9 min read
Panduan Menulis Emel Cover Letter (Beserta Contoh)
Panduan lengkap menulis emel cover letter yang menarik beserta contoh untuk membantu anda memohon pekerjaan dengan lebih berkesan. Ketahui cara memikat hati majikan dan menonjolkan kelayakan anda dengan baik.
Updated May 21, 2024
Cover letter yang dihantar melalui emel dikenali sebagai emel cover letter. Ia dihantar sekali dengan resume/CV apabila anda menghantar permohonan kerja melalui emel.
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan panduan dan langkah-langkah untuk menulis emel cover letter yang menarik beserta beberapa contoh sebagai rujukan anda.
Apakah Tujuan Emel Cover Letter?
Emel cover letter adalah merupakan sebuah mesej ringkas yang menjelaskan mengapa anda menghantar resume dan bagaimana kepakaran yang dimiliki menjadikan anda calon yang tepat untuk jawatan yang diiklankan. Ia juga menambah sentuhan peribadi kepada permohonan anda.
Emel cover letter adalah salah satu elemen penting apabila menghantar permohonan pekerjaan melalui emel. Ia membolehkan anda menyampaikan minat anda terhadap jawatan yang diiklankan serta menonjolkan kelayakan/kebolehan anda kepada majikan secara profesional dan berkesan.
Cover Letter Sebagai Lampiran atau Di Dalam Badan Emel?
Biasanya emel cover letter adalah lebih pendek daripada cover letter yang standard. Ia dihantar dalam badan emel itu sendiri.
Maksudnya, ditulis sebagai emel. Bukan dilampirkan sebagai PDF atau seumpamanya. Ini adalah bagi memudahkan ia dibaca dan diakses oleh pihak bakal majikan.
Walaubagaimanapun, ia bergantung kepada arahan syarikat atau keutamaan peribadi. Sekiranya arahan diberikan untuk melampirkannya dalam bentuk PDF atau format tertentu, maka lakukan seperti yang ditetapkan okay.
Cara Menulis Emel Cover Letter
1. Subjek Emel
Subjek emel merupakan kunci untuk menarik perhatian penerima. Ia haruslah ringkas dan mudah difahami serta merangkumi tujuan utama atau kandungan penting emel anda.
Apabila menulis subjek emel, fokuskan kepada tujuan utama anda menghantar emel tersebut. Contohnya, jika anda menghantar permohonan pekerjaan, subjek emel anda boleh ditulis seperti berikut:
"Memohon Jawatan Kosong Sebagai Penulis di [Nama Syarikat]".
Menyediakan subjek emel yang tepat membantu penerima untuk dengan mengenal pasti kandungan emel anda dengan pantas serta mengelakkan emel anda ‘tercicir’ atau terlepas pandang.
2. Salam Pembukaan
Salam pembukaan adalah langkah awal dalam menetapkan ton yang sesuai untuk komunikasi melalui emel. Ia juga memberikan kesan pertama kepada penerima tentang keperibadian dan profesionalisme anda.
Apabila menulis salam pembukaan, pastikan ia sesuai dengan konteks dan hubungan anda dengan penerima. Sekiranya anda tahu nama penerima, adalah disyorkan untuk menggunakan nama mereka dalam salam pembukaan. Contohnya, "Salam Sejahtera Encik / Puan [Nama]".
Jika anda tidak pasti dengan siapa e-mel tersebut akan sampai, salam umum seperti "Salam Sejahtera" boleh digunakan. Pastikan untuk menyesuaikan salam pembukaan anda dengan keperluan emel anda.
Ingatlah, salam pembukaan yang sesuai membantu mencipta suasana yang mesra dan profesional sekaligus memudahkan perbualan seterusnya dengan penerima.
3. Perenggan Pertama
Perenggan pertama cover letter biasanya merangkumi maklumat tentang tujuan penulisan cover letter anda. Nyatakan dengan jelas tujuan anda menulis cover letter tersebut. Contohnya seperti; "Saya ingin memohon jawatan [nama jawatan] di [nama syarikat]".
Satu aspek penting yang perlu disertakan adalah menyatakan jawatan yang anda mohon serta bagaimana anda mendapat maklumat tentang kekosongan jawatan tersebut sekiranya perlu.
Dengan menyatakan jawatan yang dipohon secara khusus, anda menunjukkan kepada majikan bahawa anda telah mengambil masa untuk memahami kekosongan tersebut dan betapa seriusnya anda dalam permohonan anda.
Selain itu, adalah penting juga untuk menyatakan bagaimana anda mendapat maklumat tentang kekosongan jawatan tersebut. Ia boleh melalui pengiklanan di laman web syarikat, platform pekerjaan dalam talian, atau rujukan daripada kenalan.
Jika anda diperkenalkan oleh seseorang yang anda kenali dalam syarikat tersebut, ini adalah peluang baik untuk menyebutkan nama kenalan tersebut. Contohnya, "Saya ingin memohon jawatan [nama jawatan] di [nama syarikat] selepas dirujuk oleh Encik / Puan [nama kenalan]".
4. Perenggan Seterusnya
Dalam perenggan seterusnya, terangkan apa yang anda boleh tawarkan kepada pihak majikan. Tunjukkan bahawa anda mempunyai kelayakan, pengalaman dan potensi yang diperlukan untuk menjalankan tugas yang dikehendaki.
Walau bagaimanapun, anda tidak seharusnya sekadar menyalin maklumat daripada resume anda. Sebaliknya, manfaatkan kata kunci yang terdapat dalam iklan dan sesuaikan dengan kebolehan dan kelayakan anda. Nyatakan juga secara spesifik bagaimana kemahiran dan pengalaman anda selari dengan jawatan yang anda mohon.
Sebagai contoh, jika iklan jawatan memerlukan kemahiran dalam pengurusan projek, anda boleh menyebut pengalaman anda dalam mengetuai mana-mana projek sebelum ini dan pencapaian anda dalam melaksanakan projek tersebut.
Selain itu, sertakan juga bukti sekiranya anda pernah memberi impak atau sumbangan yang positif kepada organisasi atau projek yang anda terlibat. Contohnya seperti data statistik kejayaan dan seumpamanya.
Ini menunjukkan kepada majikan bahawa anda tidak hanya mempunyai kemahiran yang diperlukan, tetapi juga boleh mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam situasi sebenar untuk mencapai kejayaan.
5. Kesimpulan
Dalam perenggan kesimpulan ini, nyatakan dengan jelas permintaan anda untuk bertemu atau berbincang dengan lebih lanjut mengenai jawatan yang dipohon. Jika anda telah melampirkan resume anda, adalah penting untuk menyebutkannya dalam perenggan ini untuk mengingatkan majikan.
Selain itu, anda juga boleh menyatakan bagaimana anda merancang untuk melakukan tindak balas selepas menghantar permohonan anda.
Contohnya, anda boleh menyatakan bahawa anda akan menghubungi mereka untuk mengetahui status permohonan anda dalam tempoh tertentu. Atau, anda boleh meminta pihak majikan untuk menghubungi anda untuk sebarang pertanyaan lanjut sekiranya ada.
Jangan lupa berikan ucapan terima kasih kepada majikan kerana telah mempertimbangkan anda untuk jawatan tersebut. Ini menunjukkan sikap profesional dan penghargaan kepada pihak majikan.
6. Penutup & Tandatangan (Nama)
Gunakan ucapan penutup yang profesional seperti yang benar, salam hormat dan sebagainya. Kemudian, letakkan tandatangan atau nama anda di bawahnya.
Contohnya:
Yang benar,
[Nama Anda].
▶ Baca Juga: 10 Tips Membuat Rundingan Gaji Agar Berjaya
Cara Menghantar Cover Letter Melalui Emel
1. Patuhi Arahan
Setiap syarikat mungkin mempunyai arahan yang berbeza mengenai cara menghantar permohonan pekerjaan melalui emel.
Jadi, pastikan anda membaca dan mematuhi arahan yang diberikan oleh syarikat tersebut. Arahan ini biasanya merangkumi penggunaan subjek emel yang khusus, alamat emel penerima, format fail yang diterima dan sebagainya.
2. Gunakan Alamat Emel Profesional
Pastikan alamat emel yang anda gunakan adalah alamat emel yang profesional. Sebaiknya, gunakan alamat e-mel yang mengandungi nama anda. Elakkan menggunakan alamat emel yang tidak profesional atau tidak bersesuaian untuk tujuan permohonan kerja.
- Emel Profesional: [email protected]
- Emel Tidak Profesional: [email protected]
3. Tulis Subjek Emel Dengan Betul
Gunakan subjek emel yang betul dan memberikan gambaran yang jelas tentang tujuan emel anda. Gunakan perkataan yang relevan dengan tujuan emel anda.
4. Simpan Fail dengan Nama & Format yang Betul
Jika cover letter anda dalam bentuk lampiran (bukan ditulis sebagai badan emel), pastikan anda telah menyimpannya anda dengan nama dan format betul.
Ini termasuklah resume dan sebarang dokumen lain yang diminta oleh majikan. Pastikan fail-fail ini disusun dengan teratur dan nama failnya jelas untuk memudahkan penerima mengenalpasti kandungannya.
5. Sertakan Pesanan Emel Ringkas
Selain itu, sekiranya cover letter anda dalam bentuk lampiran (bukan ditulis sebagai badan emel) sertakan juga pesanan emel ringkas yang merangkumi tujuan anda menghantar emel tersebut.
Jelaskan dengan ringkas tujuan anda menghantar emel tersebut dan nyatakan bahawa anda telah melampirkan cover letter dan resume anda.
6. Tandatangan & Maklumat Penting
Selepas menulis pesanan ringkas, tambahkan tandatangan di bahagian akhir emel anda. Biasanya, selepas tandatangan ia diikuti dengan maklumat penting seperti nombor telefon atau alamat emel. Ini menambah kesan profesional kepada emel yang dihantar.
7. Hantar Emel Ke Diri Sendiri
Sebelum menghantar emel permohonan anda kepada majikan, cuba hantar ke emel anda sendiri. Ini membolehkan anda memeriksa format emel, kandungan, serta kesalahan ejaan atau tatabahasa sebelum menghantar kepada penerima sebenar.
Contoh 1: Cover Letter Latihan Praktikal
Subjek Emel: Permohonan Menjalani Latihan Praktikal dalam Bidang Pengurusan Sumber Manusia di [Nama Syarikat]
Salam Sejahtera Encik / Puan [Nama],
Saya, [Nama Anda] dan merupakan pelajar tahun akhir dari [Nama Universiti] yang mengambil jurusan Pengurusan Sumber Manusia.
Saya sangat berminat untuk menjalani latihan praktikal dalam bidang yang berkaitan di syarikat yang terkemuka seperti [Nama Syarikat]. Saya percaya pengalaman praktikal di syarikat yang berprestij seperti [Nama Syarikat] akan memberi peluang besar untuk saya memperluaskan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini.
Saya mempunyai pengalaman dalam projek kerja kursus yang melibatkan analisis sumber manusia, rekruitmen, dan latihan dan pembangunan. Saya berharap dapat menyumbangkan pengetahuan dan kemahiran saya kepada pasukan di [Nama Syarikat] dan pada masa yang sama, terus belajar dan berkembang di bawah bimbingan yang cemerlang dari profesional yang berpengalaman.
Saya amat berharap dapat berpeluang bertemu dengan anda untuk membincangkan bagaimana saya boleh menyumbang kepada syarikat ini melalui latihan praktikal. Berikut saya sertakan resume saya untuk rujukan pihak tuan.
Yang benar,
[Nama Anda]
Contoh 2: Cover Letter Graduan Baru
Subjek Email: Permohonan Untuk [Jawatan Kerja]
Selamat Sejahtera Tuan/Puan [Nama Penerima],
Saya ingin menyatakan minat saya untuk memohon jawatan [Jawatan Kerja] seperti yang diiklankan oleh syarikat Tuan/Puan.
Saya merupakan graduan ijazah [kelayakan pelajaran] dari [nama universiti]. Dengan pengetahuan yang diperoleh sepanjang pengajian, saya yakin boleh mengaplikasikannya di alam pekerjaan dengan sebaiknya.
Semasa menjalani latihan praktikal selama 6 bulan di [nama syarikat], saya telah mempelajari pelbagai jenis kemahiran, contohnya seperti [senaraikan ilmu dan skill yang diperolehi]. Selain itu, saya juga berpeluang bekerja dengan para profesional yang berpengalaman. Mereka telah mengajar saya cara memahami [senaraikan ilmu / skill penting yang boleh dimanfaatkan sekiranya diterima bekerja]
Di samping itu, penglibatan aktif saya dalam pelbagai aktiviti akademik dan kokurikulum telah banyak membantu saya mengembangkan kemahiran komunikasi dan kepemimpinan yang sangat penting untuk berjaya dalam dunia kerjaya.
Bersama cover letter ini, saya turut lampirkan resume saya untuk pertimbangan Tuan/Puan sepenuhnya.
Terima kasih kerana meluangkan masa untuk menyemak permohonan saya dan saya menantikan maklum balas Tuan/Puan untuk perbincangan lebih lanjut.
Sekian, terima kasih.
[Nama]
[No. Telefon]
Contoh 3: Cover Letter Individu Berpengalaman
Subjek Emel: Memohon Jawatan Kosong Sebagai Penulis di Syarikat ABC
Salam Sejahtera Encik / Puan [Nama],
Saya, [Nama Anda], menghantar emel ini dengan penuh harapan untuk memohon jawatan Penulis Kreatif di [Nama Syarikat], sebagaimana yang diiklankan dalam portal pekerjaan terkemuka.
Saya telah mengetahui kekosongan jawatan ini melalui carian aktif saya tentang industri kreatif dan pembacaan terperinci tentang profil syarikat tuan. Saya tertarik dengan pencapaian syarikat dalam mencipta kandungan yang inovatif dan berkesan, dan saya yakin bahawa saya boleh menjadi sebahagian daripada usaha yang mengagumkan ini.
Dengan latar belakang pendidikan dalam bidang Kesusasteraan Inggeris, saya telah mendalami kepelbagaian gaya penulisan dan teknik penulisan yang berkesan. Pengalaman dalam penyelidikan akademik membantu saya membina keupayaan untuk menyelidik dengan mendalam sebelum menulis. Ini adalah bagi memastikan setiap kandungan yang dihasilkan mempunyai asas yang kukuh.
Selain itu, saya mempunyai pengalaman kerja yang luas dalam industri penulisan, termasuk pengalaman sebagai penulis sambilan untuk pelbagai platform dan projek. Saya telah menulis pelbagai jenis kandungan yang berkualiti tinggi dalam pelbagai genre termasuk artikel blog, kandungan media sosial, skrip video, dan banyak lagi.
Di samping kemahiran penulisan, saya juga memiliki kemahiran penyelidikan yang kukuh. Saya mahir dalam menggunakan pelbagai sumber untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan relevan untuk menyokong kandungan yang saya hasilkan. Saya juga terbiasa dengan kerja dalam tempoh masa yang ketat dan mampu menguruskan masa dengan cekap untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
Saya percaya bahawa bakat dan kemahiran saya dalam bidang penulisan dan penyelidikan akan menjadi aset yang berharga untuk [Nama Syarikat], dan saya sangat berharap untuk dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada syarikat ini.
Saya menghargai peluang untuk berbincang lebih lanjut mengenai bagaimana saya boleh menyumbang kepada objektif syarikat tuan. Turut dilampirkan resume saya untuk rujukan pihak tuan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau maklumat tambahan yang diperlukan, sila jangan ragu untuk menghubungi saya melalui [nombor telefon] atau [alamat e-mel]. Saya sedia untuk menjawab segala pertanyaan.
Terima kasih atas pertimbangan anda terhadap permohonan saya. Saya berharap untuk mendengar berita baik daripada pihak tuan segera.
Yang benar,
[Nama Anda]
Kesimpulan
Semoga dengan mengikuti langkah-langkah, tips, dan contoh-contoh yang diberikan, ia dapat membantu anda mendapatkan perhatian majikan dan dipanggil untuk peringkat seterusnya. Semoga berjaya!
Untuk memudahkan anda mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan dan minat anda, kunjungi Epicareer sekarang. Epicareer akan membantu anda menemukan pekerjaan dengan lebih mudah dan efisien. Daftar hari ini dan mulakan perjalanan kerjaya anda dengan langkah yang tepat!
Pekerjaan Terkenal:
Jawatan Kosong Kerajaan|WFH Call Center|Sales Agent|Content Marketing Specialist|HR Officer | Financial Controller | Data Engineer | IT Support Analyst | Software Developer | UI/UX Designer | Software Developer
Content Writer
Topic tags
Share this article
Related Articles
6 min read
Apakah Kelebihan Utama Menggunakan ATS Dalam Proses Pengambilan Pekerja?
Automasi ATS memudahkan proses pengambilan pekerja, menjimatkan masa, dan meningkatkan kualiti calon. Ketahui kelebihan utamanya di sini!
Posted Aug 28, 2024
4 min read
10 Ciri Utama Yang Perlu Ada Dalam Sistem Pengurusan Pemohon (ATS)
Ciri penting dalam memilih ATS: sokongan pelanggan, penyesuaian, pencarian calon, dan lebih banyak lagi untuk proses pengambilan yang lebih efisien!
Posted Aug 14, 2024
4 min read
Fakta SebenarAnda Perlu Tahu Tentang ATS - Mitos vs Realiti
Sistem ATS mempermudah proses pengambilan pekerja. Artikel ini mengulas mitos umum tentang ATS dan fungsinya yang sebenar.
Posted Aug 7, 2024
12 min read
Maksud ATS, Kepentingan & Fungsinya
ATS adalah perisian yang menyaring, menyusun, dan mengurus permohonan kerja secara automatik, memudahkan pengambilan pekerja dan meningkatkan kecekapan.
Posted Aug 7, 2024
Share this article