10 min read
Cara Membuat Rundingan Gaji (Beserta Templat)
Belajar langkah-langkah rundingan gaji yang berkesan untuk naikkan pendapatan anda. Dari penelitian gaji hingga penawaran semula, temukan cara untuk menuntut nilai anda dengan yakin. Dapatkan panduan profesional di sini!
Updated May 6, 2024
Apabila sudah bekerja dalam tempoh tertentu di sebuah syarikat, namun gaji anda masih sama seperti permulaan bekerja, mungkin inilah masanya untuk anda lakukan rundingan gaji.
Atau, sekiranya anda baru sahaja menerima tawaran bekerja dan gaji yang ditawarkan jauh daripada yang anda harapkan, jangan segan untuk membuat rundingan gaji.
Anda boleh rujuk langkah-langkah di bawah untuk mengetahui cara membuat rundingan gaji yang profesional dan berkesan.
▶ Artikel Berkaitan: Trend Gaji di Malaysia 2023 & Jangkaan untuk 2024
Bagaimana Hendak Membuat Rundingan Gaji?
1. Selidik & Bandingkan Gaji untuk Jawatan yang Dimohon
Terdapat pelbagai laman web seperti Glassdoor, Payscale, dan Epicareer yang menyediakan maklumat tentang gaji purata untuk pelbagai jawatan. Anda boleh menggunakan platform ini untuk mencari dan membandingkan gaji bagi jawatan yang serupa dengan yang anda mohon.
Selain itu, sekiranya anda mempunyai rakan atau kenalan yang bekerja dalam bidang yang sama cuba bertanya dengan sopan tentang gaji yang biasa diterima untuk jawatan tersebut. Melalui cara ini, anda boleh mendapat gambaran yang lebih tepat tentang gaji yang boleh anda harapkan.
Di samping itu, anda juga boleh sertai komuniti atau kumpulan sosial dalam talian yang sering berbincang mengenai topik gaji dan kerjaya. Contohnya seperti Instagram @malaysianpaygap.
Sertai komuniti ini dan bertanya tentang gaji untuk jawatan yang anda minati. Anda mungkin mendapat pandangan yang berharga dari mereka yang mempunyai pengalaman dalam industri tersebut. Anda juga boleh buat perbandingan melalui pengalaman individu lain yang berkongsi mengenai gaji mereka.
Dengan melakukan penyelidikan serta perbandingan dengan teliti, anda akan dapat membuat tawaran gaji yang lebih berasas. Ini juga akan memberi anda kelebihan semasa berunding dengan pihak majikan kelak.
NOTA: Jangan lupa untuk mengambil kira faktor seperti lokasi, pengalaman, dan kebolehan unik anda semasa menilai maklumat gaji yang anda perolehi.
2. Fahami Nilai Diri Anda
Sebelum melakukan proses rundingan gaji, anda perlulah mengetahui dan memahami nilai diri anda. Ini akan membantu anda untuk menentukan gaji yang wajar yang mencerminkan nilai serta kebolehan anda sebagai pekerja. Ia juga membantu anda untuk melakukan rundingan gaji dengan lebih yakin.
Antara langkah yang anda boleh lakukan untuk membuat penilaian diri anda ialah:
- Kenalpasti tahap pendidikan dan pengalaman anda dalam bidang yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon. Semakin tinggi tahap pendidikan dan semakin banyak pengalaman yang anda miliki, semakin tinggi nilai anda di pasaran pekerjaan.
- Kenalpasti kebolehan khusus yang anda miliki dan adakah kemahiran tersebut boleh memberikan nilai tambah kepada majikan.
- Kenalpasti pencapaian-pencapaian anda sepanjang bekerja atau projek-projek yang telah anda lakukan. Ini boleh menjadi bukti yang signifikan mengenai sumbangan anda sekaligus menunjukkan betapa berharganya diri anda sebagai pekerja.
- Mohon maklum balas daripada rakan sekerja, penyelia, atau mentor mengenai prestasi dan kebolehan anda. Ini dapat memberi anda pandangan yang lebih objektif tentang nilai anda sebagai pekerja.
3. Sediakan Poin Perbincangan
Pastikan anda sudah menyediakan poin-poin penting sebelum melakukan rundingan gaji dengan pihak majikan.
Siapkan poin yang jelas untuk menyokong tawaran gaji anda, termasuk pencapaian terdahulu, kemahiran khusus, atau tugas tambahan yang anda mampu lakukan. Pastikan anda mempunyai pilihan yang jelas dan rasional bagi setiap elemen yang ingin anda rundingkan.
Dengan menyediakan poin yang kukuh dan terperinci, anda akan dapat berunding dengan lebih yakin dan memastikan bahawa keperluan dan nilai anda diberi perhatian semasa proses rundingan gaji. Berkomunikasilah dengan jelas dan terus terang dengan majikan tentang matlamat gaji anda.
4. Pertimbangkan Perkara Lain yang Boleh Dirunding
Selain kenaikan gaji, anda juga boleh pertimbangkan untuk membuat rundingan beberapa perkara lain seperti faedah/ganjaran syarikat.
Contohnya faedah yang anda boleh runding ialah insurans kesihatan, cuti tahunan, skim pencen, dan pakej faedah lain yang ditawarkan oleh majikan. Anda boleh meminta untuk menambah atau memperbaiki faedah ini mengikut keperluan dan keutamaan anda.
Di samping itu, anda juga boleh cuba memohon insentif tambahan seperti bonus tahunan, bonus prestasi dan seumpamanya.
Jangan lupa juga untuk mempertimbangkan peluang pembangunan profesional seperti latihan, kursus, atau program pembangunan kerjaya yang ditawarkan oleh syarikat. Anda boleh meminta untuk menyertai program-program ini sebagai sebahagian daripada pakej ganjaran anda.
Sekiranya lokasi kerja adalah faktor penting bagi anda, pertimbangkan untuk meminta fleksibiliti dalam lokasi kerja. Ini mungkin termasuk bekerja dari rumah secara berkala atau jadual kerja yang fleksibel.
Dengan mempertimbangkan perkara-perkara tersebut untuk dirunding selain gaji, anda dapat memaksimumkan nilai pakej ganjaran sekaligus meningkatkan kepuasan kerja anda dalam jangka panjang.
5. Serlahkan Pengalaman dan Pencapaian Anda
Semasa melakukan proses rundingan, pastikan anda menyerlahkan pengalaman dan pencapaian anda secara khusus yang berkaitan dengan jawatan tersebut. Ini akan menunjukkan kepada majikan bahawa anda seorang yang berpotensi untuk memberi nilai tambah kepada syarikat.
Ceritakan kisah-kisah kejayaan yang melibatkan kemahiran dan kebolehan anda. Berikan butiran tentang cabaran yang dihadapi, tindakan yang diambil, dan hasil yang dicapai sebagai hasil daripada usaha anda.
Selain itu, buktikan pencapaian anda dengan angka dan fakta yang konkrit. Contohnya seperti peningkatan hasil, pengurangan kos, atau peningkatan produktiviti yang berjaya dicapai.
▶ Artikel Berkaitan: Tips Menulis Resume Untuk Graduan Baru Tanpa Pengalaman Bekerja
6. Jangan Takut untuk Menawar Balas
Menawar semula adalah langkah biasa dalam proses rundingan. Berikan alasan yang kukuh dan berasaskan untuk menawar semula gaji sekiranya ia tidak memuaskan anda. Gunakan pengalaman dan pencapaian untuk menyokong tuntutan gaji anda, dan jelaskan mengapa anda merasa bahawa tawaran awal tidak mencerminkan nilai anda.
Di samping itu, beri ruang kepada pihak majikan untuk merundingkan semula tawaran gaji. Ini termasuk memberi mereka peluang untuk menyatakan pandangan mereka. Boleh jadi mereka akan memberikan tawaran yang lebih baik.
Selain menawar semula gaji, pertimbangkan juga pilihan lain seperti faedah syarikat, insentif tambahan, atau peluang pembangunan profesional yang boleh menjadi alternatif yang baik kepada peningkatan gaji.
Walaupun anda menawar semula, pastikan bersikap profesional semasa berunding dengan pihak majikan. Perbincangan yang terbuka dan berlapang dada dapat membawa kepada penyelesaian yang memuaskan untuk kedua-dua pihak.
7. Jangan Takut untuk Menolak
Jika tawaran gaji tidak memenuhi jangkaan anda dan tiada ruang untuk perbincangan lanjut, jangan takut untuk menolaknya. Ingatlah bahawa anda juga mempunyai pilihan lain dan hak untuk mencari peluang yang lebih baik.
Ini adalah langkah yang penting untuk menjaga integriti dan memastikan anda menerima tawaran yang sesuai dengan nilai dan keperluan anda.
Sebelum melakukan proses rundingan gaji, tentukan had-had anda. Tetapkan gaji yang realistik dan tentukan nilai minimum yang anda akan terima. Sekiranya tawaran gaji tidak memenuhi kriteria ini, anda boleh memilih untuk menolak.
8. Tunjukkan Keyakinan
Tunjukkan keyakinan semasa melakukan rundingan gaji. Ini akan menunjukkan kepada majikan bahawa anda tahu nilai anda dan anda berhak mendapatkannya.Keyakinan yang dipancarkan akan memberi kesan positif kepada majikan dan meningkatkan peluang anda untuk mendapat tawaran gaji yang memuaskan.
Anda boleh lakukan latihan bersama rakan sebelum perbincangan sebenar bagi membantu meningkatkan kepercayaan diri anda. Dapatkan maklum balas dan tips daripada mereka untuk memperbaiki kemahiran rundingan anda.
9. Ucapkan Terima Kasih
Setelah selesai proses rundingan, ucapkan terima kasih kepada pihak majikan atas peluang yang diberikan dan usaha mereka dalam proses berunding. Jangan sesekali mengungkapkan rasa kecewa atau ketidakpuasan terhadap hasil berunding.
Kekal jalinkan hubungan yang positif dengan majikan, sama ada anda menerima tawaran tersebut atau tidak. Ingatlah bahawa sikap profesionalisme adalah kunci untuk membina hubungan yang baik dalam dunia pekerjaan.
Templat Rundingan Gaji Melalui Emel
Berikut adalah dua templat rundingan gaji melalui emel yang anda boleh rujuk:
Templat 1
Subjek: Permohonan Kenaikan Gaji
Salam hormat, [Nama Penerima (pengurus, ketua jabatan, dll)].
Saya [nama anda] dan merujuk kepada perkara yang tersebut, ingin memohon kenaikan gaji sebanyak [peratus] dari gaji yang saya terima sebelumnya.
Saya membuat permohonan kenaikan gaji ini kerana saya telah mencapai tahap KPI yang telah ditetapkan oleh pihak syarikat setiap tahun tanpa gagal.
Selain itu, mempunyai kemahiran bekerja yang terbukti dapat membantu meningkatkan produktiviti syarikat sebanyak 10% berdasarkan laporan yang dibentangkan pada mesyuarat baru-baru ini.
Saya juga memiliki beberapa sijil profesional yang tidak dimiliki oleh staf yang lain. Saya lampirkan salinan sijil-sijil tersebut serta dokumen pencapaian kerjaya untuk rujukan pihak tuan.
Diharapkan permohonan saya ini mendapat pertimbangan yang sewajarnya daripada pihak tuan. Segala perhatian daripada pihak tuan mengenai permohonan ini, saya dahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian terima kasih,
[Nama]
[Jawatan]
Templat 2
Subjek: Permohonan Kenaikan Gaji
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
[Nama pengurus],
Saya [nama anda], bekerja di bawah jabatan xxx. Saya berasa sangat seronok bekerja di sini sejak ___ tahun yang lalu. Banyak perkara yang telah saya pelajari sepanjang bekerja di sini.
Selain itu, saya juga telah berusaha untuk bekerja sebaik mungkin dan memberi sumbangan yang signifikan kepada kejayaan berterusan pasukan dan syarikat.
Sepanjang tahun lalu sahaja saya telah [tulis tentang pencapaian anda sendiri di sini], dan juga mempunyai tanggungjawab tambahan seperti [tambah ini di sini].
Memandangkan nilai tambah yang saya bawa kepada syarikat, saya memohon untuk kenaikan gaji yang sewajarnya.
Saya percaya pakej imbuhan semasa saya adalah di bawah daripada yang boleh dijangkakan untuk seseorang dalam kedudukan saya, dan akan meminta kenaikan sebanyak X% untuk menjadikan gaji semasa saya selaras dengan purata industri.
Saya amat menghargai peluang untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut sekiranya pihak tuan sudi meluangkan masa untuk membuat pertemuan.
Sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus atas sokongan yang telah anda tunjukkan kepada saya dan saya berharap untuk terus berkhidmat kepada jabatan dan syarikat yang lebih luas.
Sekian terima kasih
[Nama]
[Jawatan]
Templat 3
Subjek: Cadangan Semula Gaji - [Nama Jawatan]
Salam hormat, [Nama Penerima (pengurus, ketua jabatan, dll)].
Saya [nama penuh], ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak tuan atas tawaran gaji yang telah diberikan kepada saya untuk jawatan [Nama Jawatan] di [Nama Syarikat].
Selepas menimbangkan tawaran gaji yang diberikan, saya ingin menawar semula gaji dengan mengusulkan [Jumlah yang Dikehendaki] sebagai gaji asas. Saya percaya bahawa jumlah ini mencerminkan nilai dan pengalaman saya, dan juga setara dengan pasaran pekerjaan semasa.
Saya ingin menekankan bahawa saya sangat berminat untuk menyertai pasukan tuan, dan saya yakin bahawa kita boleh mencapai kesepakatan yang memuaskan untuk kedua belah pihak. Saya berharap agar pihak tuan dapat mempertimbangkan tawaran semula saya dengan serius.
Sekian, terima kasih.
Salam hormat,
[Nama Anda]
Skrip Rundingan Gaji Melalui Telefon
Berikut adalah contoh skrip untuk rundingan gaji melalui telefon:
Contoh 1
Salam sejahtera. Saya [Nama Anda] ingin mengucapkan terima kasih atas peluang untuk menjalani proses temuduga dan berminat untuk menyertai Nama Syarikat].
Tujuan saya menghubungi pihak tuan adalah untuk membincangkan butiran gaji dan pakej ganjaran yang berkaitan dengan jawatan yang ditawarkan. Adakah pihak tuan boleh mengaturkan pertemuan untuk berbincang secara terperinci?
NOTA: Sekiranya pihak majikan bersetuju untuk berbincang semasa pertemuan, anda boleh dapatkan tarikh, masa dan lokasi untuk berbincang. Sekiranya tidak, anda boleh tawarkan untuk melakukan perbincangan melalui telefon sahaja.
Saya ingin memberitahu bahawa selepas meneliti pasaran pekerjaan dan menimbang tara sumbangan yang saya boleh berikan kepada pihak syarikat, saya merasakan bahawa gaji yang ditawarkan mungkin perlu diperbaharui.
Saya percaya peningkatan sebanyak [X%] atas tawaran gaji yang sedia ada akan lebih mencerminkan nilai dan pengalaman saya dalam pasaran.
Hal ini kerana, saya telah mencapai beberapa pencapaian penting dalam kerjaya saya, termasuk [senaraikan pencapaian anda di sini]. Saya yakin bahawa kemahiran dan pengalaman saya akan membawa sumbangan yang signifikan kepada pihak syarikat.
Saya benar-benar berminat untuk menyertai [Nama Syarikat], dan berharap kita dapat mencapai kesepakatan yang memuaskan untuk kedua belah pihak.
Terima kasih banyak, Tuan XX. Saya menghargai masa tuan dan semoga saya dapat berbincang lebih lanjut dengan pihak tuan.
Contoh 2
Salam sejahtera, tuan. Saya, [Nama Anda]. Tujuan saya menghubungi pihak tuan adalah untuk berbincang mengenai butiran gaji bagi jawatan yang saya telah ditawarkan.
Berdasarkan tawaran yang diterima, gaji yang ditawarkan kepada saya ialah RMXXXX. Setelah membuat penelitian dan berfikir masak-masak, saya percaya peningkatan sebanyak [X%] dari tawaran semasa akan lebih sesuai dengan nilai saya dalam peranan ini.
Hal ini kerana, selepas meneliti pasaran pekerjaan, saya merasa bahawa nilai gaji yang ditawarkan mungkin tidak mencerminkan sepenuhnya nilai saya dan pengalaman saya.
Boleh kah kita berbincang tentang ini lebih lanjut melalui pertemuan atau saluran komunikasi lain?
Terima kasih tuan.
Kesimpulan
Rundingan gaji adalah langkah penting untuk memastikan anda menerima ganjaran yang setimpal dengan sumbangan anda. Dengan penyelidikan, penilaian diri, dan persediaan yang baik, anda dapat meningkatkan peluang untuk mendapatkan gaji yang memuaskan.
Jangan lupa untuk memanfaatkan sumber seperti Epicareer untuk menyemak julat gaji dalam pasaran anda. Dengan sikap profesional dan komunikasi yang efektif, anda dapat mencapai kesepakatan yang memuaskan untuk kedua belah pihak.
Pekerjaan Terkenal:
Content Writer
Topic tags
Share this article
Related Articles
7 min read
Contoh Jawatan Pemasaran Digital Dengan Gaji Menarik Di Malaysia
Dapatkan pandangan mendalam tentang gaji dalam pemasaran digital. Artikel ini mengulas jawatan-jawatan pemasaran digital dengan gaji tinggi dan faktor-faktor yang mempengaruhi bayaran. Temukan peluang kerjaya menarik di Epicareer!
Posted Jun 26, 2024
9 min read
20 Jawatan Dalam Bidang Pemasaran Digital, Tanggungjawab Setiap Jawatan & Gaji
Pemasaran digital berkembang pesat, menawarkan peluang kerjaya yang menarik dengan pelbagai jawatan yang menyumbang kepada kejayaan kempen pemasaran. Artikel ini menyenaraikan jenis jawatan dalam bidang pemasaran digital, termasuk kelayakan dan kemahiran yang diperlukan, tanggungjawab harian, dan anggaran gaji median berdasarkan pengalaman kerja.
Posted Jul 22, 2024
8 min read
Gaji Pemasaran Digital: Berapakah Pendapatan Boleh Diperolehi?
Temukan jenis jawatan, anggaran gaji, dan tips memaksimumkan pendapatan dalam industri pemasaran digital di Malaysia. Dari Pengurus Pemasaran Digital hingga Pakar SEO, pelajari cara meningkatkan kerjaya anda dengan strategi efektif. Baca untuk maklumat lanjut dan cari peluang kerjaya yang sesuai di Epicareer.
Posted Jun 19, 2024
4 min read
Kerjaya yang Tinggi Permintaan Dengan Gaji Lumayan Di Malaysia
Ketahui kerjaya berpotensi tinggi dan bergaji lumayan di Malaysia untuk merancang strategi pencarian kerja atau merancang masa depan yang lebih baik. Maklumat ini penting untuk pencari kerja dan pelajar bagi memilih bidang pengajian yang menawarkan peluang pekerjaan selepas graduasi.
Posted Jun 27, 2024
7 min read
10 Tips Membuat Rundingan Gaji Agar Berjaya
Sudah menerima surat tawaran kerja tetapi gaji tidak sesuai? Jangan kecewa. Anda masih boleh merundingkan gaji dengan majikan secara profesional. Baca artikel ini untuk 10 tips rundingan gaji yang berkesan, termasuk persiapan yang diperlukan, cara menetapkan angka yang tepat, dan menjaga profesionalisme semasa rundingan.
Posted May 16, 2024
3 min read
Trend Gaji di Malaysia 2023 & Jangkaan untuk 2024
Prognosis untuk 2024 meramalkan kenaikan gaji purata sebanyak 5.1% dengan penumpuan pada kerja dari jauh dan bidang teknologi maklumat dan komunikasi serta keperluan kemahiran teknikal dan insaniah yang penting.
Posted Apr 30, 2024
Share this article