Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide Kerjaya Tidak Linear: Maksud, Kepentingan & Contoh-contoh

8 min read

Kerjaya Tidak Linear: Maksud, Kepentingan & Contoh-contoh

Ketahui bagaimana laluan kerjaya tidak linear semakin popular dalam kalangan generasi milenium. Artikel ini mengupas maksud, kepentingan, pro dan kontra, serta contoh-contoh kerjaya tidak linear, di mana individu mengejar minat dan peluang yang berbeza merentasi pelbagai bidang. Fahami mengapa ramai memilih laluan kerjaya yang fleksibel dan pelbagai berbanding laluan konvensional, didorong oleh perubahan industri, perkembangan peribadi, dan keinginan untuk cabaran baru.

Nasra Patahuddin

Updated Jun 4, 2024

Kerjaya Tidak Linear: Maksud, Kepentingan & Contoh-contoh

Laluan kerjaya konvensional (linear) tidak lagi menjadi keutamaan untuk kebanyakan individu pada masa kini.

Generasi milenium pada masa kini lebih mempertimbangkan untuk memilih laluan kerjaya yang berubah-ubah (kerjaya tidak linear) berdasarkan bidang yang mereka inginkan atau minati walaupun mempunyai perbezaan yang besar daripada kerjaya atau bidang sebelumnya.

Mari ketahui lebih lanjut mengenai maksud kerjaya tidak linear, kepentingannya, pro dan kontra dan contoh-contohnya melalui perkongsian di bawah.

Apa Itu Kerjaya Tidak Linear?

Kerjaya tidak linear merujuk kepada corak perjalanan kerja seseorang yang TIDAK mengikut ‘track’ yang sepatutnya.

Biasanya dalam perjalanan kerjaya yang linear, seseorang akan memulakan kerjayanya selepas mendapat pendidikan formal, kemudian mencari pekerjaan dalam bidang yang berkaitan dan seterusnya naik pangkat secara berperingkat sehingga mencapai tahap tertinggi atau usia persaraan.

Namun, dalam perjalanan kerjaya tidak linear, seseorang mengalami pelbagai perubahan sepanjang perjalanan kerjayanya. Perubahan tersebut boleh jadi dari segi perubahan tanggungjawab di tempat kerja, menukar kerjaya lain melintasi industri atau bidang asal dan seumpamanya.

Contohnya, seseorang mungkin memulakan kerjaya sebagai jurutera, tetapi kemudian memutuskan untuk mengejar minat baru dalam bidang pemasaran digital. Selepas beberapa tahun bekerja dalam pemasaran, dia memutuskan untuk membuka perniagaan sendiri dalam bidang keusahawanan sosial. Semua perubahan ini menunjukkan laluan kerjaya yang tidak linear.

Kenapa Seseorang Memilih Laluan Kerjaya Tidak Linear?

Laluan kerjaya tidak linear semakin hari semakin menjadi kebiasaan. Hal ini disebabkan oleh banyak faktor.

1. Perubahan Keperluan Industri & Perkembangan Teknologi Yang Laju

Antara sebabnya ialah keperluan industri yang berubah dan berkembang dengan cepat. Diikuti pula dengan perkembangan teknologi yang laju. Ini mendorong individu untuk mencari peluang baru dalam bidang yang sedang berkembang.

Perubahan tenaga kerja yang dibawa oleh teknologi juga telah memberi kesan kepada ramai orang. Sebagai tindak balas, ramai yang menukar haluan di pertengahan kerjaya mereka, sama ada untuk mengambil peluang baru atau untuk mengelakkan diri dari menjadi usang.

2. Ingin Mencapai Kepuasan Diri Dan Perkembangan Peribadi

Selain itu, individu yang ingin mencapai kepuasan diri dan perkembangan peribadi juga cenderung untuk mencari pengalaman baru di luar bidang kerja semasa mereka.

Mereka yang terinspirasi untuk mengeksplorasi minat dan bakat baru yang tidak dapat dilakukan dalam laluan kerjaya linear dapat melakukannya dengan mudah apabila memilih laluan kerjaya tidak linear.

Ini membolehkan mereka untuk memperluaskan kebolehan dan mengembangkan diri dalam cara yang tidak mungkin dilakukan jika mereka terikat kepada satu laluan kerjaya yang konvensional.

3. Mencipta Peluang Baru

Dalam laluan kerjaya tidak linear, individu juga dapat memanfaatkan kemahiran dan pengalaman yang mereka peroleh dari bidang yang berbeza untuk mencipta peluang baru yang lebih fleksibel dan selari dengan nilai-nilai yang ingin diamalkan.

4. Kesedaran Pembelajaran Sepanjang Hayat

Bukan itu sahaja, kesedaran akan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dan kepelbagaian pengalaman juga memainkan peranan dalam pemilihan laluan kerjaya tidak linear.

Ramai individu mula menyedari bahawa kecekapan dan pengetahuan dalam pelbagai bidang adalah aset yang berharga dalam pasaran kerja yang kompetitif.

5. Inginkan Cabaran Baru

Kestabilan pekerjaan bukan lagi satu perkara yang menjadi kerisauan. Ramai yang lebih memilih kepuasan dalam bekerja walaupun tidak menjamin kestabilan dan lebih gemarkan cabaran.

Apabila kerja menjadi terlalu rutin atau apabila nilai-nilai seseorang berkembang dengan cara yang bertentangan dengan profesion yang dipilih, seseorang menjadi lebih mudah kehilangan motivasi.

Dengan meneroka kemahiran atau bidang baru, seseorang dapat menemui penyelesaian yang diperlukan untuk mengatasi perasaan stagnasi atau ketidakpuasan dalam bekerja.

Pro Laluan Kerjaya Tidak Linear

Laluan kerjaya tidak linear membawa peluang dan kelebihan tersendiri. Namun tidak dinafikan, ia juga mempunyai cabaran dan memerlukan kemahiran adaptasi yang hebat.

Anda perlu mempertimbangkan kedua-dua pro dan kontra agar boleh membuat keputusan yang bijak sama ada laluan kerjaya tidak linear sesuai dengan matlamat dan keperluan anda.

Berikut ialah pro laluan kerjaya tidak linear:

1. Pertumbuhan Peribadi

Memilih laluan kerjaya tidak linear membolehkan seseorang untuk terus berkembang secara peribadi mengikut nilai-nilai yang diinginkan.

Dengan menghadapi pelbagai cabaran dan situasi yang berbeza, seseorang dapat meluaskan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran sekaligus meningkatkan nilai dirinya.

2. Fleksibiliti Kerja yang Meningkat

Kebanyakan laluan kerjaya tidak linear memberikan fleksibiliti yang lebih besar dalam hal jadual kerja dan lokasi kerja.

Ini membolehkan individu untuk mencapai keseimbangan antara kehidupan kerja dan kehidupan peribadi mereka yang lebih baik.

3. Memperoleh Pengalaman yang Pelbagai

Dengan mencuba dan meneroka pelbagai bidang/industri, ia dapat memberikan pengalaman yang luas dan berharga.

Ini memberi kelebihan kepada seseorang untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang berubah-ubah dan semakin kompetitif.

4. Memperluas Rangkaian Profesional

Melalui pengalaman yang pelbagai dalam industri yang berbeza, seseorang yang memilih laluan kerjaya tidak linear dapat memperluas rangkaian profesional mereka dengan mudah.

Hal ini kerana, mereka akan bertemu dengan lebih banyak orang daripada latar belakang yang berbeza, menjalin hubungan yang bermanfaat dan memperluas peluang pekerjaan serta kerjasama profesional.

Kontra Laluan Kerjaya Tidak Linear

1. Kurang Kestabilan

Laluan kerjaya tidak linear mungkin kurang stabil jika dibandingkan dengan laluan kerjaya konvensional.

Seseorang mungkin akan menghadapi ketidakpastian pekerjaan, kontrak sementara atau perubahan industri yang berubah dengan pantas.

2. Pencarian Kerja Mencabar

Walaupun banyak organisasi menghargai kepelbagaian pengalaman, sesetengah pihak majikan lebih suka individu dengan laluan kerjaya standard yang jelas. Ini boleh menjadikan pencarian pekerjaan lebih mencabar.

3. Penguasaan Kemahiran Tidak Mendalam

Walaupun mempunyai pengalaman dalam pelbagai bidang, individu yang berada di dalam laluan kerjaya tidak linear biasanya menghadapi cabaran dalam menguasai sesuatu kemahiran secara mendalam.

Hal ini akan menyulitkan individu untuk mencapai tahap kecekapan yang tinggi dalam sesuatu bidang tertentu dan mempengaruhi peluang mereka dalam pasaran kerja yang khusus.

4. Sukar Membina Laluan Kerjaya yang Jelas

Seseorang dalam laluan kerjaya tidak linear selalunya akan menghadapi kesulitan dalam merancang dan membina laluan kerjaya yang teratur dan jelas.

Kebanyakannya tidak pasti mengenai langkah seterusnya dalam perjalanan kerjaya mereka.

5. Sukar Membina Reputasi

Reputasi adalah aset penting dalam dunia profesional. Reputasi yang kukuh membantu seseorang dikenali dan diiktiraf atas kecekapan dan kebolehan mereka dalam bidang tertentu.

Bagi individu dalam laluan kerjaya tidak linear, ketiadaan fokus yang jelas atau kemahiran yang mendalam dalam satu bidang menyukarkan mereka membina reputasi profesional yang kukuh.

Contoh Kerjaya Tidak Linear

Terdapat pelbagai contoh laluan kerjaya tidak linear yang menarik dan berbeza-beza. Berikut adalah beberapa contoh:

1. Doktor menjadi Usahawan

Seorang doktor yang telah bekerja dalam bidang kesihatan selama beberapa tahun mendapati bahawa dia meminati dunia keusahawanan.

Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan dalam bidang kesihatan, dia memilih untuk membuka pusat kesihatan sendiri dan menjadi usahawan dalam bidang kesihatan.

Contoh: Dr. Irma Shida Abu Samah, seorang alumni Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia, kini boleh tersenyum lebar kerana telah menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Beliau mengusahakan klinik pergigian bersama suaminya dan tidak hanya tertumpu kepada perniagaan dalam bidang pergigian, malah juga mempunyai produk kecantikan sendiri.

"Saya minat bidang kecantikan. Saya suka solekan. Jadi, saya kumpul ilmu tentang cara untuk memulakan perniagaan penjagaan kulit," katanya semasa menyampaikan syarahan pada Program Kuliah Umum Kursus Asas Keusahawanan dan Inovasi yang dianjurkan oleh Pusat CITRA UKM, baru-baru ini.

2. Akauntan Menjadi Guru

Setelah bekerja sebagai akauntan, dia mendapati bahawa mengajar dan mendidik adalah minatnya yang sebenar. Bagi memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan dalam bidang akauntan, dia memilih untuk menjadi guru untuk subjek Akauntan di sekolah.

Katharene Expedit adalah seorang akauntan profesional yang pernah berkhidmat di beberapa firma perakaunan terkemuka di dunia, termasuk salah satu firma Big Four, sebuah firma penasihat korporat di Australia, dan juga di Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Namun, jika diberikan pilihan antara kerjaya di firma besar atau sebaliknya, beliau memilih untuk mengajar. Kini, sudah lebih 12 tahun beliau bergelar tenaga pengajar.

3. Penulis menjadi Pengurus Media Sosial

Seseorang mungkin memulakan kerjaya mereka sebagai penulis tetap atau penulis sambilan, tetapi kemudian melihat peluang dalam industri media sosial yang lebih menarik.

Lalu memutuskan untuk meneroka kemahiran baru dalam pengurusan media sosial dan menukar laluan kerjaya menjadi pengurus media sosial untuk syarikat atau agensi.

4. Jurutera menjadi Pengurus Projek

Seorang jurutera yang telah bekerja dalam industri pembinaan meminati kerjaya dalam pengurusan projek dan memutuskan untuk mengejar kelayakan dalam pengurusan projek bagi mengubah arah kerjayanya ke arah pengurusan projek dalam industri yang sama atau berbeza.

5. Buruh Binaan Menjadi Pelukis

Seorang pegawai kerajaan menemui minat baru dalam seni lukisan dan memulakan hobi melukis secara sambilan.

Setelah beberapa tahun, dia memutuskan untuk menjadikan hobinya sebagai kerjaya dengan menjual lukisan secara dalam talian atau di pameran seni tempatan.

Daripada buruh binaan menjadi pelukis berjaya, Isa Ishak kini tersenyum memerhatikan lukisan-lukisannya di studio seni miliknya di Telok Panglima Garang, Selangor.

Sejak bergelar anak seni pada tahun 2016, karyanya sering mengagumkan ramai. Siapa sangka, pemuda berusia 30 tahun ini dahulunya adalah tukang buat rumah. Bakat dan latar belakang anak keenam daripada 12 beradik ini memang jarang ditemui dalam arena seni.


Kesimpulan

Dalam dunia yang semakin berkembang dan berubah dengan pantas, laluan kerjaya tidak linear memberikan peluang yang unik untuk pertumbuhan peribadi dan profesional.

Walaupun terdapat cabaran, ia juga membuka pintu kepada pengalaman baru, rangkaian yang lebih luas, dan fleksibiliti kerja yang lebih besar. Individu yang berani mencuba laluan kerjaya tidak linear boleh memperoleh manfaat yang besar dan mencapai kepuasan diri yang lebih tinggi.

Adakah anda bersedia untuk meneroka laluan kerjaya tidak linear anda sendiri? Epicareer sedia membantu anda mencari peluang kerjaya yang sesuai dengan minat dan bakat anda.

Dengan pelbagai sumber dan sokongan yang disediakan, Epicareer dapat membantu anda mencipta laluan kerjaya yang fleksibel dan memuaskan. Lawati Epicareer hari ini dan mulakan perjalanan kerjaya anda yang unik!

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles