Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide 10 Tips Membuat Rundingan Gaji Agar Berjaya

7 min read

10 Tips Membuat Rundingan Gaji Agar Berjaya

Sudah menerima surat tawaran kerja tetapi gaji tidak sesuai? Jangan kecewa. Anda masih boleh merundingkan gaji dengan majikan secara profesional. Baca artikel ini untuk 10 tips rundingan gaji yang berkesan, termasuk persiapan yang diperlukan, cara menetapkan angka yang tepat, dan menjaga profesionalisme semasa rundingan.

Nasra Patahuddin

Updated May 16, 2024

10 Tips Membuat Rundingan Gaji Agar Berjaya

Sudah menerima surat tawaran kerja? Alamak, gaji tak sesuai pula. Usah kecewa. Anda boleh cuba lakukan rundingan gaji dengan pihak majikan. Ia merupakan langkah yang baik untuk memperjuangkan hak anda secara profesional.

Nyatakan hasrat anda dengan sopan dan ikut tips-tips di bawah ini.

1. Ambil Masa Untuk Membuat Persediaan

Ambil masa untuk berfikir masak-masak dan membuat persediaan secukupnya sebelum memutuskan untuk melakukan rundingan gaji. Jangan tergesa-gesa dalam membuat keputusan sama ada menolak atau menerima tawaran tersebut.

Antara persediaan yang anda perlu lakukan ialah:

  • Lakukan carian dan perbandingan gaji purata untuk jawatan yang anda mohon. Maklumat ini akan membantu memberikan anda gambaran had gaji yang boleh dirundingkan.
  • Kenalpasti nilai diri, pencapaian dan pengalaman anda.
  • Kenalpasti sumbangan yang anda boleh berikan kepada syarikat.
  • Sediakan dokumen seperti resume terkini, senarai pencapaian yang relevan, sijil-sijil, dan seumpamanya. Ini boleh menjadi bahan sokongan dan bukti anda layak untuk mendapatkan gaji yang diinginkan.

Dengan persiapan yang teliti, anda akan lebih yakin dan membantu meningkatkan peluang untuk berjaya mendapat hasil terbaik.

2. Buat Carian & Dapatkan Info Penting

Mulakan carian anda dengan merujuk laman web yang sahih seperti laman web Glassdoor, Epicareer, atau kajian yang dikeluarkan oleh badan-badan kerajaan/professional untuk mengetahui gaji purata semasa bagi jawatan yang ditawarkan.

Sekiranya anda mempunyai kenalan dalam industri anda, anda boleh tanya secara terus untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai gaji dalam bidang anda.

Selain daripada gaji permulaan, ketahui juga sama ada terdapat potensi peningkatan gaji sepanjang karier anda. Faktor-faktor seperti kenaikan pangkat, pengalaman tambahan, dan penambahbaikan kemahiran boleh memberi kesan kepada gaji anda.

Melalui pengetahuan yang diperolehi ini, ia memberikan anda kelebihan untuk menetapkan sasaran gaji yang realistik dan merancang strategi perbincangan yang berkesan.

3. Ketahui Nilai Diri Anda

Senaraikan kelebihan, kebolehan, dan pengalaman anda yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon. Selain itu, pertimbangkan juga pengalaman kerja, pendidikan, kemahiran serta sumbangan yang anda boleh berikan. Dengan cara ini, anda boleh mengetahui nilai diri anda.

Sediakan juga contoh-contoh atau bukti bagaimana anda telah memberi nilai tambah kepada organisasi atau majikan sebelum ini. Terangkan pencapaian anda dengan jelas dan terperinci.

Jangan takut untuk menilai pengalaman, kemahiran, dan pencapaian anda - semua ini adalah faktor yang penting dalam menentukan nilai anda sebagai pekerja.

Sebagai contoh, jika anda seorang pereka grafik dengan lima tahun pengalaman, semak berapa gaji purata untuk pereka grafik dengan pengalaman yang sama di bandar anda.

4. Buat Kiraan Kos

Jangan lupa buat kiraan kos secara menyeluruh sebelum melakukan rundingan gaji. Ini bagi memastikan gaji yang dipersetujui benar-benar cukup untuk semua keperluan anda.

Kira kos pengangkutan termasuk tol dan tambang. Jika perlu menaiki kenderaan awam, kira kos tambang harian anda. Selain itu, pastikan juga anda mengetahui kos sara hidup di lokasi baru anda bekerja.

Buat senarai kos hidup anda, termasuk sewa atau ansuran rumah, bil utiliti, makanan, pengangkutan, insurans, dan perbelanjaan lain. Ini akan membantu anda memahami berapa banyak yang anda perlukan untuk menampung kos hidup dan mengekalkan gaya hidup yang diingini.

Sebagai contoh, jika anda memerlukan RM3000 sebulan untuk menampung semua kos, anda boleh menggunakan angka ini sebagai asas untuk menentukan gaji minimum yang boleh anda terima.

Dengan mengetahui kos hidup anda, anda akan lebih bersedia untuk berunding gaji yang adil dan mencukupi untuk keperluan anda. Selain itu, ini juga menunjukkan kepada majikan bahawa anda telah membuat persediaan dan mempunyai alasan yang kukuh untuk permintaan gaji anda.

5. Tetapkan Angka yang Tinggi

Apabila berunding gaji, sentiasa ingat untuk menetapkan angka yang agak tinggi sebagai titik permulaan.

Ini bukan bermaksud anda bercakap melebihi kemampuan atau nilai anda, tetapi memberi ruang untuk perbincangan. Majikan mungkin mempunyai ruang pergerakan dalam bajet gaji mereka, dan dengan menetapkan angka yang agak tinggi, anda memastikan anda tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ganjaran yang lebih baik.

Oleh itu, tetapkan satu angka yang tinggi untuk memberi ruang perbincangan. Secara tidak langsung, ia dapat membuka peluang untuk anda menerima gaji berdasarkan angka yang ditetapkan.

Sebagai contoh, jika anda merasakan nilai anda sepatutnya berada dalam julat RM4000 hingga RM4500, mungkin lebih baik untuk memulakan rundingan dengan meminta RM4500. Ini memberikan ruang untuk perbincangan dan membolehkan majikan memberikan tawaran yang lebih tinggi tanpa terlalu jauh dari jangkaan anda.

Tetapi, ingatlah untuk menjadikan tuntutan anda berasaskan nilai sebenar anda. Jangan terlalu membebani majikan dengan tuntutan yang tidak munasabah. Sentiasa bersikap fleksibel dan bersedia untuk berunding demi mencapai persetujuan yang adil dan memuaskan kedua belah pihak.

6. Sediakan Alternatif Rundingan Lain Sekiranya Rundingan Gaji Tidak Menjadi

Sekiranya rundingan gaji tidak berjalan lancar, anda boleh cuba usulkan alternatif rundingan lain. Contohnya seperti memohon fleksibiliti dalam cuti tahunan, kerja dari rumah, insentif tambahan, bonus tahunan dan lain-lain.

Anda boleh meminta fleksibiliti dalam waktu kerja, latihan tambahan, atau kemajuan dalam jawatan. Selain itu, jika gaji tidak dapat dinaikkan pada masa itu, anda boleh mengetahui kemungkinan kenaikan gaji di masa depan dengan prestasi yang baik.

Selain itu, anda juga boleh menawarkan penyelesaian sementara seperti kontrak jangka pendek dengan gaji sementara ditawarkan untuk menunjukkan nilai anda kepada majikan. Ini memberikan peluang untuk membuktikan diri anda dan memperoleh kenaikan gaji selepas tempoh tertentu.

Jelaskan kebaikan alternatif tersebut untuk kedua-dua pihak dan bagaimana ia dapat membantu meningkatkan produktiviti dan kepuasan pekerja.

Ingat, sentiasa bersikap fleksibel dalam perbincangan. Ketahuilah bahawa penyelesaian mungkin melibatkan kompromi dari kedua belah pihak. Sebaiknya cuba cari titik tengah yang memenuhi keperluan dan kehendak kedua belah pihak.

7. Jaga Profesionalisme

Walaupun perbincangan mungkin menjadi tegang, pastikan untuk mengekalkan sikap yang profesional sepanjang proses. Jangan biarkan emosi menghalang perbincangan yang konstruktif.

Perbincangan yang tenang dapat mengekalkan hubungan positif dengan pihak majikan sekaligus memberikan solusi yang terbaik untuk kedua-dua pihak.

Selain itu, ingatlah untuk mengekalkan fokus pada fakta dan pencapaian anda semasa berbincang tentang gaji. Hindari mengambil secara peribadi jika tawaran gaji tidak mencapai yang diharapkan, dan cuba untuk memahami sudut pandang majikan.

Terakhir tetapi tidak kurang penting, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada majikan atas masa dan usaha yang mereka lakukan untuk mempertimbangkan permintaan anda. Sikap profesional yang positif boleh meningkatkan imej anda sebagai pekerja yang matang dan beretika, yang mungkin mempengaruhi keputusan majikan pada masa akan datang.

8. Kekalkan Ketegasan

Ketika melakukan rundingan gaji, pastikan anda mengekalkan ketegasan dalam menyatakan hasrat anda. Jangan ragu untuk menyatakan jumlah gaji yang anda anggap wajar berdasarkan prestasi dan pengalaman anda.

Jelaskan bagaimana sumbangan anda telah memberi nilai tambah kepada syarikat. Atau, apa nilai tambah yang anda tawarkan kepada syarikat. Hal ini dapat memberi keyakinan bahawa anda benar-benar layak mendapat gaji yang dipinta.

Walau bagaimanapun, ingatlah untuk kekal profesional dalam setiap komunikasi anda dan hindari menggunakan taktik tekanan atau ancaman. Sikap yang berterus terang dan profesional akan membantu memperkuat posisi anda dalam rundingan dan membina hubungan yang baik dengan majikan anda.

9. Bersedia untuk Rundingan Akan Datang

Biasanya sesi rundingan gaji akan berlaku beberapa kali sebelum keputusan akhir dibuat. Oleh itu, pastikan diri anda sentiasa bersedia untuk rundingan akan datang.

Sekiranya tawaran pertama tidak memenuhi harapan anda, bersedia untuk membincangkan semula dengan argumen yang lebih kukuh atau cadangan alternatif.

Ini menunjukkan kepada majikan bahawa anda serius dalam usaha untuk mencapai penyelesaian yang memuaskan kedua-dua belah pihak.

10. Semak Semula Emel Sebelum Menghantarnya

Sekiranya rundingan gaji berlaku melalui emel, pastikan untuk menyemak semula emel sebelum menghantarnya kepada majikan anda.

Pastikan emel anda jelas, ringkas, profesional, dan mencerminkan dengan tepat keperluan dan kehendak anda. Pastikan juga tidak ada kesilapan tatabahasa atau maklumat yang meragukan.

Gunakan bahasa yang mudah difahami dan padat. Hindari penggunaan bahasa jargon atau frasa yang rumit sehingga sukar difahami oleh majikan anda.

Sampaikan mesej anda dengan jelas dan ringkas. Serta, pastikan bahawa tujuan anda menulis emel difahami dengan jelas.


Penutup

Merundingkan gaji adalah langkah penting untuk memastikan anda mendapat penghargaan yang setimpal dengan kemahiran dan pengalaman anda.

Dengan persiapan yang teliti dan pendekatan yang profesional, anda boleh meningkatkan peluang untuk mendapat tawaran gaji yang lebih baik. Ingatlah untuk selalu bersikap fleksibel dan terbuka dalam perbincangan agar mencapai penyelesaian yang memuaskan kedua-dua pihak.

Untuk mengetahui tren gaji terkini bagi setiap jawatan, kunjungi Epicareer Salary Report. Laman ini akan memberikan anda panduan yang lebih tepat dan terkini tentang gaji di pasaran kerja, membantu anda dalam membuat keputusan yang lebih baik dalam rundingan gaji anda.

Selamat berjaya dalam perjalanan kerjaya anda!

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles