Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide Tips Mencari & Mendapatkan 'Remote Job' yang Sesuai untuk Anda

7 min read

Tips Mencari & Mendapatkan 'Remote Job' yang Sesuai untuk Anda

Mencari 'remote job' yang sesuai dengan keperluan dan kehendak anda memerlukan persediaan dan strategi yang tepat. Artikel ini memberikan 10 tips penting untuk membantu anda dalam proses ini, dari mengenal pasti kemahiran anda hingga memilih platform yang tepat dan membina 'personal branding'. Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan pekerjaan jarak jauh yang dapat memberikan keseimbangan kerja-kehidupan yang diidamkan.

Nasra Patahuddin

Updated May 20, 2024

Tips Mencari & Mendapatkan 'Remote Job' yang Sesuai untuk Anda

‘'Remote job' atau pekerjaan jarak jauh menjadi pilihan yang semakin diminati oleh ramai individu. Ini disebabkan oleh pelbagai kelebihan yang ditawarkan seperti fleksibiliti masa, keselesaan bekerja dari rumah dan peluang untuk bekerja dengan pelbagai syarikat di seluruh dunia.

Mencari peluang untuk mendapatkan 'remote job' yang sesuai dengan keperluan dan kehendak adalah sangat penting dalam pembinaan karier anda. Pastinya, ia juga akan mempengaruhi keseimbangan kehidupan yang diidamkan.

Berikut adalah beberapa tips penting untuk membantu anda mencari dan mendapatkan 'remote job' yang sesuai untuk anda.

1. Kenalpasti Kehendak, Keperluan dan Kemahiran Anda

Sebelum memulakan proses mencari 'remote job', adalah penting untuk anda menilai diri sendiri dengan jujur.

Kenal pasti keperluan dan kehendak anda dalam kerjaya serta kemahiran yang dimiliki. Apabila anda tahu apa yang anda perlu dan mahu, ia akan membantu anda untuk mencari pekerjaan yang benar-benar sesuai dengan situasi hidup anda.

Selain itu, mengenalpasti kemahiran yang anda miliki juga penting untuk membantu anda untuk memahami kekuatan dan kelemahan diri bagi menyelaraskan pencarian kerja dengan lebih baik.

2. Tentukan Jenis Pekerjaan Jarak Jauh yang Sesuai untuk Anda

Setelah mengenalpasti kehendak, keperluan dan kemahiran yang anda miliki dengan jelas, secara tidak langsung anda pasti akan dapat menentukan jenis pekerjaan jarak jauh yang sesuai dengan anda dengan lebih mudah.

Pemilihan jenis 'remote job' yang sesuai adalah sangat penting bagi memastikan pembinaan kerjaya anda terjamin sekaligus selari dengan matlamat untuk mencapai keseimbangan kerja - kehidupan yang diingini.

Pastikan juga anda mempertimbangkan beberapa faktor penting dalam pemilihan ‘remote job’ yang dicari seperti:

Stabiliti

Pertimbangkan tahap kestabilan kerja yang anda inginkan.

Adakah anda mencari pekerjaan jarak jauh yang menawarkan kestabilan jangka panjang atau anda lebih sukakan fleksibiliti dalam menjalankan projek sementara?

Waktu Bekerja

Tentukan waktu bekerja yang sesuai dengan gaya hidup anda.

Adakah anda lebih produktif pada waktu pagi atau malam? Pilih pekerjaan yang membolehkan anda mengatur jadual kerja dengan baik.

Budaya Organisasi

Fikirkan tentang nilai-nilai dan budaya organisasi yang anda harapkan.

Adakah anda mencari persekitaran kerja yang kolaboratif atau lebih suka bekerja secara individu?

Dengan memilih pekerjaan yang selari dengan keperluan dan kehendak serta sesuai dengan kemahiran anda, ia bukan sahaja dapat meningkatkan kepuasan dalam bekerja tetapi juga meningkatkan peluang untuk mencapai kejayaan dalam jangka masa panjang.

3. Pilih Platform yang Tepat

Apabila mencari 'remote job', pemilihan platform pekerjaan yang tepat adalah salah satu kunci kejayaan. Mengetahui di mana seharusnya anda patut memohon pekerjaan jarak jauh akan membuka peluang anda untuk mendapatkan pekerjaan dengan cepat dan lebih mudah.

Terdapat pelbagai laman web dan platform khas yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan jarak jauh. Antara platform yang popular adalah Upwork, Epicareer, Freelancer.com, dan Remote.co.

Selain itu, juga terdapat laman web khas yang menawarkan 'remote job' dalam bidang tertentu seperti We Work Remotely untuk pekerjaan dalam bidang IT dan teknikal.

Anda juga boleh layari laman web syarikat yang anda inginkan dan semak bahagian ‘Karier’ sekiranya mereka ada menawarkan pekerjaan jarak jauh. Sekiranya perlu, anda boleh hantar emel kepada pihak HR syarikat untuk bertanya.

4. Manfaatkan LinkedIn - Tetapkan Notifikasi ‘Remote Job’

Selain itu, anda juga boleh manfaatkan LinkedIn untuk mencari ‘remote job’ yang diinginkan. Biasanya pihak majikan akan memuat naik iklan kerja kosong di akaun LinkedIn mereka. Jadi, pastikan anda berhubung dengan ramai rekruiter di platform ini.

Pastikan juga anda mengemaskini profil LinkedIn anda dengan maklumat yang terkini dan menyelaraskannya dengan keperluan pekerjaan jarak jauh yang anda inginkan.

Dengan itu, anda akan menerima notifikasi terkini setiap kali ada iklan ‘remote job’ yang ditawarkan.

5. Ketahui ‘Redflags’ / Platform yang Perlu Dielak

Mengetahui ciri-ciri atau ‘redflags’ pekerjaan jarak jauh yang perlu dielakkan adalah penting untuk mengelakkan anda tertipu dan membuang masa. Berikut ialah ‘redflags’ / platform yang anda perlu elakkan:

Platform Pencarian Kerja Generik (Umum)

Elakkan mencari ‘remote job’ di laman web pekerjaan umum.

Anda akan membuang banyak masa kerana senarai pekerjaan yang ditawarkan jarak jauh mungkin dicampur dengan pelbagai jenis pekerjaan lain.

Ini menjadikannya sukar untuk anda mencari peluang pekerjaan jarak jauh yang sebenar.

Iklan Online yang Mencurigakan

Berjaga-jaga terhadap iklan dalam talian yang menjanjikan bayaran tinggi dengan usaha yang sedikit atau memerlukan bayaran awal.

Syarikat Yang Tidak Dikenali

Lakukan carian terhadap mana-mana syarikat sebelum lakukan permohonan.

Sebaiknya elakkan syarikat yang tidak dikenali, tidak mempunyai laman web rasmi atau media sosial rasmi. Elakkan juga syarikat yang mendapat ulasan buruk.

Iklan Kerja Tidak Jelas

Elakkan memohon sekiranya iklan kerja yang dipaparkan tidak jelas dan tidak mengandungi maklumat penting seperti nama syarikat dan sebagainya.

Majikan yang sah menyediakan maklumat yang jelas tentang syarikatnya dan pekerja yang diinginkan.

6. Sertai Komuniti yang Berkaitan

Sertai komuniti-komuniti yang berkaitan dengan industri atau bidang diceburi yang menawarkan pekerjaan jarak jauh. Berinteraksilah secara aktif dengan ahli komuniti dan rajinkan diri membaca perkongsian yang dikongsikan.

Komuniti yang tepat tidak hanya menyediakan peluang untuk mempelajari perkembangan terkini dalam industri anda tetapi juga menjadi platform untuk berhubung secara terus dengan majikan yang mencari pekerja jarak jauh.

Selain berinteraksi dalam talian, anda juga boleh jadualkan pertemuan atau hadiri acara berkaitan industri untuk berhubung dengan profesional lain secara langsung.

Ini bukan sahaja memberi peluang untuk berinteraksi dengan profesional lain, tetapi juga membuka pintu kepada pelbagai peluang pekerjaan yang mungkin tidak tersedia secara terbuka.

7. Bina ‘Personal Branding’

Mempunyai 'personal branding' dalam talian adalah langkah penting untuk mengukuhkan kedudukan anda dalam pasaran pekerjaan digital.

Adalah penting untuk memastikan anda ‘dikenali’ bagi memudahkan pihak klien atau majikan untuk mencari anda dengan mudah.

Melalui ‘personal branding’ yang anda bina, ia akan membantu mewujudkan kepercayaan orang lain (potensi klien/majikan) akan kebolehan yang anda miliki.

Antara tips untuk membina ‘personal branding’ yang berjaya adalah:

Optimumkan Profil Media Sosial

Pastikan profil media sosial anda di platform atau platform khusus pekerjaan jarak jauh mencerminkan identiti profesional anda dengan jelas.

Gunakan gambar profil yang profesional dan tulis bio yang menarik serta relevan dengan bidang anda.

Kongsi Kandungan Berkualiti

Berkongsi kandungan berkualiti yang menunjukkan kepakaran dan kebolehan anda dalam bidang tertentu.

Tulis artikel, kongsi projek atau portfolio anda, atau hasilkan video yang memperlihatkan kemahiran anda.

Pastikan kandungan anda memberi nilai tambah kepada audiens anda dan menonjolkan anda sebagai pakar dalam bidang anda.

Bina Hubungan dan Jaringan

Gunakan media sosial untuk membina hubungan dengan profesional lain dalam bidang anda.

Jaringan yang kukuh dapat membantu membuka pintu kepada peluang pekerjaan jarak jauh yang tidak disangka-sangka.

Pantau dan Selaraskan

Pantau aktiviti dalam talian anda secara berkala dan selaraskan strategi 'personal branding' anda mengikut keperluan pasaran pekerjaan jarak jauh.

Perhatikan trend industri, perubahan dalam keperluan majikan, dan perubahan dalam platform media sosial, dan sesuaikan tindakan anda berdasarkan perubahan tersebut.

8. Ketahui Nilai Diri Anda Berdasarkan Kepakaran/Kemahiran

Salah satu cara untuk mengetahui nilai diri anda adalah dengan menilai diri anda secara jujur. Pertimbangkan keahlian, kemahiran, dan pengalaman anda dalam bidang tertentu.

Fikirkan tentang apa yang membuat anda unik dan berbeza daripada yang lain dalam bidang tersebut.

Selain itu, selidik pasaran kerja dalam bidang yang anda inginkan untuk mengetahui tahap permintaan dan kemahiran tertentu yang diperlukan.

Bandingkan keahlian dan kemahiran anda dengan keperluan pasaran untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang nilai diri anda dalam konteks pasaran pekerjaan.

Anda juga boleh sertai ujian atau penilaian kemahiran dalam bidang yang anda minati. Penilaian ini dapat memberi anda gambaran yang lebih jelas tentang tahap kemahiran anda dalam bidang tertentu.

Jangan lupa juga minta pendapat dan maklum balas daripada rakan-rakan, bos atau mentor mengenai kekuatan dan kelemahan anda.

Ini dapat memberi anda pandangan luaran yang berharga dan membantu anda mengenal pasti nilai diri anda dari perspektif yang berbeza.

Dengan menggabungkan pelbagai sumber maklumat dan refleksi diri yang teliti, anda dapat mengetahui nilai diri anda berdasarkan kepakaran dan kemahiran anda dengan lebih jelas.

Ini akan membantu anda mendapatkan ‘remote job’ yang memanfaatkan potensi terbaik anda.

9. Rancang Pencarian Anda

Rancangan yang teratur dalam proses pencarian kerja adalah sangat penting. Susun jadual pencarian anda secara harian atau mingguan agar anda dapat melakukan pencarian secara berfokus.

Tetapkan matlamat yang realistik dan beri tumpuan kepada peluang yang benar-benar sesuai dengan kehendak serta keperluan anda.

10. Sentiasa Buat ‘Follow-Up’

Jangan lupa untuk melakukan ‘follow-up’ kepada majikan selepas mengemukakan permohonan.

Ini menunjukkan kesungguhan dan minat anda terhadap pekerjaan tersebut sekaligus membantu meningkatkan peluang anda untuk mendapat tawaran pekerjaan.


Kesimpulan

Dengan mengikuti langkah-langkah di atas, ia pasti akan meningkatkan peluang anda untuk mencari dan mendapatkan pekerjaan jarak jauh yang sesuai dengan kehendak serta keperluan anda.

Jangan putus asa dan konsistenlah dalam usaha pencarian anda kerana proses mendapatkan ‘remote job’ yang sesuai mungkin mengambil masa.

Apapun, semoga berjaya!

Untuk memudahkan lagi pencarian pekerjaan anda, kunjungi Epicareer dan dapatkan akses kepada pelbagai peluang pekerjaan jarak jauh yang tersedia. Epicareer akan membantu anda menemukan pekerjaan yang sesuai dengan lebih mudah dan cepat.

Pekerjaan Popular di Malaysia:

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles