejaskan pendapatan tetapi juga boleh memberi kesan kepada keseluruhan prestasi syarikat.

2. Pendapatan yang Tidak Menentu

Pendapatan dalam bidang jualan juga sering kali tidak menentu. Gaji pokok yang rendah serta bergantung kepada komisen jualan boleh menyebabkan tekanan kewangan. Terutamanya, jika jualan tidak mencapai target yang ditetapkan.

3. Kekurangan Kandungan dan Sumber

Jurujual juga sering kali menghadapi cabaran kekurangan kandungan dan sumber yang mencukupi untuk menjalankan tugas mereka dengan berkesan. Ini termasuk kekurangan bahan pemasaran dan latihan yang diperlukan.

4. Tugas-tugas Pentadbiran yang Berlebihan

Banyak jurujual menghabiskan masa menjalankan tugas-tugas pentadbiran seperti mengemaskini data pelanggan, menyediakan laporan jualan dan menghadiri mesyuarat. Tugas-tugas ini bukan sahaja mengambil masa tetapi juga boleh menjadi sumber tekanan tambahan.

Cara Mengelakkan ‘Burnout’ & Tekanan

1. Pecahkan Target kepada Matlamat yang Boleh Dicapai

Untuk mengurangkan tekanan mencapai target jualan, pecahkan target besar kepada matlamat yang lebih kecil dan boleh dicapai.

Bahagikan target kepada sasaran yang lebih kecil untuk setiap hari atau minggu. Contohnya, jika target bulanan adalah RM10,000, maka target harian yang perlu dicapai ialah sekitar RM300.

Dengan cara ini, anda boleh merancang strategi khusus untuk mencapai matlamat harian atau mingguan sekaligus mengelakkan tekanan yang tinggi menjelang tempoh akhir jualan.

2. Manfaatkan Teknologi

Manfaatkan penggunaan teknologi untuk membantu memudahkan kerja-kerja rutin seperti mengemas kini data pelanggan, menyediakan laporan jualan dan seumpamanya. Penggunaan teknologi boleh menjimatkan masa dan mengurangkan tekanan tambahan.

3. Minta Sokongan

Meminta sokongan daripada rakan sekerja atau pengurusan adalah langkah penting dalam menjaga kesejahteraan mental dan fizikal di tempat kerja. Rakan sekerja atau pengurusan boleh memberikan sokongan emosi yang diperlukan serta membantu menyelesaikan kesulitan yang dihadapi.

Dengan berkongsi masalah dan bekerjasama mencari penyelesaian, ia bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan tetapi juga meningkatkan motivasi dan produktiviti di tempat kerja.

4. Ambil Masa Berehat

Ambil masa untuk berehat dengan teratur adalah penting untuk menjaga keseimbangan kerja dan kehidupan. Pastikan anda mengambil masa untuk berehat dan melepaskan tekanan, sama ada dengan melakukan aktiviti fizikal, meditasi, atau hobi yang digemari.

5. Gunakan Data untuk Membuat Keputusan yang Lebih Baik

Gunakan data dan analisis untuk memahami corak jualan dan tingkah laku pelanggan. Ini akan membantu anda membuat keputusan yang lebih baik dan mengurangkan ketidakpastian. Ketidakpastian yang wujud boleh menambahkan tekanan dan bebanan.

6. Fokus pada Peningkatan Diri

Pelaburan untuk meningkatkan kualiti diri melalui latihan dan pembangunan kemahiran bukan sahaja meningkatkan prestasi kerja, tetapi juga membina ketahanan mental dan emosi.

Ia amat penting untuk membantu anda lebih bersedia dan yakin untuk menghadapi sebarang cabaran yang muncul dalam kerjaya jualan. Pembelajaran yang berterusan adalah penting mengekalkan kesejahteraan diri dalam jangka panjang.

7. Bersedia untuk Penolakan

Penolakan adalah sebahagian daripada kerja jualan. Bersedia secara mental untuk menghadapi penolakan dan menganggapnya sebagai peluang untuk belajar serta memperbaiki strategi jualan anda.

8. Sertai Komuniti

Dalam komuniti jualan, ahli-ahli biasanya suka berkongsi pengalaman mereka dalam bidan ini. Mendengar kisah-kisah kejayaan dan cabaran daripada orang lain yang mengalami situasi serupa boleh memberi inspirasi dan motivasi.

Tambahan lagi, ahli komuniti biasanya mempunyai pemahaman mendalam tentang tekanan dan tuntutan kerja jualan, jadi mereka lebih mampu memberi sokongan yang lebih relevan.


Kerjaya dalam bidang jualan memang penuh tekanan dan cabaran, tetapi dengan pengurusan tekanan yang berkesan, ia boleh menjadi kerjaya yang memberi kepuasan dan menguntungkan.

Teruslah belajar, berkembang dan mencari sokongan apabila diperlukan untuk mencapai kejayaan dalam dunia jualan yang kompetitif ini.

Mula Jelajahi Pekerjaan Pemasaran Digital di Epicareer

Pekerjaan Popular di Malaysia:

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles