Epicareer Might not Working Properly
Learn More
Career Guide Tips Dapat Kerja Dengan Cepat & Mudah

6 min read

Tips Dapat Kerja Dengan Cepat & Mudah

Temui 6 tips praktikal untuk mendapatkan pekerjaan dengan cepat dalam artikel ini. Mulakan langkah pertama anda dengan mempelajari strategi, mempersiapkan diri, dan membangun rangkaian profesional yang kuat. Baca sekarang!

Nasra Patahuddin

Updated Jun 3, 2024

Tips Dapat Kerja Dengan Cepat & Mudah

Mencari kerja adalah salah satu fasa yang mencabar dalam kehidupan. Banyak faktor yang perlu diambil kira contohnya seperti kekosongan kerja, persaingan yang ketat dan sebagainya.

Ini menyebabkan ramai individu terpaksa menganggur berbulan-bulan bahkan ada yang bertahun sebelum mendapat pekerjaan tetap terutamanya para graduan yang baru pertama kali hendak mencari kerja.

Tetapi percayalah dengan pendekatan yang betul dan usaha yang proaktif, anda boleh meningkatkan peluang untuk mendapatkan pekerjaan dengan cepat.

Nak tahu lebih lanjut? Jom teruskan membaca!

1. Bina Strategi & Pelan Utama

Anda perlukan strategi yang terancang untuk mencapai matlamat tertentu.

Dalam konteks mencari pekerjaan, strategi boleh merangkumi pemilihan bidang pekerjaan yang menawarkan banyak peluang, meningkatkan kemahiran terutamanya kemahiran boleh pindah (transferable skills), pendekatan berstruktur untuk permohonan pekerjaan dan pelbagai lagi.

Berikut ialah contoh strategi dan perancangan yang anda boleh buat;

  • Kenalpasti bidang pekerjaan yang berkembang pesat dan menawarkan banyak peluang pekerjaan.
  • Mula mencari pekerjaan semasa berada di akhir semester.
  • Manfaatkan portal pekerjaan dalam talian yang khusus untuk bidang pekerjaan yang diminati.
  • Aktifkan diri di LinkedIn dan berhubung dengan para rekruiter.
  • Hantar permohonan kerja ke laman web rasmi syarikat walaupun tiada iklan kekosongan.
  • Rajin bergaul bersama individu-individu yang sudah berkerjaya untuk mendapatkan sokongan dan nasihat serta mengetahui lebih awal sekiranya ada kekosongan dibuka.

2. Tetapkan Matlamat Jelas

Selain itu, tetapkan matlamat yang jelas untuk dicapai menggunakan strategi atau perancangan yang dibuat. Anda boleh gunakan kaedah SMART untuk menetapkan matlamat dengan jelas.

Specific (Spesifik)

Nyatakan matlamat anda secara terperinci. Contohnya, bukan "Mencari pekerjaan dalam bidang teknologi" tetapi "Mencari kerja sebagai jurutera perisian dalam industri teknologi."

Measurable (Boleh diukur)

Pastikan matlamat yang ditetapkan boleh diukur untuk membantu anda menilai kemajuan dan kejayaan. Sebagai contoh, "Meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris saya sehingga boleh mendapat band 5 dalam masa enam bulan agar boleh memohon jawatan Guru Bahasa Inggeris"

Achievable (Boleh Dicapai)

Pastikan matlamat anda realistik dan sesuaikan dengan sumber serta masa yang anda miliki.

Contohnya, "Mendaftar dan menamatkan kursus dalam talian yang berkaitan dengan industri saya dalam tempoh tiga bulan."

Relevant (Relevan)

Matlamat anda juga haruslah relevan dan berkaitan dengan keperluan pencarian kerja anda.

Matlamat yang relevan memberi motivasi dan memberikan nilai tambah kepada perkembangan kerjaya anda. Sebagai contoh, "Menghadiri dua seminar industri setiap bulan untuk meningkatkan pengetahuan dan memperluas rangkaian."

Time-Bound (Masa Tertentu)

Tetapkan satu tempoh masa yang jelas untuk mencapai matlamat anda. Ini menggalakkan anda untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh dan fokus. Contohnya, "Menghantar emel permohonan kerja tepat pukul 9 pagi setiap hari selama sebulan."

Apapun, lakukan evaluasi terhadap strategi dan pencapaian anda secara berkala. Kaji semula matlamat pekerjaan dan buat penyesuaian jika diperlukan sehinggalah anda mendapat tawaran kerja.

3. Kaji Pasaran Kerja

Sebelum memohon apa-apa pekerjaan, pastikan jawatan tersebut sejajar dengan kelayakan dan kemahiran anda. Ini akan meningkatkan peluang anda untuk berjaya dalam permohonan.

Selain itu, pastikan juga anda melakukan penyelidikan mengenai syarikat yang anda ingin memohon. Fahami nilai, budaya korporat, dan sejarah syarikat. Ini membantu anda menentukan sama ada syarikat tersebut adalah tempat yang sesuai untuk anda berkembang atau sebaliknya.

Sekiranya anda mengenali individu yang bekerja atau pernah bekerja di syarikat tersebut, ambil inisiatif untuk berhubung mereka. Dapatkan nasihat, pandangan dan maklumat dalaman yang tidak terdapat dalam sumber awam.

Anda boleh ajukan beberapa soalan mengenai pengalaman mereka, persekitaran kerja, dan peluang pembangunan di syarikat tersebut.

4. Buat Persediaan yang Lengkap

Dalam usaha mencari pekerjaan, menyediakan ‘aset’ yang kukuh adalah salah satu langkah yang sangat penting untuk memastikan anda boleh menarik perhatian majikan.

‘Aset’ yang dimaksudkan adalah resume, CV, portfolio, e-mel, imej peribadi dan seumpamanya. Bukanlah harta mahupun wang ringgit ya!

Resume/CV

Sediakan Resume/CV yang terkini dan berkaitan dengan permohonan kerja anda. Pilih format yang kemas dan mudah dibaca.

Elakkan informasi yang berlebihan, fokus pada kelayakan dan pengalaman yang relevan. Serlahkan kebolehan, pencapaian, dan pengalaman yang berkaitan dengan jawatan yang diingini.

Portfolio

Sekiranya anda mempunyai portfolio yang mengumpulkan hasil kerja anda, pastikan ia merangkumi contoh-contoh hasil kerja yang memperlihatkan kepakaran anda.

Susun portfolio anda dengan rapi agar menarik dan mudah difahami.

E-mel professional

Gunakan alamat emel yang profesional yang mudah diingat dan berkaitan dengan nama anda.

Contohnya, [email protected]. Elakkan menggunakan emel seperti berikut: [email protected]

Imej Peribadi (Personal Branding)

Kemaskini profil laman web professional, LinkedIn atau seumpamanya dengan gambar formal dan ringkasan yang menarik perhatian.

Jangan lupa senaraikan kemahiran dan pengalaman yang relevan. Pastikan aktiviti di platform professional anda selari dengan imej yang anda ingin tonjolkan serta sesuai dengan nilai dan budaya korporat majikan.

5. Bina Rangkaian Professional

Salah satu rahsia umum untuk mendapatkan kerja dengan cepat adalah dengan memanfaatkan rangkaian professional yang anda.

Ini bukan bermakna anda hendak mempergunakan jasa ‘orang dalam’ bagi membantu anda mendapatkan pekerjaan ya.

Sekiranya anda mempunyai rakan-rakan mahupun saudara yang sudah bekerjaya, anda boleh memanfaatkan peluang ini untuk memohon agar mereka membantu anda memberikan maklumat terkini mengenai peluang pekerjaan sekiranya ada.

Selain itu, mereka boleh menjadi sumber rujukan anda mengenai banyak perkara dalam kerjaya. Anda boleh dapatkan nasihat mengenai cara menghantar emel yang betul, tips hadiri temuduga dan sebagainya.

Jangan lupa juga untuk rajinkan diri menghadiri majlis-majlis atau acara tertentu seperti bagi meluaskan lagi rangkaian profesional anda.

Job fair merupakan salah satu cara mencari pekerjaan yang mengumpulkan pelbagai jenis syarikat yang sedang mencari pekerja. Di sini, anda juga akan berjumpa dengan ramai pencari kerja, HR, serta orang penting setiap syarikat yang ada.

Ambil kesempatan ini untuk bina rangkaian baru dan pakailah pakaian yang kemas serta jangan lupa bawa resume/cv anda.

Persiapkan diri juga sekiranya anda terus ditemuduga!

6. Mahirkan Diri Menjawab Soalan Temuduga

Buat persiapan yang rapi untuk menghadiri temuduga. Pastikan anda mengetahui secara mendalam mengenai jawatan yang dipohon serta latar belakang syarikat.

Ini akan menunjukkan kesungguhan anda mahukan jawatan tersebut.

Buat latihan di rumah cara menjawab temuduga dan belajar kemahiran berkomunikasi secara berkesan serta cara-cara membuat negosiasi dalam temuduga.

7. Perkara yang Perlu Dielakkan Semasa Mencari Kerja

1. Bertangguh-tangguh untuk memulakan proses mencari kerja.

2. Menggunakan resume/CV yang sama untuk semua jenis permohonan kerja.

3. Tidak menggunakan emel yang profesional ketika menghantar permohonan kerja.

4. Menghantar permohonan kerja yang tidak lengkap.

5. Tidak mempersiapkan diri untuk menghadiri temuduga.

6. Tidak membuat “follow-up” setelah menghantar permohonan kerja.

7. Tidak melihat deskripsi iklan jawatan kosong yang ditawarkan dengan teliti.

8. Memohon kerja tidak mengikut kelayakan dan kemahiran yang sesuai.

9. Menghantar emel permohonan kerja bukan pada waktu bekerja dan tidak mengikuti format yang betul dalam menghantar emel permohonan kerja.

10. Tidak menetapkan matlamat yang jelas dalam pencarian kerja.


Kesimpulan

Mencari pekerjaan mungkin merupakan satu cabaran, tetapi dengan pendekatan yang betul dan usaha yang tekun, anda boleh mencapai matlamat anda dengan berjaya.

Mulakan dengan merancang strategi yang terperinci, tetapkan matlamat yang jelas, dan kaji pasaran kerja dengan teliti. Selain itu, pastikan anda bersedia dengan aset yang kukuh dan membina rangkaian profesional yang luas.

Teruskan untuk memperbaiki diri anda, dan jangan lupa untuk terus mengikuti perkembangan terkini dalam industri anda.

Dengan konsistensi dan tekad, anda akan mencapai kejayaan dalam mencari pekerjaan. Jangan lepaskan peluang untuk memulakan langkah pertama anda menuju kerjaya yang anda impikan dengan mendaftar di Epicareer hari ini!

Pekerjaan Terkenal:

Nasra Patahuddin

Content Writer

Meet Nasra, a freelance writer who loves creating great contents. She writes articles, product descriptions, and social media captions in English and Malay.

Topic tags

Share this article

Related Articles