Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide 10 Tips Mengatasi Sikap Suka Bertangguh

6 min read

10 Tips Mengatasi Sikap Suka Bertangguh

Ketahui apa itu sikap bertangguh, faktor penyebabnya, tanda-tanda seseorang sedang bertangguh, dan tips praktikal untuk mengatasi masalah ini. Pelajari cara-cara untuk lebih produktif dan menyelesaikan tugas tanpa menangguh.

Nasra Patahuddin

Updated Jun 4, 2024

10 Tips Mengatasi Sikap Suka Bertangguh

Sikap suka bertangguh adalah merupakan satu cabaran yang dihadapi oleh ramai orang, daripada golongan pelajar sehinggalah pekerja professional. Sikap ini menjadi akan kebiasaan sekiranya tidak diubah atau dicegah lebih awal.

Oleh itu, untuk artikel kali ini, kami akan kongsikan beberapa info mengenai apa itu sikap bertangguh, faktor-faktor yang menyebabkannya, tanda-tanda yang menunjukkan seseorang sedang bertangguh dan tips yang praktikal untuk mengatasi masalah ini.

Jom baca.

Apa Itu Bertangguh?

Bertangguh atau prokrastinasi merujuk kepada kecenderungan seseorang melambat-lambatkan membuat sesuatu kerja, tindakan atau keputusan.

Individu yang mempunyai sikap bertangguh ini akan lebih gemar memilih untuk melakukan perkara yang lebih menyeronokkan atau mudah berbanding menyiapkan kerja yang harus disiapkan. Contohnya seperti menonton televisyen, bermain permainan video, melayari sosial media dan sebagainya.

Sikap bertangguh adalah merupakan sikap yang boleh diubah dan dicegah sekiranya memiliki kesedaran serta tahu bagaimana caranya.

Apa yang Membuatkan Seseorang Suka Bertangguh?

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang mempunyai sikap suka bertangguh. Antaranya;

1. Ketidakpastian

Rasa tidak pasti tentang bagaimana untuk memulakan sesuatu tugasan boleh menghalang seseorang daripada bertindak.

Ketidakpastian ini boleh disebabkan oleh kekurangan maklumat, tiada perancangan rapi atau kebolehan yang diragukan.

2. Takut gagal

Ketakutan tidak dapat menyelesaikan sesuatu tugasan dengan baik atau tidak yakin dapat mencapai standard yang dikehendaki juga salah satu faktor menyebabkan seseorang bertangguh melakukan sesuatu.

Hal ini biasanya terjadi apabila seseorang mendapat tekanan untuk memberikan hasil yang sempurna.

3. Kemahiran pengurusan masa yang lemah

Pengurusan masa yang tidak cekap menyebabkan banyak kerja bertimbun.

Apabila suda terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan, maka ‘mood’ untuk menyiapkan kerja menjadi kurang. Hasilnya, berlakulah penangguhan.

4. Keutamaan yang tidak betul

Memberikan keutamaan kepada perkara-perkara yang kurang penting seperti menonton TV, berjalan-jalan, lepak dengan kawan dan seumpamanya boleh menyebabkan tugasan utama yang sepatutnya dilakukan menjadi tertangguh.

5. Tidak berdisiplin

Disiplin diri yang kurang menyebabkan seseorang cenderung untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan daripada melakukan tugasan yang penting & perlu disiapkan. Ini juga menunjukkan anda kurang kawalan terhadap diri.

Berseronok boleh, tapi jangan sampai kerja anda tertangguh atau lebih teruk lagi, tidak siap/siap tapi tidak berkualiti.

Tanda-tanda Anda Sedang Bertangguh Melakukan Sesuatu

Bagaimana untuk mengetahui jika anda sedang bertangguh-tangguh untuk melakukan sesuatu? Terdapat beberapa tanda yang boleh memberi petunjuk, antaranya:

1. Mengabaikan tugasan yang tidak ‘urgent’

Seseorang akan suka menangguh kerja yang kurang ‘urgent’ dan memberi perhatian kepada tugasan-tugasan yang lebih mendesak. Mereka akan mengabaikan tugasan tersebut dan bertangguh-tangguh untuk menyelesaikannya sehingga terlupa atau hanya akan mengerjakannya pada akhir waktu.

Jadi, apabila mendapati diri anda sedang mengabaikan kerja yang tidak mendesak dan hanya bercadang untuk melakukannya pada waktu akhir, inilah tanda anda sedang menangguhkan kerja.

2. Tidak pasti bagaimana hendak bermula

Apabila tidak tahu bagaimana hendak bermula, lalu anda beralih kepada kerja lain yang lebih mudah atau lebih jelas bagaimana untuk melakukannya, ini menandakan anda sedang menangguhkan kerja yang seharusnya anda lakukan!

3. Melakukan aktiviti yang tidak produktif

Memilih untuk melakukan aktiviti yang tidak produktif seperti bermain permainan video berbanding melakukan tugasan yang perlu disiapkan adalah petanda jelas anda sedang bertangguh.

Melakukan aktiviti yang tidak berkaitan dengan tugasan yang perlu disiapkan adalah cara untuk mengelak daripada tugasan tersebut yang mungkin sukar untuk dilakukan dan sebagainya.

4. Memilih kerja yang mudah

Memilih untuk melakukan pekerjaan yang mudah daripada tugas yang sukar walaupun tarikh akhir sudah hampir adalah tanda anda sedang menangguhkan kerja.

Anda perlu tahu keutamaan kerja yang perlu disiapkan sama ada kerja tersebut sukar atau tidak.

5. Mencipta alasan

Apabila anda mempunyai banyak alasan untuk tidak melakukan sesuatu tugasan, itu adalah salah satu tanda yang jelas bahawa anda sedang bertangguh.

Ini adalah cara untuk mengurangi atau mengalihkan rasa bersalah yang muncul akibat menangguhkan kerja yang seharusnya dilakukan.

Tips untuk mengatasi sikat suka bertangguh

Berikut merupakan 10 tips untuk mengatasi sikat suka bertangguh:

1. Kenal pasti punca/sebab

Langkah pertama untuk mengatasi sikap suka bertangguh adalah dengan mengenal pasti sebab-sebab yang menyebabkan perilaku tersebut. Lakukan refleksi diri secara jujur dan kenal pasti ‘pola penangguhan’ yang anda lakukan.

Sebagai contoh, anda cenderung untuk bertangguh melakukan kerja apabila anda tidak pasti cara untuk melakukannya. Jadi bagi mengelakkan masalah sikap bertangguh ini, anda boleh membuat carian maklumat atau bertanya dengan individu yang mahir mengenai cara melakukan sesuatu tugasan sebelum mula melakukannya.

2. Visualisasikan matlamat anda

Memvisualisasikan matlamat anda adalah salah satu cara efektif untuk mengatasi sikap suka bertangguh. Bayangkan kejayaan dan manfaat yang akan diperoleh apabila tugasan tersebut berjaya diselesaikan.

Dengan cara ini, ia boleh memberi motivasi tambahan kepada anda untuk bertindak dan tidak bertangguh.

3. Bahagikan tugas

Bahagikan satu tugasan yang besar atau sukar kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil.

Tindakan ini akan membuatkan tugasan tersebut lebih mudah dikerjakan. Strategi ini sangat efektif untuk mengelakkan anda rasa terbeban dan bertangguh untuk melakukannya.

4. Buat senarai tugasan (to-do list)

Buat satu senarai tugasan yang jelas dan realistik untuk membantu anda membuat perancangan.

Perancangan yang baik disertai dengan pengurusan masa yang bijak akan membantu anda mengatasi sikap bertangguh.

Satu lagi tips, letakkan senarai to-do list anda di kawasan yang mudah anda lihat setiap hari. Ini akan membantu mengingatkan anda tentang apa yang perlu dilakukan dan mengelakkan terlepas tugasan penting.

5. Gunakan teknik dua minit atau Pomodoro

Anda cuba gunakan kedua-dua teknik untuk membantu menyiapkan kerja dengan efektif. Ambil masa dua minit untuk memulakan sesuatu tugasan yang dirasakan sukar.

Kemudian teruskan dengan teknik Pomodoro untuk kekalkan fokus. Teknik Pomodoro adalah bekerja selama 25 minit dengan tumpuan penuh, diikuti dengan rehat singkat selama lima minit.

6. Tetapkan tarikh akhir yang jelas

Gunakan jadual untuk menetapkan tarikh akhir yang jelas dan realistik. Ini akan membantu anda memberi menyiapkan tugasan dengan fokus.

Apabila mempunyai tarikh akhir yang jelas ia akan memberi motivasi tambahan (push factor) untuk anda menyiapkannya segera.

7. Selesaikan kerja yang mencabar pada waktu paling produktif

Cuba selesaikan kerja yang memerlukan tumpuan tinggi dan usaha lebih semasa anda berada dalam keadaan paling produktif. Dengan cara ini, ia boleh meningkatkan keberkesanan dan kualiti kerja anda.

8. Buang sebarang gangguan

Persekitaran yang tenang dan bebas daripada gangguan boleh membantu meningkatkan tumpuan dan produktiviti anda.

Selain itu, gangguan seperti telefon bimbit, televisyen, permainan video dan seumpamanya perlu disorokkan semasa anda melakukan kerja. Ini bagj mengelakkan anda beralih fokus sehingga menyebabkan kerja tertangguh.

9. Pilih tempat yang kondusif

Pilih tempat yang kondusif untuk melakukan kerja bagi meningkatkan keselesaan anda. Pastikan tempat tersebut mempunyai kemudahan yang anda perlukan. Contohnya seperti plug, meja, kerusi, tandas dan sebagainya.

10. Berikan ganjaran kepada diri sendiri

Sebaik sahaja berjaya menyiapkan tugasan-tugasan yang sukar, jangan lupa beri ganjaran kepada diri anda. Ini akan menjadi pemangkin kepada diri untuk lebih bersemangat menyiapkan tugas selanjutnya.

Ia juga boleh menjadi sumber motivasi tambahan atau push factor untuk anda menyiapkan tugasan tersebut segera agar dapat menikmati ganjaran.


Kesimpulan

Dengan mengetahui sebab-sebab di sebalik sikap suka bertangguh dan mengambil langkah-langkah praktikal untuk mengatasi masalah ini, percayalah ia dapat membantu anda menyiapkan tugas dengan efektif tanpa perlu bertangguh-tangguh.

Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai bagaimana anda boleh meningkatkan produktiviti dan mencari peluang kerjaya yang sesuai?

Kunjungi Epicareer sekarang untuk mendapatkan panduan dan peluang kerjaya yang boleh membantu anda mencapai matlamat profesional anda.

Pekerjaan Terkenal:

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles