Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide 7 Tips Menukar Kerjaya Dengan Berjaya Tanpa Mengira Umur

4 min read

7 Tips Menukar Kerjaya Dengan Berjaya Tanpa Mengira Umur

Ingin menukar kerjaya? Artikel ini memberikan tips berguna untuk anda yang ingin beralih ke bidang baru. Pelajari cara menentukan sebab perubahan, menyelidik laluan kerjaya baru, mendapatkan kaunseling, menambah kemahiran, membina hubungan profesional, mengemas kini resume, dan menetapkan matlamat untuk memastikan kejayaan anda. Baca sekarang dan dapatkan panduan penuh untuk perubahan kerjaya yang berjaya!

Nasra Patahuddin

Updated Jun 10, 2024

7 Tips Menukar Kerjaya Dengan Berjaya Tanpa Mengira Umur

Anda ingin menukar kerjaya tetapi umur anda melebihi 30-an? Usah risau, anda tidak bersendirian!

Bertukar kerjaya bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia pekerjaan. Ia bukan sahaja berlaku dalam kalangan golongan muda, tetapi juga dalam kalangan mereka yang berusia lebih matang dan sudah lama bekerjaya.

Secara ringkasnya, konsep perubahan kerjaya merujuk kepada proses seseorang memilih untuk meninggalkan kerjaya semasa mereka untuk memulakan kerjaya yang baru dan berbeza.

Terdapat beberapa aspek penting yang perlu diambil kira agar perubahan kerjaya yang dilakukan mampu memberi kepuasan dan kesinambungan dalam jangka masa panjang.

Jadi, sama ada anda berusia 20-an atau 50-an, jom baca tips-tips yang dikongsikan di bawah untuk membantu anda menjalani perubahan kerjaya dengan berjaya.

Berikut merupakan 7 tips untuk tukar kerjaya dengan berjaya.

1. Tahu Mengapa Anda Ingin Menukar Kerjaya

Sebelum anda meneruskan keputusan untuk menukar kerjaya, kenalpasti sebab utama mengapa anda ingin menukar kerjaya.

Adakah ingin mencari kepuasan peribadi atau mahukan kenaikan gaji?

Renungkan nilai peribadi, minat serta keinginan anda. Jangan lupa juga lihat semula matlamat jangka panjang anda dalam kerjaya. Adakah peralihan kerjaya ini akan memberikan peluang dan perkembangan diri?

Dengan mengenalpasti dan memahami sebab ingin menukar kerjaya, ia akan membantu anda membuat keputusan yang baik mengenai halatuju kerjaya baru anda.

2. Selidik Laluan Kerjaya Baru Anda

Ambil masa untuk berfikir dan cari maklumat mengenai kerjaya atau industri yang sesuai dengan kemahiran serta potensi diri anda.

Lakukan penilaian teliti mengenai laluan kerjaya yang ingin dipilih. Ini termasuk mengkaji dengan terperinci mengenai tuntutan pekerjaan, perkembangan diri, dan kesesuaian dengan kemahiran serta minat yang dimiliki.

Pengetahuan yang mendalam mengenai jalan kerjaya yang diinginkan akan membantu dalam merancang langkah seterusnya.

3. Berjumpa Dengan Kaunselor Kerjaya

Jika anda rasa sukar untuk mencari kerjaya yang memenuhi kehendak dan keperluan anda, cuba dapatkan pandangan dengan merujuk kaunseling kerjaya.

Kaunselor kerjaya bersedia untuk membantu individu menilai potensi, mengenalpasti kelebihan dan kelemahan diri serta memberi idea untuk merancang strategi bagi mencapai matlamat kerjaya.

Konsultasi bersama kaunselor kerjaya atau individu yang pakar akan memberi gambaran yang lebih jelas mengenai proses peralihan kerjaya. Selain itu, anda boleh bertanya macam-macam perkara mengenai kerjaya.

Anda juga boleh bertanya mengenai personaliti anda dan bagaimana ia sesuai dengan pekerjaan masa kini yang sentiasa berubah-ubah.

4. Belajar Kemahiran Baru

Manfaatkan masa lapang atau hujung minggu untuk mengikuti kursus atau latihan bagi menambah kemahiran baru.

Anda boleh pilih untuk mempelajari kemahiran boleh dipindah (‘transferable skills’) yang mempunyai permintaan tinggi dalam dunia kerjaya. Di samping itu, anda boleh mendaftar untuk kelas atas talian bagi mendapatkan sijil pendidikan tambahan.

Menguasai pelbagai jenis kemahiran adalah amat penting dalam membantu pertukaran kerjaya terutamanyai apabila anda ingin menukar kerjaya ke bidang yang berlainan.

Pemilihan kemahiran dan pendidikan yang sesuai adalah langkah yang penting untuk memastikan kebolehcapaian dalam bidang baru.

5. Bina “Networking” / Hubungan Profesional

Jaringan hubungan profesional yang kukuh adalah ‘kunci’ penting dalam pertukaran kerjaya. Ia merupakan ‘kunci’ kepada peluang-peluang keemasan untuk mendapatkan kerjaya yang lebih baik.

Bina hubungan profesional dengan individu-individu yang berpotensi untuk membantu anda dalam pertukaran kerjaya dan meneroka kerjaya baru yang diingini. Dapatkan nasihat daripada mereka mengenai baik dan buruk kerjaya tersebut.

Libatkan diri dalam pelbagai acara industri, berkomunikasi dengan mereka yang berada dalam bidang yang diingini serta manfaatkanlah platform media sosial atau kerjaya seperti LinkedIn untuk membina hubungan profesional dengan individu-individu daripada pelbagai industri.

6. Kemaskini Resume/CV/Portfolio

Untuk menukar kejaya, anda perlu melalui proses ‘mencipta semula’ imej diri dengan mengemaskini resume, CV, portfolio dan seumpamanya.

Resume, CV dan portfolio adalah merupakan aset-aset yang penting untuk pencari kerja termasuklah individu yang ingin menukar kerjaya. Oleh itu, pastikan anda mengemaskini kesemuanya dengan maklumat yang paling terkini dan berkaitan agar relevan dengan kerjaya baru yang dimohon.

Anda boleh mengetengahkan kemahiran dan pengalaman lalu yang berkaitan serta menjelaskan secara positif mengapa perubahan kerjaya ini diambil.

Secara tidak langsung, tindakan ini akan membantu meyakinkan majikan mengenai potensi dan kelayakan serta kesungguhan anda untuk menukar kerjaya.

7. Tetapkan Matlamat & Bersedia Hadapi Cabaran

Matlamat kerjaya yang jelas dan boleh dicapai perlu ditetapkan. Anda boleh gunakan pendekatan SMART (Spesifik, Boleh Diukur, Mencapai, Relevan, Masa Terhad) dalam menetapkan matlamat.

Matlamat yang jelas membantu anda untuk melihat dengan lebih jelas ‘laluan’ yang perlu ditempuh dalam pertukaran kerjaya.

Disamping itu, anda perlu sentiasa mengekalkan minda yang positif dan fokus kepada manfaat serta kelebihan menukar kerjaya. Mental yang positif membantu dalam menghadapi apa jua cabaran yang datang.

Raikan kejayaan-kejayaan kecil untuk mengekalkan momentum anda dalam pertukaran kerjaya ini.


Penutup

Menukar kerjaya mungkin kelihatan mencabar tetapi dengan sikap dan perancangan yang rapi, sesiapa pun boleh melakukannya.

Ia juga membantu mengurangkan risiko dan menawarkan rasa keyakinan yang diperlukan untuk menjalani perubahan dengan yakin dan penuh semangat.

Semoga dengan mengikuti tips-tips di atas, ia dapat membantu meningkatkan peluang kejayaan dalam perubahan kerjaya yang anda lakukan. Semoga berjaya!

Untuk bantuan lanjut dalam membina laluan kerjaya baru anda, lawati Epicareer.

Pekerjaan Terkenal:

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles