Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide Cara & Tips Menulis Resume Bagi Memohon Latihan Industri Untuk Pelajar

5 min read

Cara & Tips Menulis Resume Bagi Memohon Latihan Industri Untuk Pelajar

Pelajari cara menulis resume yang menarik untuk permohonan latihan industri anda. Temui panduan dan tips penting yang membantu menyelaraskan resume anda dengan keperluan syarikat yang anda pilih. Tingkatkan peluang anda untuk diterima dengan panduan kami!

Nasra Patahuddin

Updated May 10, 2024

Cara & Tips Menulis Resume Bagi Memohon Latihan Industri Untuk Pelajar

Biasanya, pada tahun terakhir pengajian di pusat pengajian tinggi, para pelajar akan diminta untuk mencari syarikat bagi memenuhi jam kredit untuk melakukan latihan industri atau ‘internship’.

Seperti permohonan kerja, memohon tempat untuk melakukan latihan industri juga perlukan resume. Sebagai seorang pelajar yang bakal menempuhi dunia kerjaya tidak lama lagi, anda wajib tahu cara-cara membuat resume yang betul. Ingat, resume anda mewakili diri anda.

Oleh itu, berikut dikongsikan cara dan beberapa tips untuk membantu anda menulis resume yang menarik perhatian. Sekaligus, ia akan meningkatkan peluang anda untuk diterima menjalankan latihan industri di syarikat tersebut.

Bagaimana Cara Menulis Resume Untuk Latihan Industri?

Menulis resume untuk memohon latihan industri adalah langkah penting dalam proses mendapatkan pengalaman praktikal yang berharga. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah:

1. Selidik Syarat dan Kriteria yang Diperlukan

Sebelum menulis resume, pastikan anda memahami dengan jelas syarat dan kriteria pelajar latihan industri yang diinginkan oleh syarikat tersebut. Ini membantu untuk menyesuaikan resume anda dengan keperluan syarikat tersebut. Baca dengan teliti apa yang mereka cari dalam calon intern.

Sebagai contoh, sekiranya terdapat syarat menyatakan keperluan untuk mahir dalam kemahiran tertentu seperti kemahiran berkomunikasi, pastikan anda menonjolkan kemahiran atau pengalaman yang anda miliki berkaitan dengan syarat tersebut.

2. Kaji Syarikat Tersebut

Selain itu, pastikan juga anda membuat carian menyeluruh mengenai syarikat yang anda ingin mohon untuk melakukan latihan industri.

Fahami misi, visi, nilai yang diutamakan dan budaya syarikat. Maklumat sebegini akan membantu anda menyelaraskan nilai dan kebolehan anda dengan keperluan syarikat tersebut.

Misalnya, sekiranya syarikat tersebut fokus kepada kelestarian alam, anda bolehlah menekankan pengalaman atau minat anda dalam aktiviti kelestarian alam dalam resume anda.

3. Senaraikan Perkara yang Relevan

Jangan membuang masa dengan menyenaraikan semua yang anda miliki. Senaraikan perkara yang berkaitan dan relevan dengan syarikat yang anda pilih sahaja. Ini termasuk pengalaman kerja, kemahiran, kelayakan, dan sebagainya.

Contohnya, anda memohon latihan industri di syarikat kejuruteraan (sama seperti kos pengajian anda). Anda hanya perlu memasukkan pengalaman, kemahiran, kelayakan dan sebagainya yang berkaitan dan relevan sahaja. Anda tidak perlu memasukkan kemahiran atau anugerah tempat pertama memasak, walaupun anda hebat memasak!

4. Kenalpasti Apa yang Perlu Dimasukkan dalam Resume

Apabila menulis resume untuk latihan industri, pastikan anda menyertakan perkara berikut:

a. Maklumat Peribadi seperti nama penuh, emel dan nombor telefon yang boleh dihubungi.

b. Profil/Ringkasan mengenai matlamat dan minat anda dalam latihan industri tersebut.

c. Pendidikan seperti nama universiti, kos yang diambil.

d. Pengalaman bekerja dan kepimpinan seperti penglibatan dalam projek, aktiviti sukarela, dan pengalaman lain yang relevan.

e. Anugerah, latihan dan sijil-sijil yang berkaitan dengan bidang kerja yang anda pohon.

f. Kemahiran seperti kemahiran teknikal dan insaniah yang anda miliki berkaitan dengan syarikat tersebut.

5. Nyatakan Objektif yang Jelas Di Bahagian Profil/Ringkasan Diri

Dalam bahagian profil atau ringkasan diri, tulis pernyataan yang jelas dan relevan mengenai matlamat atau objektif anda dalam melaksanakan latihan industri.

Jelaskan minat anda dalam bidang tersebut dan apa yang anda harapkan untuk dicapai daripada pengalaman tersebut.

Contohnya, anda boleh menulis, “Saya berminat untuk meluaskan pengetahuan saya dalam bidang kejuruteraan melalui pengalaman praktikal dalam syarikat yang inovatif dan berkembang pesat.”

6. Gunakan Prinsip AQS (Action, Quantifiable, Specific)

Pada mana-mana bahagian yang berkaitan, anda boleh gunakan prinsip AQS untuk menjelaskan pencapaian dan pengalaman anda dengan lebih terperinci dan meyakinkan.

Nyatakan tindakan yang anda ambil, hasil yang dicapai, dan contoh-contoh khusus yang menonjolkan kemahiran dan pencapaian anda.

Sebagai contoh, anda boleh menggunakan prinsip AQS seperti berikut; “Menguruskan projek yang menghasilkan peningkatan pendapatan sebanyak 20% dalam tempoh enam bulan-”

>> Menguruskan projek - (action) yang menghasilkan peningkatan pendapatan sebanyak 20% - (quantifiable) dalam tempoh enam bulan- (specific).

7. Gunakan Format yang Sesuai dan Lakukan Semak Semula

Setelah mengumpulkan semua maklumat yang diperlukan untuk dimasukkan ke dalam resume, pastikan anda menyusunnya dalam format yang sesuai dan mudah dibaca.

Setelah itu, semak semula dan perbaiki sebarang kesilapan tatabahasa dan ejaan sekiranya ada. Gunakan font yang jelas dan saiz yang sesuai.

Pastikan resume anda boleh dibaca dengan sekali imbas dan mempunyai penekanan visual yang sesuai untuk membantu majikan mengenalpasti maklumat penting dengan cepat dan mudah.

Tips Menulis Resume Latihan Industri yang Menarik

Berikut ialah beberapa tips yang anda boleh rujuk dalam penghasilan resume yang menarik untuk latihan industri;

1. Pilih warna yang sesuai dan gunakan latar belakang resume yang profesional.

2. Dalam mana-mana bahagian berkaitan, susun bermula daripada yang terkini atau terbaik anda terlebih dahulu.

3. Masukkan informasi yang relevan dan berkaitan sahaja.

4. Kurangkan ayat yang panjang, gunakan poin.

5. Pastikan maklumat peribadi anda seperti no telefon dan emel professional boleh dihubungi.

6. Letak rujukan individu yang berkaitan dalam bidang latihan industri yang dipilih seperti pensyarah fakulti atau kos pengajian anda.

7. Minta rakan, senior atau pensyarah anda untuk menyemak resume yang dihasilkan bagi mendapatkan kritikan dan maklum balas.

Perkara yang Perlu Dielakkan Dalam Menulis Resume Latihan Industri

1. Terlalu banyak muka surat.

2. Banyak ayat-ayat panjang menyebabkan resume sukar dibaca.

3. Kesilapan ejaan dan tatabahasa.

4. Maklumat peribadi yang tidak perlu seperti tarikh lahir, bilangan adik beradik dan sebagainya.

5. Maklumat tambahan yang tidak begitu penting seperti keputusan akademik yang tidak begitu luar biasa, senarai pencapaian atau aktiviti kokurikulum yang tidak terkini/berkaitan dan sebagainya.

6. Objektif menjalankan industri yang tidak jelas.

7. Resume yang tidak dihasilkan mengikut syarikat & keperluan syarikat.


Penutup

Semoga dengan mengikuti panduan ini, ia dapat membantu anda menghasilkan resume latihan industri yang menarik perhatian majikan untuk melihat potensi diri anda.

Ingat, semak dan kemaskini resume anda selalu bagi menyesuaikannya dengan anda keperluan dan keadaan semasa.

Akhir kata, semoga berjaya mencari peluang latihan industri yang anda idamkan!

Pelajari cara menyelaraskan resume anda dengan keperluan syarikat dan menarik perhatian majikan. Jangan lepaskan peluang untuk menonjol dengan Epicareer Enhance Resume untuk lebih banyak tip dan panduan berguna.

Pekerjaan Terkenal:

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Share this article

Related Articles