Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide Jurulatih Temuduga (Interview Coach) - Adakah Berbaloi untuk Dicuba?

7 min read

Jurulatih Temuduga (Interview Coach) - Adakah Berbaloi untuk Dicuba?

Ketahui bagaimana jurulatih temuduga dapat membantu anda cemerlang dalam temuduga pekerjaan. Manfaatkan bimbingan untuk meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi, dan teknik negosiasi. Bersiap dengan strategi yang disesuaikan, latihan temuduga tiruan, serta nasihat pakar mengenai penampilan dan sikap. Ketahui bila untuk mendapatkan jurulatih temuduga dan cara memilih yang sesuai untuk keperluan kerjaya anda.

Nasra Patahuddin

Updated Jun 11, 2024

Jurulatih Temuduga (Interview Coach) - Adakah Berbaloi untuk Dicuba?

Korang pernah tak rasa nervous gila bila nak pergi interview kerja?

Rasa macam jantung nak gugur, tangan berpeluh, dan otak tiba-tiba jadi blank?

Memang normal sebenarnya, tapi kalau dah kali ke-10 pun masih rasa benda yang sama, mungkin dah tiba masanya untuk pertimbangkan bantuan daripada jurulatih temuduga.

Betul ke dengan adanya interview coach ni boleh bantu korang lebih yakin dan perform masa interview? Atau hanya membazir duit je?

Jom kita selami lebih dalam tentang perkhidmatan jurulatih temuduga ni dan tengok sama ada ia berbaloi untuk dicuba atau tidak.

Maksud Jurulatih Temuduga (Interview Coach)

Jurulatih temuduga merujuk kepada individu yang mempunyai kepakaran dalam mengendalikan temuduga atau pengambilan pekerja.

Mereka biasanya mempunyai pengalaman luas dalam dunia temuduga dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang teknik-teknik yang berkesan untuk menjawab soalan-soalan temuduga serta memberikan nasihat tentang penampilan, komunikasi, dan strategi negosiasi.

Jurulatih Temuduga berfungsi untuk memberi bimbingan kepada individu untuk menghadapi sesi temuduga dengan yakin dan berkesan.

Kebaikan menghadiri sesi latihan temuduga

1. Mengenali Kebolehan, Kemahiran & Potensi Diri Dengan Mendalam

Sesi latihan temuduga bersama pakar membolehkan anda mengenali kebolehan, kelebihan dan potensi diri anda dengan lebih baik.

Ini membantu anda untuk bersikap lebih yakin semasa berinteraksi dengan majikan bakal. Bukan itu sahaja, ia juga membantu anda untuk mengetahui nilai diri anda agar anda tidak ‘settle for less’.

2. Mengukuhkan Keyakinan Diri

Berhadapan dengan sesi temuduga boleh menjadi pengalaman mendebarkan walaupun ia bukan kali pertama.

Dengan menghadiri sesi latihan temuduga bersama seorang jurulatih temuduga, ia dapat membantu anda menghadapi sesi temuduga sebenarnya dengan lebih yakin dan santai. Anda pasti akan diajar pelbagai tips untuk mengatasi ketakutan semasa temuduga beserta nasihat dan sokongan.

3. Meningkatkan Kemahiran Komunikasi

Komunikasi yang berkesan adalah kunci kejayaan dalam temuduga.

Dengan bantuan jurulatih temuduga, anda dapat belajar teknik dan cara berkomunikasi dengan jelas, efektif dan meyakinkan pihak panel temuduga. Ini akan membantu meningkatkan peluang anda untuk berjaya diambil bekerja atau ke peringkat seterusnya.

4. Mengetahui Teknik Membuat Rundingan/Negosiasi

Temuduga bukan hanya sekadar menjawab soalan, tetapi ia juga melibatkan proses negosiasi antara calon dan panel temuduga (pihak majikan). Sekiranya anda tidak tahu teknik yang tepat untuk melakukan negosiasi, anda tidak akan mengetahui sejauh mana anda boleh mendapat manfaat yang sepatutnya.

Seorang jurulatih temuduga dapat membantu anda mengetahui dan mengaplikasikan teknik rundingan agar anda dapat mendapatkan tawaran pekerjaan yang terbaik.

5. Mengetahui Jenis Soalan Temuduga dan Cara Menjawabnya

Jurulatih temuduga biasanya akan menyediakan contoh soalan-soalan temuduga yang biasa ditanya serta strategi yang berkesan untuk menjawabnya.

Ini membantu individu untuk bersedia dengan baik dan memberikan jawapan yang berkualiti semasa temuduga sebenar.

6. Membina Strategi Temuduga yang Berkesan

Setiap temuduga memerlukan strategi yang berbeza berdasarkan keperluan syarikat.

Sesi latihan temuduga membantu individu untuk membina strategi temuduga yang berkesan dengan menonjolkan kelebihan dan menunjukkan penyesuaian dengan keperluan majikan.

7. Memperbaiki Penampilan

Sesi latihan temuduga tidak hanya berkisar pada kemahiran verbal, tetapi juga melibatkan penampilan dan sikap secara keseluruhan.

Jurulatih temuduga dapat memberikan nasihat tentang penampilan fizikal, sikap, dan tingkah laku yang boleh meningkatkan kesan positif kepada majikan.

8. Meningkatkan Peluang untuk Berjaya Dalam Temuduga

Dengan mempersiapkan diri dengan baik melalui sesi latihan temuduga, individu meningkatkan peluang mereka untuk berjaya dalam mendapatkan pekerjaan yang mereka idamkan.

Persediaan yang komprehensif yang diperoleh melalui latihan temuduga dapat membuat perbezaan yang besar dalam prestasi temuduga.

Masa yang Sesuai untuk Bertemu dengan Jurulatih Temuduga

Korang mesti tertanya-tanya, bila sebenarnya masa yang paling sesuai untuk dapatkan khidmat jurulatih temuduga? Adakah masa sebelum interview pertama korang atau hanya bila dah gagal banyak kali?

Berikut adalah beberapa situasi yang mungkin menandakan korang perlu bertemu dengan seorang jurulatih temuduga:

1. Baru Lepas Graduasi

Lepas habis belajar, korang mungkin belum ada pengalaman interview kerja yang mencukupi.

Jurulatih temuduga boleh bantu korang bersedia dari awal supaya tak rasa kekok atau tak tahu nak jawab soalan.

2. Banyak Kali Gagal Interview

Kalau korang dah cuba banyak kali tapi masih belum dapat kerja, mungkin ada yang tak kena dengan cara korang menghadapi temuduga.

Jurulatih temuduga boleh membantu kenal pasti kelemahan korang dan memperbaikinya.

3. Tukar Bidang Kerjaya

Bila korang nak tukar bidang kerja, interview mungkin lebih mencabar sebab perlu buktikan kemahiran yang relevan dengan bidang baru.

Jurulatih temuduga boleh beri tips dan trik untuk buatkan korang nampak lebih meyakinkan.

4. Interview untuk Jawatan Tinggi

Nak naik pangkat atau dapat jawatan tinggi biasanya lebih susah dan memerlukan persediaan yang lebih rapi.

Jurulatih temuduga boleh bantu korang bersedia dengan soalan-soalan yang lebih kompleks dan teknik menjawab yang lebih efektif.

5. Dah Lama Tak Pergi Interview

Kalau korang dah lama tak pergi interview, mungkin korang perlukan refreshment untuk tahu perkembangan terkini tentang teknik dan strategi temuduga.

Jurulatih temuduga boleh kemaskini ilmu korang dan beri keyakinan tambahan.

Bagaimana Mencari Jurulatih Temuduga?

Mencari jurulatih temuduga yang sesuai boleh jadi tugas yang mencabar, tetapi dengan beberapa langkah mudah, korang boleh jumpa yang tepat untuk membantu korang bersedia.

Berikut adalah beberapa cara untuk mencari jurulatih temuduga:

1. Melalui rujukan daripada kenalan profesional

Tanya kepada rakan-rakan atau kenalan profesional korang jika mereka mempunyai jurulatih temuduga yang mereka boleh syorkan.

Pengalaman peribadi dan testimoni dari orang yang korang kenal boleh jadi penunjuk yang baik tentang kualiti dan keberkesanan jurulatih tersebut.

2. Melalui agensi pembinaan kerjaya

Ada banyak agensi yang khusus menawarkan perkhidmatan bimbingan kerjaya, termasuk menyediakan khidmat jurulatih temuduga.

Agensi-agensi ini biasanya mempunyai pakar yang berpengalaman dan boleh menawarkan program yang disesuaikan dengan keperluan korang.

3. Melalui platform dalam talian

Terdapat pelbagai platform dalam talian yang menawarkan perkhidmatan bimbingan temuduga. Platform seperti LinkedIn, Indeed, atau laman web khusus untuk bimbingan kerjaya menawarkan sesi latihan temuduga bersama jurulatih yang berpengalaman.

Korang boleh baca ulasan dan penilaian dari klien sebelumnya untuk memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

4. Melalui Universiti atau Institusi Pendidikan

Sesetengah universiti atau institusi pendidikan ada menawarkan perkhidmatan bimbingan temuduga kepada pelajar dan alumni mereka.

Anda boleh menghubungi unit kerjaya atau pejabat alumni universiti anda untuk mencari maklumat mengenai perkhidmatan ini.

5. Iklan Media Sosial

Korang juga boleh membuat carian melalui media sosial untuk mendapatkan jurulatih temuduga yang berkredibiliti.

Platform seperti Facebook, Instagram, dan LinkedIn sering digunakan oleh jurulatih untuk mempromosikan perkhidmatan mereka.

Pastikan korang menyiasat dan menilai reputasi jurulatih tersebut dengan membaca ulasan, testimoni, dan melihat contoh kerja mereka sebelum membuat keputusan.

Apa yang Perlu Disediakan untuk Sesi Bersama Jurulatih Temuduga?

Untuk sesi bersama jurulatih temuduga, anda perlu mempersiapkan beberapa perkara agar sesi tersebut berjalan lancar dan anda dapat memperoleh manfaat maksimum.

Berikut adalah perkara yang perlu anda lakukan:

1. Maklumat Temuduga

Sekiranya anda telah mendapat panggilan temuduga untuk pekerjaan tertentu, sediakan maklumat berkaitan dengan syarikat dan peranan yang dipohon.

Ini termasuk butiran tentang syarikat, tanggungjawab pekerjaan, dan kelayakan yang diperlukan. Maklumat ini membantu jurulatih temuduga memahami konteks temuduga anda dan memberikan nasihat yang lebih sesuai.

2. Sediakan Soalan Spesifik

Sediakan senarai soalan-soalan yang anda ingin tanyakan kepada jurulatih temuduga. Ini boleh melibatkan soalan tentang pengalaman dan kelayakan mereka, serta bagaimana mereka akan membantu anda mencapai matlamat anda.

3. Buat Latihan Temuduga Tiruan Seperti Temuduga Sebenar

Apabila melakukan temuduga tiruan dengan jurulatih temuduga, berikan perhatian sepenuhnya seperti anda sedang menghadiri temuduga sebenar. Gunakan kesempatan ini untuk memperbaiki kekurangan anda dan terima maklum balas dengan terbuka.

4. Tetapkan Tujuan Setiap Sesi

Sebelum bertemu dengan jurulatih temuduga, kenalpasti apa yang anda harapkan daripada sesi-sesi tersebut dan tetapkan tujuan setiap sesi dengan terperinci.

5. Nilai Kemahiran dan Kelemahan Diri

Buat penilaian mengenai kemahiran dan kelemahan anda dalam konteks temuduga.

Berikan penilaian yang jujur bagi membolehkan mereka memberikan nasihat yang lebih terarah dan berkesan untuk membantu anda meningkatkan prestasi anda dalam temuduga.

6. Sikap Terbuka dan Bersedia untuk Belajar

Sesi bersama jurulatih temuduga adalah peluang untuk belajar dan memperbaiki diri. Buka fikiran anda dan terimalah nasihat serta maklum balas dari jurulatih dengan sikap terbuka. Ini membolehkan anda memperoleh manfaat maksimum daripada sesi tersebut.

7. Buku Catatan

Bawa buku catatan dan alat tulis untuk mencatat maklumat penting atau cadangan yang diberikan oleh jurulatih temuduga. Catatan ini dapat menjadi sumber rujukan yang berguna untuk anda semasa menyiapkan diri untuk sesi temuduga seterusnya.


Kesimpulan

Berbaloi atau tidak mengambil khidmat jurulatih temuduga? Jawapannya bergantung kepada keperluan anda.

Sebelum membuat keputusan, pertimbangkan tahap persediaan, ketidakpastian, kepentingan pekerjaan tersebut, serta kos dan manfaat yang terlibat. Berdasarkan pertimbangan ini, anda dapat menentukan sama ada mengambil khidmat jurulatih temuduga adalah berbaloi atau tidak untuk anda.

Untuk mendapatkan bimbingan temuduga profesional, layari Epicareer hari ini.

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Share this article

Related Articles