Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide Mentor: Definisi, Jenis Mentor & Tips Mencari Mentor Dalam Kerjaya

7 min read

Mentor: Definisi, Jenis Mentor & Tips Mencari Mentor Dalam Kerjaya

Pementoran sangat penting dalam kerjaya, membantu pekerja mencapai matlamat syarikat dan mengatasi cabaran dengan lebih strategik. Ketahui peranan mentor, jenis-jenis mentor, serta perbezaan antara mentor dan jurulatih. Dapatkan tip praktikal untuk mencari dan menjadi mentor yang berkesan. Baca artikel ini untuk maklumat dan panduan berharga tentang dunia pementoran.

Nasra Patahuddin

Updated Jun 3, 2024

Mentor: Definisi, Jenis Mentor & Tips Mencari Mentor Dalam Kerjaya

Dalam dunia kerjaya, pementoran adalah merupakan sebuah program yang biasanya diwujudkan bagi memastikan setiap pekerja boleh memenuhi ‘spesifikasi’ atau gol yang diperlukan oleh syarikat.

Kepentingan mempunyai sekurang-kurangnya seorang mentor sepanjang perjalanan kerjaya seseorang memang tidak boleh dipertikaikan.

Kehadiran mentor membantu menghadapi cabaran kerjaya dengan lebih tenang dan strategik.

Jadi, sama ada anda berminat hendak menjadi mentor ataupun mencari mentor, berikut dikongsikan beberapa maklumat mengenai mentor, mentee, jenis-jenis mentor, perbezaan mentor dan jurulatih dan sebagainya.

Apa Itu Mentor?

Mentor adalah gelaran untuk seseorang yang memberikan bimbingan, nasihat dan perkongsian pengalaman kepada individu lain yang dikenali sebagai mentee.

Biasanya, mentor adalah individu yang lebih tua, berpangkat tinggi lebih berpengalaman dan lebih berpengetahuan.

Namun, mentor juga boleh dipilih daripada individu yang lebih muda atau sebaya tetapi mempunyai pengetahuan, pengalaman serta pangkat yang lebih tinggi.

Peranan Mentor Dalam Kerjaya

Seorang mentor akan bertindak sebagai pembimbing kepada individu yang kurang berpengalaman dalam sesuatu bidang/perkara.

Mentor akan memberikan pandangan yang objektif serta nasihat profesional untuk perkembangan diri dan kerjaya mentee-nya. Mentor juga berfungsi sebagai ‘sumber pengetahuan’ dalam bidang kerja tertentu.

Selain itu, seorang mentor juga akan sentiasa memberi sokongan emosional dan profesional untuk para mentee-nya dalam menghadapi jua cabaran yang mungkin timbul dalam perjalanan kerjaya mereka.

Apa Itu Mentee?

Mentee pula merujuk kepada individu yang menerima bimbingan, nasihat serta bantuan dari seorang mentor. Mentee biasanya adalah individu yang kurang berpengalaman dalam bidang tertentu.

Seorang mentee akan mempelajari dan mengaplikasikan pengetahuan yang diberikan oleh mentor untuk membantu mereka dalam perkembangan diri dan kerjaya.

Mentor dan mentee saling bekerjasama secara profesional, di mana mentor akan membantu si mentee untuk mencapai matlamat atau potensi mereka.

Hubungan pementoran ini melibatkan pertukaran pengetahuan, pengalaman, dan nasihat untuk memberikan arah yang lebih baik dalam perkembangan mentee.

Empat Jenis Mentor

1. Mentor Sebaya (Peer)

Mentor sebaya ialah rakan sekerja atau individu yang berada dalam lingkungan profesional yang sama dengan mentee.

Mereka bukanlah atasannya atau penyelia, tetapi lebih kepada rakan sejawat yang bersedia memberi bantuan, nasihat dan panduan.

Mentor sebaya membantu dalam perkembangan profesional melalui perkongsian pengalaman, pembelajaran bersama dan sokongan antara satu sama lain di tempat kerja.

Mentor sebaya boleh menjadi sumber inspirasi dan bimbingan untuk membantu mentee mencapai matlamat dalam kerjaya.

Mentor sebaya cenderung untuk berinteraksi dalam pertemuan tidak seberapa formal atau dalam suasana sosial, seperti makan tengahari.

2. Mentor Kerjaya

Mentor kerjaya pula adalah individu yang lebih berpengalaman atau berjaya dalam bidang yang sama dengan mentee. Mereka bersedia memberikan panduan, nasihat, dan sokongan kepada mentee-nya.

Mentor kerjaya biasanya memiliki pengetahuan mendalam tentang industri atau profesion mereka dan berperanan sebagai sumber inspirasi untuk membantu mentee-nya mencapai matlamat profesional yang diingini.

Dengan adanya mentor kerjaya, ia dapat membantu mentee memahami lebih baik cabaran dan peluang dalam kerjaya untuk perkembangan profesional.

3. Mentor Kerjaya Terbalik (Reverse Career)


Mentor kerjaya terbalik, atau dikenali sebagai "Reverse Career Mentor," merujuk kepada hubungan di mana seorang yang kurang berpengalaman atau lebih muda dalam kerjaya memberikan pandangan dan nasihat kepada seseorang yang lebih berpengalaman atau senior.

Dalam konteks ini, mentee (atau individu yang kurang berpengalaman) memiliki peluang untuk berkongsi pandangan, idea, dan perspektif baru mengenai trend/teknologi semasa kepada mentor mereka. Ini mencipta persekitaran pembelajaran dua hala.

Idea utama di sebalik mentor kerjaya terbalik adalah memberikan peluang kepada golongan yang lebih muda atau kurang berpengalaman untuk memberikan sumbangan berharga dalam persekitaran kerja.

Bukan itu sahaja, ia menggalakkan pertukaran pengetahuan serta pandangan antara generasi yang berbeza.

4. Mentor Hidup

Mentor hidup merujuk kepada seseorang yang memberikan bimbingan, nasihat, dan sokongan dalam aspek kehidupan secara keseluruhan. Mentor ini tidak hanya fokus pada perkara berkaitan kerjaya, tetapi juga membantu dalam pembangunan diri, keputusan hidup, dan seumpamanya.

Mentor hidup akan membimbing mentee-nya dalam membuat keputusan besar, menangani cabaran, dan mencapai keseimbangan antara kehidupan peribadi dan profesional.

Mereka akan memberikan pandangan menyeluruh untuk membantu mentee-nya berkembang sebagai individu yang seimbang dalam kejaya dan kehidupan peribadi.

Ciri-ciri mentor yang hebat

Ciri-ciri seorang mentor yang hebat melibatkan kombinasi sikap profesional dan personal yang menyokong pembangunan dan pertumbuhan mentee.

Berikut adalah beberapa ciri-ciri utama seorang mentor yang hebat:

1. Sabar

Kesabaran yang tinggi adalah salah satu ciri seorang mentor yang hebat.

Mentor yang memahami bahawa setiap perkembangan memerlukan masa, bersedia memberikan bimbingan berulang kali dan tidak tergesa-gesa untuk melihat hasil.

2. Serasi

Kemampuan seorang mentor untuk menyerasikan diri dengan mentee-nya adalah amat penting.

Apabila keserasian dapat diwujudkan, ia akan membantu mencipta hubungan yang kukuh. Hubungan yang kukuh akan memudahkan mentor untuk memahami keperluan mentee.

3. Berpengetahuan & Berpengalaman

Seorang mentor yang hebat mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam bidang mereka. Ini membolehkan mereka memberikan nasihat yang bernilai dan relevan kepada mentee.

Selain itu, mentor yang berpengetahuan dan berpengalaman juga dapat memberikan wawasan yang lebih mendalam serta nasihat yang praktikal untuk mentee-nya.

4. Berkomunikasi dengan Baik

Kemahiran komunikasi yang baik adalah penting. Mentor yang mampu berkomunikasi dengan jelas dan efektif memastikan mentee memahami nasihat dan arahan dengan baik.

Bukan itu sahaja, komunikasi yang baik akan merangsang pertukaran idea dan pandangan antara mentor dan mentee, membina suasana pembelajaran dua hala yang produktif.

5. Jujur & Berintegriti

Mentor yang jujur & berintegriti akan memastikan bimbingan mereka berasaskan nilai dan moral yang tinggi. Kejujuran akan membina hubungan yang seimbang dan saling percaya antara mentor dan mentee.

Mentee akan merasa lebih selesa untuk berkongsi keperluan, cabaran, dan kebimbangan mereka, membolehkan mentor memberikan bimbingan yang lebih berfokus.

6. Pendengar yang Baik

Menjadi pendengar adalah salah satu tugas seorang mentor. Apabila seorang mentor mampu menjadi pendengar yang baik, ia akan membuka pintu untuk memahami dengan lebih mendalam cabaran dan keperluan mentee.

Dengan menjadi pendengar yang baik, mentor juga dapat membantu mentee untuk mengidentifikasi penyelesaian masalah atau memberikan sokongan emosional yang sesuai.

Mentor Vs Jurulatih

Walaupun mempunyai peranan yang hampir serupa, namun terdapat beberapa perbezaan ketara diantara keduanya.

Mentor Vs Jurulatih

Tips Mencari Mentor Dalam Kerjaya

Berikut adalah beberapa langkah untuk membantu anda mencari mentor yang sesuai dalam perjalanan kerjaya anda:

1. Pilih Individu yang Memberi Inspirasi

Salah satu cara mudah untuk mencari mentor adalah dengan memilih senior atau individu berjawatan tinggi di dalam industri yang anda kagumi. Mereka inilah yang berpotensi untuk menjadi mentor terbaik untuk anda.

2. Gunakan LinkedIn

Melalui LinkedIn, anda boleh berhubung dengan individu-individu professional daripada serata dunia.

Tidak dinafikan, LinkedIn adalah platform yang terbaik untuk mencari mentor dan membina rangkaian profesional.

3. Tetapkan Matlamat

Tentukan matlamat kerjaya anda. Apakah yang anda ingin capai dengan bantuan mentor anda?

Apabila anda tahu matlamat yang ingin dicapai, ia memudahkan anda untuk mencari mentor yang sesuai.

4. Bina Hubungan

Sebelum meminta seseorang menjadi mentor, bina hubungan dengan mereka. Cuba berinteraksi secara santai sambil makan tengah hari ke atau pun melalui media sosial.

Dengan cara ini, anda boleh mengetahui serba sedikit perwatakan individu tersebut dan sama ada serasi atau tidak untuk dijadikan mentor.

5. Buat Senarai

Senaraikan individu-individu yang anda rasakan berpotensi untuk menjadi mentor anda dalam kerjaya. Pastikan individu tersebut benar-benar boleh memberi impak positif kepada perkembangan anda.

Kemudian, buat pemerhatian dan evaluasi mengenai individu-individu yang telah disenaraikan. Adakah Melalui cara ini, anda boleh mengetahui individu mana yang paling sesuai untuk dijadikan sebagai mentor.


Penutup

Hubungan mentor-mentee adalah sebuah hubungan simbiosis. Ia saling menguntungkan dan membantu membentuk komuniti profesional yang kukuh.

Semoga dengan mengetahui jenis-jenis mentor, ciri-ciri mentor yang hebat, perbezaan antara mentor dan jurulatih, serta tips untuk mencari mentor, anda akan lebih bersedia untuk memasuki dunia mentoring dengan keyakinan dan keseimbangan yang baik.

Temui mentor yang sesuai untuk membimbing anda ke arah pencapaian matlamat kerjaya anda. Mulakan perjalanan anda menuju kejayaan dengan mencari pekerjaan di Epicareer hari ini!

Pekerjaan Popular di Malaysia:

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles