Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide Bila Masa Yang Sesuai Untuk Menukar Kerjaya? Persediaan & Pertimbangan

7 min read

Bila Masa Yang Sesuai Untuk Menukar Kerjaya? Persediaan & Pertimbangan

Bila masa yang sesuai untuk bertukar kerjaya? Dalam artikel ini, kita teroka proses perubahan kerjaya, faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan, dan persediaan yang diperlukan sebelum membuat langkah penting ini. Dapatkan wawasan tentang tahap semangat, keinginan untuk mencuba bidang yang berlainan, dan strategi pelan sandaran. Dengan perancangan yang teliti, anda dapat menghadapi perubahan kerjaya dengan yakin dan bersedia untuk mencapai matlamat profesional yang baru.

Nasra Patahuddin

Updated May 15, 2024

Bila Masa Yang Sesuai Untuk Menukar Kerjaya? Persediaan & Pertimbangan

Setiap perubahan membawa peluang baru, begitu juga dengan perubahan dalam kerjaya. Tetapi tanpa perancangan yang jelas dan kurang berhati-hati dalam membuat keputusan, banyak risiko yang bakal menanti.

Justeru, bilakah masa yang paling sesuai untuk menukar kerjaya? Apakah persediaan dan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan?

Jom baca artikel di bawah.

Apa Itu Perubahan Kerjaya?

Perubahan kerjaya merujuk kepada sebuah proses berpindah daripada satu pekerjaan ke sebuah pekerjaan yang berlainan.

Ia boleh melibatkan perubahan industri, jenis pekerjaan, atau bahkan bidang yang memerlukan set kemahiran yang berbeza.

Selain itu, pertukaran cawangan atau lokasi tempat kerja, menerima kenaikan pangkat dan sebagainya juga boleh dikategorikan sebagai perubahan dalam kerjaya.

Keputusan untuk menukar kerjaya boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor, contohnya seperti ketidakpuasan terhadap pekerjaan semasa, keinginan untuk pertumbuhan profesional, faktor gaji, dan sebagainya.

Untuk menjayakan perubahan kerjaya, individu perlu merancang dengan teliti, mempelajari kemahiran baru, membina rangkaian sosial, dan menyesuaikan diri dengan bidang yang dipilih.

Perubahan kerjaya bukan sekadar tentang meraih peluang baru, tetapi juga mengejar kepuasan hidup dan matlamat kerjaya yang lebih besar.

Kisah Sebenar Apabila Bertukar Kerjaya

Anda boleh ambil inspirasi daripada astronaut pertama yang menginjakkan kaki di bulan selama misi Apollo 11 pada tahun 1969, Neil Armstrong. Beliau memilih untuk beralih ke sektor pendidikan dan bisnes setelah tamat kontrak bersama NASA.

Perubahan kerjaya Neil Armstrong daripada astronaut terkenal ke bidang akademiki dan dunia bisnes berjaya dilakukan kerana ilmu pengetahuan dan ‘transferable skills’ yang dimilikinya.

Percayalah, dengan langkah yang tepat, perubahan kerjaya boleh menjadi perjalanan yang membuka pintu kepada pembangunan diri serta peluang untuk mencapai keseimbangan kehidupan-kerja (work life balance) yang diidamkan.

Bila Masa yang Sesuai untuk Bertukar Kerjaya?

Membuat keputusan untuk bertukar kerjaya perlu dilakukan secara rasional (bukan emosional) dan memerlukan pertimbangan yang matang. Sebelum membuat keputusan dalam proses perubahan kerjaya, adalah penting untuk memahami sebab-sebab yang betul untuk melakukannya.

Walaupun tiada panduan spesifik mengenai waktu yang tepat untuk menukar kerjaya, namun terdapat beberapa ‘petunjuk’ dan sebab yang boleh membantu anda menentukan bila masa yang sesuai untuk membuat perubahan kerjaya.

Antaranya ialah:

1. Tidak Bersemangat & Lesu

Jika anda merasa tidak puas atau tidak bersemangat untuk datang bekerja setiap hari dan, usaha untuk menyelesaikan isu-isu tersebut tidak memberikan hasil positif, ini mungkin tanda bahawa menukar kerjaya adalah pilihan yang baik.

Rasa tidak puas dan kurang bersemangat tersebut mungkin boleh disebabkan oleh faktor bebanan kerja, suasana persekitaran tempat kerja yang toksik, kerja yang tidak diminati dan sebagainya.

2. Ingin Mencuba Kerjaya yang Berlainan

Sekiranya anda selalu terdetik dalam hati atau terfikir-fikir untuk melibatkan diri dalam industri atau bidang tertentu yang berbeza dengan kerjaya semasa anda, ini juga mungkin tanda bahawa masa untuk menukar kerjaya telah tiba.

Mengejar keinginan dan minat sebenar dapat memberi kepuasan dan semangat baru untuk bekerja setiap hari.

3. Tiada Perkembangan Kerjaya

Apabila sudah berada terlalu lama dalam zon yang selesa dan tidak lagi mendapat cabaran atau peluang untuk berkembang, ini mungkin waktunya untuk mencari pengalaman baru yang boleh memacu pertumbuhan profesional anda.

4. Perubahan Hala Tuju Hidup

Kadang-kadang, perubahan dalam hala tuju hidup atau nilai-nilai peribadi boleh memotivasikan seseorang untuk melakukan perubahan kerjaya.


Selalunya, ia berkaitan dengan keinginan untuk mengejar kehidupan yang lebih seimbang, lebih bermakna, atau lebih dekat dengan nilai-nilai peribadi yang ditetapkan.

5. Gaji Tidak Setimpal

Setelah bertahun-tahun berkhidmat di syarikat yang sama, namun gaji tidak mengalami peningkatan yang signifikan. Ini boleh menjadi petunjuk untuk anda pertimbangkan melakukan perubahan kerjaya.

Perubahan kerjaya mungkin membuka pintu kepada peluang gaji yang lebih memuaskan dan sepadan dengan pencapaian anda.

3 Persediaan Utama Sebelum Menukar Kerjaya

Menukar kerjaya adalah satu keputusan besar yang memerlukan perancangan dan persediaan yang rapi.

Berikut adalah tiga persediaan utama yang perlu anda ambil kira sebelum membuat langkah besar ini:

1. Penilaian Realiti

Sebelum membuat keputusan untuk bertukar kerjaya, lakukan penilaian realiti terhadap beberapa aspek penting dalam kehidupan anda. Ini termasuklah keadaan kewangan, tanggungjawab keluarga dan sebagainya.

Pastikan juga anda memahami dan bersedia dengan segala risiko yang bakal terjadi sekiranya perancangan anda tidak menjadi.

2. Senarai Semak Perubahan Kerjaya

Buat satu senarai semak perubahan untuk membantu anda merancang langkah-langkah yang perlu diambil.

Senarai semak tersebut perlu mempunyai perkara berikut:

  • Matlamat kerjaya yang jelas: Tentukan dengan jelas apa yang anda mahu capai dalam kerjaya baru anda.
  • Kos yang diperlukan: Pertimbangkan berapa lama anda mampu bertahan tanpa pendapatan tetap. Kenalpasti kos-kos yang mungkin terlibat dalam peralihan kerjaya anda.

3. Strategi & Pelan Sandaran

Fikirkan tentang strategi mengenai bagaimana anda ingin memasarkan diri, menyusun semula resume anda, dan mencari peluang dalam industri baru yang ingin diceburi.

Pastikan juga anda mempunyai pelan sandaran (backup plan) sebagai persediaan sekiranya apa yang dirancang tidak menjadi.

Pro & Kontra Menukar Kerjaya

Menukar kerjaya mungkin terasa menakutkan, tetapi juga menjanjikan peluang yang menarik untuk pertumbuhan dan kepuasan yang lebih besar dalam hidup.

Jika anda sedang mempertimbangkan untuk menukar kerjaya, berikut adalah beberapa pro dan kontra yang boleh membantu anda membuat keputusan yang lebih baik.

Apapun keputusan yang dilakukan sudah pasti ada pro & kontra begitu juga dengan menukar kerjaya. Berikut ialah pro & kontra menukar kerjaya:

Pro Menukar Kerjaya

1. Pertumbuhan Peribadi dan Profesional

Menukar kerjaya boleh membuka peluang untuk belajar kemahiran baru dan mendapatkan pengalaman yang berbeza. Ini dapat membantu anda berkembang sebagai individu dan profesional.

Contoh: Oprah Winfrey, yang bermula sebagai pembaca berita dan telah berpindah ke pelbagai peranan dalam industri media. Beliau telah menunjukkan bahawa dengan mencari peluang baru, seseorang dapat terus berkembang dan mencapai kejayaan yang luar biasa.

2. Peningkatan Kepuasan Kerja

Jika anda tidak berpuas hati dengan kerjaya semasa, menukar kerjaya boleh memberi anda peluang untuk mencari pekerjaan yang lebih memuaskan dan sesuai dengan minat dan nilai peribadi anda.

Steve Jobs, pengasas Apple, yang memutuskan untuk meninggalkan perniagaan tradisionalnya untuk mengejar hasratnya dalam teknologi komputer. Keputusannya untuk menukar kerjaya membawa kepada penciptaan salah satu syarikat teknologi terbesar di dunia.

3. Peluang Pendapatan Lebih Tinggi

Beberapa industri atau bidang pekerjaan menawarkan gaji yang lebih tinggi atau faedah yang lebih baik. Menukar kerjaya boleh membuka peluang untuk peningkatan pendapatan dan kestabilan kewangan.

4. Pengurangan Stres dan Burnout

Jika pekerjaan semasa anda menyebabkan stres atau keletihan yang tinggi, menukar kerjaya ke bidang yang lebih selaras dengan kekuatan dan minat anda boleh mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal.

5. Peluang Jaringan Baru

Masuk ke dalam industri baru memberi anda peluang untuk bertemu dengan orang baru dan memperluas rangkaian profesional anda, yang boleh memberi manfaat dalam jangka panjang.

Kontra Menukar Kerjaya

1. Penuh Dengan Ketidakpastian

Melibatkan diri dalam sesuatu perkara yang baru sudah tentu penuh dengan ketidakpastian. Ia mungkin melibatkan pembelajaran bahasa baru, penerimaan budaya baru, dan penyesuaian dengan persekitaran yang agak asing. Semuanya perlukan masa penyesuaian.

J.K. Rowling, penulis Harry Potter, yang sebelum menjadi penulis terkenal, pernah berada dalam situasi di mana dia berjuang untuk mencari pekerjaan yang stabil. Dia menghadapi ketidakpastian dan risiko yang besar apabila memutuskan untuk mengejar impian menulisnya.

2. Kos Masa dan Wang

Bertukar kerjaya boleh membawa risiko kewangan, terutamanya jika anda perlu mengambil cuti tanpa gaji untuk mempelajari kemahiran baru, mengikuti kursus, peluang pendidikan tambahan atau seumpamanya. Penting untuk menyediakan kewangan yang mencukupi sebelum membuat keputusan ini.

Elon Musk, pengasas Tesla dan SpaceX, telah menghabiskan berbilion dolar untuk membiayai projek-projeknya dan terus belajar serta menguasai bidang teknologi baru. Walaupun berjaya, perjalanan menukar kerjaya beliau melibatkan pelaburan besar-besaran dan pengorbanan masa yang besar.

3. Penyesuaian dan Pembelajaran Baru

Memulakan kerjaya baru bermaksud anda perlu belajar banyak perkara baru dan menyesuaikan diri dengan budaya kerja dan persekitaran yang berbeza. Ini boleh menjadi mencabar dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

4. Kemungkinan Penurunan Pendapatan Sementara

Dalam banyak kes, memulakan kerjaya baru boleh bermakna bermula dari bawah dan mungkin menerima gaji yang lebih rendah pada peringkat awal, yang boleh memberi impak kepada gaya hidup dan kewangan anda.

5. Cabaran Psikologi

Bertukar kerjaya boleh menjadi cabaran psikologi yang besar. Anda mungkin mengalami keraguan diri, tekanan, dan kebimbangan tentang keputusan anda. Oleh itu, sokongan daripada insan tersayang dan orang sekeliling amat penting.


Penutup

Dengan perancangan yang teliti, seseorang pasti dapat menghadapi perubahan kerjaya dengan penuh yakin dan bersedia untuk mencapai matlamat profesional yang baru.

Sedang mencari kerja baru? Cuba Epicareer sekarang, ia adalah platform yang membantu individu menemui pekerjaan yang sesuai dengan keperluan dan minat mereka. Dengan pelbagai peluang pekerjaan dari pelbagai industri dan bidang, Epicareer membolehkan pencari kerja menjelajahi pilihan-pilihan yang tersedia dan mengambil langkah pertama ke arah kerjaya yang mereka idamkan.

Jom, temui peluang kerjaya yang tepat untuk anda di Epicareer hari ini!

Pekerjaan Terkenal:

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles