Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide Senarai Soalan Temuduga Untuk Melantik Sales Professional

6 min read

Senarai Soalan Temuduga Untuk Melantik Sales Professional

Ketahui soalan temuduga yang tepat untuk menilai kemahiran teknikal dan insaniah calon. Dapatkan petua menilai jawapan calon untuk buat keputusan yang betul. Temui soalan utama dan tips dalam artikel ini!

Nasra Patahuddin

Updated Jul 29, 2024

Senarai Soalan Temuduga Untuk Melantik Sales Professional

Memilih calon pekerja yang sesuai untuk jawatan jualan memerlukan soalan temuduga yang tepat.

Soalan yang baik bukan sahaja boleh menilai kemahiran teknikal calon tetapi juga beberapa aspek penting lain. Contohnya seperti kecerdasan tingkah laku dan kemahiran insaniah.

Artikel ini akan membahas soalan-soalan utama yang perlu diajukan dan petua untuk menilai jawapan mereka bagi membantu anda selaku pihak majikan untuk membuat keputusan yang tepat.

Berkaitan Kemahiran Teknikal

Bagi mengenal pasti pengetahuan teknikal dan keupayaan calon dalam bidang jualan, anda boleh gunakan soalan-soalan yang disenaraikan di bawah.

Soalan-soalan ini bertujuan untuk menilai pemahaman calon tentang proses jualan dan teknik yang digunakan.

1. Apakah soalan-soalan penting yang anda tanyakan ketika menilai prospek?

Kenapa soalan ini penting: Soalan ini membantu memahami bagaimana calon mengenal pasti keperluan pelanggan dan memadankannya dengan produk atau perkhidmatan. Calon yang baik akan tahu soalan yang tepat untuk mengenalpasti sama ada prospek itu berpotensi menjadi pelanggan.

Apa yang perlu didengar: Dengarkan bagaimana calon menggali maklumat penting seperti keperluan, masalah, dan bajet prospek. Perhatikan juga bagaimana mereka menyesuaikan soalan mereka berdasarkan jawapan yang diterima.

2. Bagaimana anda menangani penolakan daripada pelanggan?

Kenapa soalan ini penting: Menangani bantahan adalah kemahiran kritikal dalam bidang jualan. Respon yang ditunjukkan menunjukkan kemampuan calon untuk mengatasi halangan. Sekaligus, menunjukkan keupayaan mereka untuk berpikir secara kritikal dan menyelesaikan masalah.

Apa yang perlu didengar: Perhatikan teknik dan strategi yang digunakan oleh calon untuk mengatasi bantahan, serta keupayaan mereka untuk mendengar dengan aktif dan memberikan jawapan yang meyakinkan.

3. Sebelum melakukan panggilan atau pertemuan, bagaimana anda melakukan penyelidikan mengenai prospek, dan maklumat apa yang anda cari?

Kenapa soalan ini penting: Persiapan adalah kunci untuk jualan yang berjaya. Soalan ini menilai kemahiran penyelidikan calon dan keupayaan mereka untuk mengumpulkan maklumat yang relevan.

Apa yang perlu didengar: Dengarkan pendekatan terperinci yang menunjukkan calon melakukan carian melalui pelbagai cara bukan hanya laman web syarikat. Serta, memahami prospek secara menyeluruh, termasuk keperluan, sejarah syarikat, dan sebagainya.

4. Bagaimana anda mengikuti tren jualan yang baru dan akan datang?

Kenapa soalan ini penting: Industri jualan sentiasa berubah. Calon perlu sentiasa mengikuti perkembangan terbaru untuk kekal relevan dan berdaya saing.

Apa yang perlu didengar: Perhatikan sumber-sumber yang digunakan calon untuk mengetahui trend semasa dalam industri jualan, keterujaan calon dalam bidang ini dengan mengetahui perubahan yang berlaku serta keterbukaan untuk menerima maklumat terkini daripada pelbagai sumber.

5. Lihat sekeliling bilik dan jualkan saya sesuatu yang anda lihat.

Kenapa soalan ini penting: Ini adalah ujian spontan yang menunjukkan kemampuan calon untuk menjual tanpa persediaan awal. Ini juga menunjukkan kreativiti dan keyakinan mereka.

Apa yang perlu didengar: Perhatikan kreativiti, keyakinan, dan pendekatan calon dalam menjual sesuatu secara segera. Dengarkan juga bagaimana mereka menonjolkan ciri-ciri dan manfaat produk tersebut.

Berkaitan Kecerdasan Tingkah Laku

Gunakan soalan-soalan ini untuk mengetahui bagaimana calon menangani situasi di masa lalu. Respon yang diberikan boleh memberikan serba sedikit gambaran tentang tindakan mereka pada masa depan kelak.

1. Dalam jawatan terakhir anda, bagaimana anda membahagikan masa antara menjaga hubungan pelanggan dan mengenal pasti prospek baru?

Kenapa soalan ini penting: Ini menunjukkan kemampuan calon untuk mengimbangi tugas dan mengurus masa dengan berkesan. Pengurusan masa adalah kunci dalam memastikan kedua-dua aspek penting dalam jualan dapat dijaga dengan baik.

Apa yang perlu didengar: Perhatikan bagaimana calon mengutamakan tugas yang diberikan dan strategi mereka untuk menjaga keseimbangan. Dengarkan juga contoh-contoh konkrit yang menunjukkan keupayaan mereka dalam mengurus masa.

2. Huraikan kepentingan menggunakan media sosial dalam proses jualan dan bagaimana anda memanfaatkannya?

Kenapa soalan ini penting: Media sosial adalah alat penting dalam jualan moden. Ini menunjukkan keupayaan calon untuk menggunakan teknologi dan kandungan untuk menarik minat dan berinteraksi dengan prospek.

Apa yang perlu didengar: Dengarkan kreativiti dan strategi calon dalam menggunakan media sosial untuk menarik minat pelanggan. Perhatikan juga keberkesanan pendekatan mereka dan bagaimana mereka mengukur kejayaan.

3. Pernahkah anda menghadapi prospek yang amat mencabar? Bagaimanakah anda mengendalikan situasi tersebut?

Kenapa soalan ini penting: Soalan ini adalah untuk mengetahui keupayaan calon beradaptasi dan mencari penyelesaian dalam situasi yang mencabar.

Apa yang perlu didengar: Perhatikan pendekatan calon untuk mengatasi halangan dan membina hubungan dengan prospek yang sukar. Dengarkan juga bagaimana mereka belajar dari pengalaman tersebut.

4. Ceritakan pengalaman anda sekiranya ada, semasa anda berjaya mengatasi cabaran dengan pelanggan yang sukar.

Kenapa soalan ini penting: Menunjukkan kemampuan untuk mengurus konflik dan mencari penyelesaian. Ini juga menunjukkan keupayaan calon untuk bersabar dan menjaga profesionalisme dalam situasi yang mencabar.

Apa yang perlu didengar: Perhatikan pendekatan penyelesaian masalah dan kesabaran calon. Dengarkan juga hasil akhir daripada usaha mereka dan bagaimana mereka menjaga hubungan dengan pelanggan tersebut.

5. Ceritakan pengalaman di mana anda berjaya meyakinkan pelanggan untuk membeli produk atau perkhidmatan tambahan.

Kenapa soalan ini penting: Ini menunjukkan keupayaan calon untuk mengenal pasti peluang dan meningkatkan jualan. Teknik upselling adalah penting untuk memaksimumkan nilai setiap pelanggan.

Apa yang perlu didengar: Dengarkan teknik upselling dan cara calon mengenal pasti keperluan tambahan pelanggan. Perhatikan juga bagaimana mereka membina kepercayaan dan memberikan nilai tambah kepada pelanggan.

6. Apa pencapaian terbaik anda dalam jualan, dan apa yang anda pelajari daripadanya?

Kenapa soalan ini penting: Menunjukkan kemampuan refleksi diri dan pembelajaran dari pengalaman. Ini juga menunjukkan keupayaan calon untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka dan berusaha untuk memperbaikinya.

Apa yang perlu didengar: Perhatikan pelajaran yang diperoleh calon dan bagaimana mereka menerapkannya untuk memperbaiki prestasi. Dengarkan juga bagaimana mereka merancang untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di masa depan.

Berkaitan Kemahiran Insaniah

Gunakan soalan-soalan ini untuk menilai sifat peribadi dan kemahiran kognitif calon. Kemahiran insaniah adalah penting untuk kejayaan dalam jualan kerana ia melibatkan interaksi manusia dan komunikasi yang berkesan.

1. Apakah nilai teras yang anda pegang sebagai profesional jualan?

Kenapa soalan ini penting: Nilai teras mencerminkan etika kerja dan motivasi calon. Ini juga menunjukkan bagaimana calon membuat keputusan dan berinteraksi dengan pelanggan. Sekiranya nila teras calon tidak selari dengan syarikat, ia akan menyukarkan kedua-dua pihak.

Apa yang perlu didengar: Perhatikan nilai yang seiring dengan budaya syarikat anda. Dengarkan juga bagaimana nilai-nilai tersebut mempengaruhi kerja mereka.

2. Dalam bulan pertama anda dalam peranan ini, apa yang anda cuba capai?

Kenapa soalan ini penting: Soalan ini menguji keinginan untuk memajukan diri, satu ciri penting untuk seorang sales profesional. Ia penting untuk mengetahui inisiatif dan perancangan awal calon serta menunjukkan keupayaan mereka untuk menetapkan matlamat yang realistik dan mencapainya.

Apa yang perlu didengar: Perhatikan objektif yang realistik dan perancangan yang terperinci. Dengarkan juga bagaimana mereka merancang untuk mencapai matlamat tersebut.

3. Apakah ciri-ciri pasukan jualan yang ideal untuk anda?

Kenapa soalan ini penting: Ini memberikan wawasan tentang bagaimana calon melihat dinamika pasukan dan kolaborasi. Pasukan yang baik adalah kunci untuk kejayaan jualan.

Apa yang perlu didengar: Perhatikan ciri-ciri yang calon hargai dalam pasukan yang produktif dan harmonis. Dengarkan juga pengalaman mereka bekerja dalam pasukan sebelumnya.

4. Apa yang memotivasi anda sebagai seorang sales?

Kenapa soalan ini penting: Menunjukkan sumber motivasi dan pendorong kejayaan calon. Motivasi yang kuat adalah kunci untuk prestasi jualan yang cemerlang.

Apa yang perlu didengar: Perhatikan motivasi intrinsik dan ekstrinsik yang mempengaruhi prestasi calon. Dengarkan juga bagaimana mereka menjaga motivasi mereka dalam jangka masa panjang.

5. Apa yang anda harapkan untuk dicapai sebagai pakar jualan dengan [ Syarikat X]?

Kenapa soalan ini penting: Menunjukkan aspirasi dan keselarasan calon dengan matlamat syarikat. Ini juga menunjukkan komitmen calon terhadap kejayaan syarikat.

Apa yang perlu didengar: Perhatikan visi calon untuk masa depan dan bagaimana mereka melihat diri mereka menyumbang kepada kejayaan syarikat. Dengarkan juga bagaimana mereka merancang untuk mencapai matlamat tersebut.


Dengan memahami cara mengajukan soalan yang betul dan menganalisis jawapan yang diberikan, anda dapat memilih calon yang paling berpotensi untuk mencapai kejayaan dalam pasukan jualan anda.

Pekerjaan Terkenal di Malaysia:

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles